SEPETANG BERSAMA ANUAR ZAIN DI SHOWCASE AZ40 EXCLUSIVE UP CLOSE AND PERSONAL

Lebih 1,000 peminat setia Anuar Zain telah berkumpul di Jio Space, PJ pada petang 15 Februari lalu untuk meraikan hari jadi Anuar Zain yang ke-54 dan juga ulang tahun 40 tahun penglibatan beliau dalam industri seni suara. 

Berbeza dengan konsert AZ40 di Stadium Melawati, Shah Alam 28 Oktober yang lalu, persembahan AZ40 Exclusive Up Close & Personal adalah lebih intim tetapi tidak kurang meriah dengan sorakan dan nyanyian bersama para peminat setia penyanyi lelaki popular tanah air ini. 


Anuar Zain, kelihatan bertenaga dengan mengenakan baju rekaan Dato Bernard Chandran telah memulakan persembahan tepat pada jam 3.30 petang dengan dua buah lagu rancak, Kaulah Satunya dan Sesuci Cintamu.



Anuar Zain melahirkan rasa syukur dan terima kasih yang mendalam kepada peminatnya yang kekal menyokong tanpa berbelah bahagi dalam perjalanan seni beliau sepanjang 40 tahun. Sebagai penghargaan, selain daripada mendendangkan lagi-lagu hits, Anuar turut menghadiahkan lebih 1000 buah patung beruang, termasuk dua yang bersaiz gergasi kepada para peminatnya!  


Sebagai tanda simbolik menghapuskan halangan diantaranya dengan para peminat yang tersayang, Anuar Zain turut memotong reben sebelum turun ke bawah pentas untuk mendekati para peminatnya. Tersenyum riang, beliau berjabat tangan, berswafoto dan juga sambil ”membaling” patung beruang kepada penonton yang bertuah!


Senarai lagu telah disusun rapi untuk memberi sorotan kepada lagu-lagu hit sepanjang perjalanan seni beliau. Antaranya Cinta Harus Memiliki, Keabadian Cinta, Sedetik Lebih, Lelaki Ini dan sebagainya. 

Beliau turut memberi tribute atau penghargaan kepada artis-artis yang menjadi inspirasi beliau dengan mendendangkan lagu-lagu seperti Saving All My Love (Whitney Houston), Emosi (Sheila Majid), Hello (Lionel Ritchie) dan Hujan (Sudirman Hj Arshad).


Selain itu, Anuar turut menerima kejutan daripada produksi bersempena sambutan hari lahirnya yang jatuh pada 15 Februari lalu. Nyanyian lagu 'Allah Selamatkan Kamu' bergema di ruang Jio Space PJ apabila kek hari jadi bersaiz gergasi diusung ke atas pentas.


Walaupun konsert AZ40 Exclusive Up Close & Personal yang diadakan kali ini cuma berskala kecil, namun konsert ini lebih bermakna kepada para peminatnya kerana berpeluang mendekati penyanyi kesayangan mereka.

Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!