COLUMBIA ASIA LANCAR HOSPITAL KE-18 DI MALAYSIA DI BUKIT JALIL


Columbia Asia Hospital - Bukit Jalil (CAH-BKJ), hospital Columbia Asia yang ke-18 di Malaysia dan ke-27 dalam Kumpulan Hospital Columbia Asia, dirasmikan hari ini. Ia sekali gus meningkatkan ketercapaian terhadap fasiliti kesihatan berkualiti di Bukit Jalil, lokasi kepada lebih 200,000 penduduk dan dijangka terus bertambah. Majilis ini dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal), YBhg. Datuk Dr. Nor Fariza Ngah.

Dengan pembukaan fasiliti perubatan ini di kawasan berpopulasi tinggi, syarikat hospital swasta ini meneruskan misinya sebagai penyedia fasiliti kesihatan yang membawa penjagaan terbaik ke lokasi yang berkeperluan.

Selain dari Bukit Jalil, CAH-BKJ turut menawarkan kemudahan kesihatan kepada penduduk sekitar Sri Petaling, Sungai Besi, OUG, Taman Desa, Seri Kembangan dan Serdang. Ia terhubung dengan rangkaian jalan raya, lebuh raya dan pengangkutan awam; dan merupakan pusat tumpuan terhadap institusi-institusi pendidikan, hab sukan bertaraf dunia, destinasi beli-belah ikonik, pejabat dan kediaman.

Hospital baru ini merupakan hospital tujuh tingkat yang menempatkan 96 katil wad dengan pelbagai kepakaran dan subkepakaran. Pakar perubatannya pula terdiri daripada perunding profesional berkemahiran tinggi dan berdedikasi dengan pengalaman luas dalam perkhidmatan awam.

"Kami menyasarkan untuk memupuk persekitaran penjagaan kesihatan bertumpu kepada pesakit yang mengutamakan keselamatan dan keselesaan, perkhidmatan berkualiti tinggi dan inovasi berterusan bagi menambah baik mutu khidmat kesihatan. Kami mahu menjadi hospital pertama yang dirujuk berkaitan penjagaan kesihatan di kawasan ini, daripada perkhidmatan perubatan asas dan diagnosis dan rawatan penyakit, sehingga rawatan menyelamatkan nyawa," ujar Pengurus Besar Hospital Columbia Asia - Bukit Jalil, Dr. Sharonpal Singh. “Dalam tempoh kami berkhidmat kepada komuniti ini, kami akan terus meningkatkan tahap kemajuan perubatan dan kesediaan kes-kes kecemasan.”

Pada bulan Disember tahun lalu, Hospital Columbia Asia - Bukit Jalil telah menganjurkan SIHAT! Fun Run and Family Carnival bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan, mendidik tentang pencegahan penyakit dan menyumbang semula kepada komuniti. Acara tersebut berjaya menghimpunkan lebih 400 peserta berpandukan objektif hidup sihat. Larian itu turut berhasil mengumpulkan RM16,000 yang disalurkan kepada Pertubuhan Kebajikan Orang Tua Xiao Xin, Pertubuhan Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Home of Peace dan Shelter Christian Fellowship for Aid & Welfare. Dr. Sharonpal menyampaikan cek kepada wakil-wakil organisasi tersebut semasa perasmian hospital.

“Kami berharap untuk terus berhubung dengan komuniti menerusi lebih banyak inisiatif gaya hidup sihat seperti acara kanak-kanak, bengkel kesihatan, ceramah dan saringan kesihatan. Kami ingin memperkuatkan komunikasi berkaitan kepentingan kesihatan dan dalam masa yang sama mencipta kegembiraan dan pengalaman bermakna untuk semua pihak yang terlibat,” sambung Dr. Sharonpal.

Menyusuli ucapan Dr. Pal adalah Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Columbia Asia, Dr. Chan Boon Kheng. “Hospital kami telah berkembang,” Dr. Chan berkata dalam ucapan beliau merujuk kepada CAH-BKJ. “Bermula sebagai pusat komuniti dengan model hospital sederhana, kini ia ditransformasi kepada hospital peringkat tertiari dengan pelbagai cabang perubatan yang lebih kompleks menggunakan teknologi perubatan lebih sofistikated.” Beliau juga mengumumkan projek akan datang termasuk Hospital Columbia Asia baru dengan 200 katil di Batu Kawan, Pulau Pinang tahun depan. Selain itu, beliau turut berkongsi tentang memenuhi permintaan pasaran yang lebih tinggi dalam penjagaan kesihatan yang menyumbang kepada pertumbuhan prasarana empat hospital Columbia Asia sedia ada; iaitu Cheras, Klang, Iskandar Puteri dan Seremban.

Dr. Chan juga menyebut tentang Kempen Pra-Diabetes Columbia Asia yang bertujuan untuk meningkatkan usaha kerajaan dalam menguruskan jumlah kes diabetes yang semakin meningkat di negara ini. “Kami menyokong sepenuhnya matlamat kerajaan yang menekankan tabiat penjagaan kesihatan secara proaktif serta pencegahan penyakit, ke arah membina negara yang lebih sihat.”

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Besar Serantau, Puan Engku Marina Engku Hatim serta ahli-ahli korporat, syarikat-syarikat insurans, Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) dan kakitangan pengurusan Columbia Asia.

Columbia Asia Hospital - Bukit Jalil terletak di Nombor 9, Jalan Jalil Perkasa 7, Bukit Jalil 5700, Kuala Lumpur, bertentangan dengan Universiti Antarabangsa Perubatan (IMU).

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Columbia Asia Malaysia di www.columbiaasia.com/malaysia/ atau ikuti kemas kini aktiviti hospital dan informasi di www.facebook.com/columbiaasia.

Comments

Popular posts from this blog

THE EXPERTS - FILEM AKSI HEIST YANG DINANTIKAN 2024, TAMPILKAN BARISAN PELAKON HEBAT TANAH AIR

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!