DOKUMENTARI TERBITAN RTM 'WATSON THE FLYING DAYAK' TEMUI PENONTON DI TV1
Aksinya kita rindui. Larian pantasnya masih segar diingatan. Inilah legenda pecut negara, Watson Nyambek. Sehingga kini, walaupun sudah bersara sepenuhnya dari lapangan olahraga, Watson tetap gigih menyumbang jasa terhadap negara dengan melahirkan bakat-bakat baru melalui penubuhan kelab olahraga miliknya di kenali sebagai The Flying Dayak Club yang berpusat di Miri, Sarawak.
Khas sempena Hari Kebangsaan yang ke-66 ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui Unit Sukan TV RTM menerbitkan program khas diberi tajuk “Watson The Flying Dayak” disiarkan pada 30 Ogos ini, pukul 11.05 pagi di TV1 dan esoknya 31 Ogos, pukul 9.00 malam menerusi saluran sukan RTM. Siaran ulangannya di TV1 pada 2 September ini, pukul 11.00 malam dan 3 September ini, pukul 10.00 malam.
Menariknya dokumentari Watson ‘The Flying Dayak’ yang bersiaran satu jam ini bukan hanya paparan kisah kejayaan legenda negara semata-mata, tetapi juga medium untuk membangkitkan rasa semangat cintakan negara hasil daripada sebuah perjuangan. Pengorbanan Watson harus dijadikan contoh terutama generasi muda.
Beliau merupakan ikon dan legenda raja pecut era 90an yang telah mencipta fenomena apabila memecahkan rekod kebangsaan 26 tahun acara 100 meter pecut milik "The Flying Doctor", Dato’ Dr. M. Jegathesan.
Rekod itu dilakukan pada tahun 1998 dengan catatan masa 10.30 saat. Anak jati Sarawak ini juga sudah dua kali menjadi Olimpian iaitu di Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan Sydney 2000. Watson juga merupakan satu-satunya anak Malaysia yang layak ke Sukan Olahraga Dalam Dewan Dunia 1999.
Sepanjang kariernya, Watson pernah bersaing bersama jaguh handalan dunia termasuk Linford Christie dan Maurice Green.
Usah ketinggalan menyaksikan program diterbitkan oleh Mohd Fauzi Bin Mohd Marzauki, Unit Sukan TV RTM yang turut bakal bersiaran menerusi RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my).
Comments
Post a Comment