REALITI DIABETES: FAHAMI BAGAIMANA DIABETES BOLEH MEMBAWA KEPADA MASALAH MATI PUCUK


Memandangkan bulan November dikenali sebagai Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) mengambil inisiatif untuk menyebarkan kesedaran mengenai penyakit yang dialami oleh lelaki pada kadar yang lebih tinggi berbanding wanita - Diabetes. 

Hal ini kerana, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), lelaki lebih berisiko tinggi untuk mendapat diagnosis penyakit diabetes berbanding wanita. Tambahan pula, dengan Hari Diabetes Sedunia yang akan disambut pada 14 November ini, marilah kita mendalami hubungan di antara diabetes melitus jenis 2 dan masalah kesihatan kelamin lelaki, dengan tumpuan khusus tentang bagaimana diabetes boleh menyumbang kepada masalah mati pucuk (erectile dysfunction) yang seterusnya boleh memberi kesan kepada para lelaki secara menyeluruh.

Merungkai Hubungan Di Antara Lelaki dan Diabetes

Peningkatan masalah diabetes di kalangan golongan lelaki ini boleh dikaitkan dengan beberapa faktor utama, termasuk perbezaan hormon dan taburan lemak badan. Apabila bercakap mengenai hormon, wanita mempunyai sensitiviti insulin yang lebih tinggi dengan kajian menunjukkan bahawa estrogen memainkan peranan dalam perkara ini. Pakar Perunding Endokrinologi dan Perubatan Dalaman daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Lim Kim Piow menjelaskan, "Testosteron meningkatkan rembesan insulin yang dirangsang oleh glukosa dan mengurangkan keradangan lalu membawa kepada kesihatan sel beta yang lebih baik. Walau bagaimanapun kajian telah menunjukkan bahawa paras testosteron yang lebih rendah pada lelaki dikaitkan dengan risiko untuk mendapat diabetes melitus jenis 2 yang lebih tinggi."

Faktor penyumbang lain ialah pengagihan lemak badan atau body fat distribution. Lelaki sering mempunyai lemak berlebihan di sekeliling perut mereka, yang juga dikenali sebagai obesiti pusat. Pengagihan lemak viseral sering dikaitkan dengan risiko untuk mendapat rintangan insulin, sindrom metabolik dan diabetes jenis 2 yang lebih tinggi. "Paras testosteron yang rendah di kalangan lelaki boleh membawa kepada peningkatan kadar lemak viseral dan seterusnya membawa kepada peningkatan risiko mendapat diabetes jenis 2 berbanding wanita." Tambah Dr Lim Kim Piow.

Diabetes dan Masalah Mati Pucuk: Cabaran Yang Sukar Diluahkan

Meskipun bacaan gula dalam darah menjadi keutamaan bagi penjagaan pesakit diabetes, penting untuk orang ramai ketahui bahawa diabetes tidak terhad kepada kesan fizikalnya sahaja. Ia juga boleh memberi pelbagai kesan kepada kesejahteraan dan kualiti hidup lelaki secara menyeluruh, dengan salah satu akibatnya ialah masalah mati pucuk.

Pakar Perunding Urologi daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Goh Cheng Hood menjelaskan hubungan di antara diabetes dan masalah mati pucuk: "10% lelaki mengalami masalah mati pucuk setelah berusia 40 tahun ke atas. Ini bermaksud, apabila usia meningkat, risiko untuk mendapat masalah mati pucuk juga meningkat. Dengan adanya penyakit diabetes pada lelaki, risiko untuk mendapat masalah mati pucuk meningkat 3.5 kali ganda berbanding mereka yang tidak mempunyai diabetes."

Ereksi zakar melibatkan peningkatan aliran darah dalam arteri dan mengurangkan aliran darah keluar dari urat. Diabetes mengganggu proses ini disebabkan oleh neuropati, penurunan paras nitrik oksida (NO) dan peningkatan faktor protrombin yang menyebabkan aliran darah berkurangan dan terjadinya pembekuan saluran darah.

Diabetes boleh membawa kepada masalah mati pucuk melalui dua mekanisma utama: kerosakan vaskular dan kerosakan saraf. Dr Lim Kim Piow menjelaskan lagi bahawa penyakit-penyakit saluran darah, disfungsi serta pengumpulan glikasi hasil daripada hiperglisemia. Ini boleh menjejaskan otot vaskular pada zakar dan akhirnya boleh membawa kepada masalah mati pucuk.

Selain kesan fizikal, kesan emosi yang disebabkan oleh masalah mati pucuk juga sering dipandang remeh. Masalah mati pucuk boleh merenggangkan hubungan intim di antara pasangan suami isteri yang seterusnya membawa kepada isu komunikasi dan berbeza pendapat di antara pasangan. Dr Goh Cheng Hood menambah "Bagi kebanyakan lelaki, maskuliniti dan harga diri mereka berkait rapat dengan prestasi seksual mereka, dan inilah sebabnya masalah mati pucuk boleh memberi kesan yang mendalam terhadap keyakinan diri dan nilai diri seseorang."

Walaubagaimanapun, masalah ini tidak seharusnya menghalang lelaki daripada mendapatkan bantuan profesional sebelum keadaan mereka menjadi semakin teruk. Dr Goh Cheng Hood menekankan bahawa 21% pesakit lelaki dengan masalah mati pucuk mengalami disfungsi yang teruk. Di luar kesannya terhadap kualiti hidup, masalah mati pucuk juga boleh membawa kepada cabaran psikologi yang boleh menyebabkan kemurungan melampau. Oleh itu, beliau amat menekankan kepentingan mendapatkan bantuan perubatan seawal mungkin.


Peranan Pemakanan dan Nutrisi Sihat

Pengurusan penyakit diabetes yang berkesan sememangnya melibatkan penjagaan pemakanan. Oleh itu, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) melakukan inisiatif untuk memperkenalkan e-buku “Better Days Recipe.” Buku ini menyediakan pelbagai resepi sihat dan lazat serta mesra diabetes yang menumpukan untuk mengawal “The 3 Highs” iaitu paras gula dalam darah tinggi, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi. Resepi-resepi yang dikongsikan oleh pasukan ahli dietitik dan chef dari SMCV ini dapat membantu orang ramai dalam mengurus penyakit diabetes mereka dan seterusnya dapat menyumbang kepada kesejahteraan fizikal dan mental secara menyeluruh serta menstabilkan paras gula dalam darah lalu mengurangkan risiko untuk mendapat masalah mati pucuk.

Dr Lim Kim Piow amat bersetuju bahawa pemakanan memainkan peranan penting dalam menguruskan diabetes dan kesihatan tubuh. Beliau mengesyorkan orang ramai mengamalkan diet seimbang yang rendah karbohidrat, gula serta lemak trans dan lebihkan makanan yang kaya dengan protein, serat dan nutrien-nutrien penting. "Cara pemakanan yang sihat harus mengandungi buah-buahan, sayur-sayuran, dan protein tanpa lemak. Anda juga dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan makanan yang diproses dan makanan dengan indeks glisemik (GI) tinggi seperti roti putih, mi segera, daging proses dan snek bergula atau masin.

Namun begitu, mengekalkan diet yang sihat tidak bermakna anda harus mengorbankan rasa lazat atau variasi dalam pemakanan seharian anda. Terdapat banyak pilihan sihat dan segar yang tersedia di pasaran seperti sayur-sayuran berdaun hijau, bijirin penuh, ikan, kekacang dan buah-buahan yang dapat memberikan anda pilihan untuk menjadi kreaktif dalam pemilihan dan penyesuaian diet.

Kesimpulan

Bersempena Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki pada bulan November ini, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) berharap orang ramai lebih memahami tentang diabetes dan bagaimana ia boleh menjejaskan kesihatan lelaki termasuk memberikan risiko untuk mendapat masalah mati pucuk.

Kedua-dua Dr Goh Cheng Hood dan Dr Lim Kim Piow menggalakkan lelaki untuk membuang segala keraguan dan berkongsi kebimbangan mereka dengan pakar yang memahami cabaran yang mereka hadapi. Dalam masyarakat di mana topik ini kekal menjadi topik yang tidak boleh dibual secara terbuka dan terdapat kekurangan maklumat umum yang mengetengahkan isu diabetes dan masalah mati pucuk, adalah penting untuk semua menyedari bahawa hospital-hospital berdekatan anda bersedia untuk memberikan rawatan yang sewarjarnya dan yang diperlukan untuk membantu pesakit kembali pulih. Perbualan terbuka dan jujur bersama pakar perubatan dapat membantu dalam menghilangkan keraguan dan menghapuskan sebarang kesalah anggapan. Ini bukan sahaja memupuk pengurusan diabetes yang lebih baik tetapi juga berfungsi sebagai rujukan yang dapat membantu orang ramai untuk mengurangkan risiko mereka untuk mendapat masalah mati pucuk.

SMCV mengalakkan orang ramai untuk memiliki salinan e-buku “Better Days Recipe” untuk memulakan perjalanan pemakanan yang lebih sihat dan pengurusan diabetes yang lebih baik.

Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Sebarang maklumat, sila hubungi +603 9772 9191 atau email kami di smcv-enquiry@sunway.com.my. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my/ (Facebook: Sunway Medical Velocity).

Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!