PRODUKSI ‘RIVERS IN THE SKY’ SAKSIKAN MASAKINI THEATRE COMPANY BERGABUNG DENGAN ANA WOOLF, DI PENTAS 1 KLPAC


RIVERS IN THE SKY, merupakan sebuah produksi Masakini Theatre Company yang bakal dipentaskan pada 1 – 3 September 2023 ini di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), Pentas 1. Produksi ini merupakan sebuah kolaborasi di antara Masakini Theatre Company dengan nama yang tidak asing lagi dalam dunia teater antarabangsa iaitu Ana Woolf daripada CATA. Turut menggalas tugas sebagai Pengarah Bersama adalah Sabera Shaik dari Masakini.


Ana Woolf telahpun berada di Kuala Lumpur untuk tujuan projek ini dan telah mula bekerja bersama pelakon-pelakon tempatan yang terlibat. Sebagai seorang guru, pelakon dan pengarah yang telah sama-sama bekerja dengan tokoh tersohor seni teater global seperti Eugenio Barba, Ana Woolf membawa bersamanya gabungan teknik-teknik Timur dan Barat, idea serta pengalaman dari pelbagai produksi teater yang tidak ternilai. Portfolio Anna Woolf termasuk penulisan berkenaan penglibatan wanita di dalam teater dan telah mengalih bahasa beberapa karya Eugenio Barba serta Roberta Carreri. Ana Woolf juga merupakan Pengarah Artistik organisasi ‘Magdelena Project’ di Argentina. Sementara berada di Kuala Lumpur, Ana akan mengadakan bengkel Teknik Suzuki iaitu teknk-teknik tradisi yang diadaptasi di pentas moden, malah akan mempersembahkan satu demonstrasi. Sesungguhnya cinta Ana kepada teater dan semangat untuk menurunkan ilmu kepada generasi baru penggiat teater seluruh dunia telah membawanya ke serata tempat selama lebih 20 tahun.


Menurut Sabera Shaik, Pengarah Bersama produksi RIVERS IN THE SKY, “Isu yang dibawakan di dalam produksi ini amat dekat dengan jiwa saya. Ia berkisar tentang alam dan bagaimana semua kehidupan di muka bumi saling bertimbal balik, malah tiada satu pihak yang boleh hidup lestari tanpa kewujudan satu pihak yang lain. Penyataan ini bukanlah satu yang baru dan seringkali disebut tetapi sejauh manakah kita menghayatinya sebagai manusia yang bertanggungjawab memelihara alam dan dunia yang didiaminya? Ini adalah di antara persoalan yang akan diutarakan dan terpulang kepada audiens bagaimana untuk mentafsirkannya”.

Konsep yang dibawakan oleh RIVERS IN THE SKY amat unik dan dinamakan devised play. Ia dibangunkan tanpa skrip yang mana pelakon akan sama-sama membina jalan cerita melalui dorongan dan latihan. Di antara para pelakon yang bakal menjayakan produksi ini adalah Amalina Arham, Leanne Lim, Raja Emy Shahril, Sabera Shaik, Chloe Tan dan Tristen ZiJuin. Apa yang turut menariknya tentang produksi ini adalah ia akan menggandingkan pergerakan teater fizikal dengan diiringi muzik yang dimainkan secara langsung (live music) di bawah kelolaan Pengarah Muzik, Susan Sarah John, Kent Lee dan Thong Yoong; dan dibarisi pemuzik handalan seperti Kent Lee sendiri dan Ai Wei dari Shaman TeaRoom bersama Thong Yoong How dan Soon Han Meng dari Frythyms Percussion. Turut serta adalah Anak Borneo Evan Lee yang bertanggungjawab menambah elemen Iban di dalam susunan muzik justeru menimbulkan perasaan bagaikan berada di alam lain.

Pementasan ini tidak hanya tertumpu kepada golongan dewasa untuk memahami apakah itu perubahan iklim dan kerakusan manusia yang terus menjarah alam dengan aktiviti serta perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Malah lebih penting lagi, Masakini Theatre Company turut melibatkan kanak-kanak dan remaja sekolah dengan satu pementasan istimewa pada 1 September 2023 di mana satu buku kerja khas akan dihadiahkan kepada guru dan anak-anak sekolah yang hadir. Buku ini boleh mereka gunakan untuk sesi pembelajaran di dalam usaha memahami isu perubahan iklim. “Saya menggalakkan rakyat Malaysia untuk datang menyaksikan persembahan RIVERS IN THE SKY ini bersama keluarga dan rakan-rakan. Kepada pihak sekolah atau guru-guru yang ingin membawa pelajar-pelajar menonton persembahan ini, silalah berhubung dengan kami. Pementasan ini bertepatan pula dengan sambutan bulan kemerdekaan negara dan Hari Malaysia, jadi marilah kita bersama-sama meraikannya dengan menyaksikan teater ini dan seterusnya mengambil iktibar sambil berhibur”, jelas Sabera lagi.


RIVERS IN THE SKY bakal dipersembahkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Mandarin. Bertempat di Pentas 1 KLPAC pada tarikh 1 September (Jumaat) dan 2 September 2023 (Sabtu) jam 8.30pm. Tarikh 3 September 2023 (Ahad) pula pada jam 3pm. Tiket boleh dibeli melalui pautan https://www.cloudjoi.com/shows/rivers-in-the-sky

Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!