SAINTIS MALAYSIA DIANUGERAHKAN RM11.3 JUTA UNTUK MEMACU INOVASI STRATIFIKASI DAN KOMUNIKASI RISIKO KANSER PAYUDARA BAGI POPULASI ASIA


Dr. Ho Weang Kee, Profesor Madya Fakulti Sains dan Kejuruteraan di University of Nottingham Malaysia, telah diberikan anugerah Wellcome Trust Career Development Award (WTCDA) yang amat berprestij, bernilai GBP £1.92 juta (RM11.3 juta) untuk membangunkan kaedah stratifikasi dan komunikasi yang inovatif bagi risiko kanser payudara dalam populasi Asia yang majmuk.

Anugerah yang kompetitif ini merupakan sebuah inisiatif Wellcome Foundation, pertubuhan amal berpangkalan di UK yang diasaskan pada tahun 1936, ia menyalurkan dana kepada usaha penyelidikan bagi membantu meneroka penemuan baharu dalam bidang sains merentasi pelbagai disiplin, berbekalkan matlamat untuk memperbaiki kehidupan, kesihatan dan kesejahteraan manusia sejagat. Anugerah ini mengiktiraf dan menawarkan dana buat para penyelidik dalam pertengahan kerjaya mereka dengan potensi untuk menjadi peneraju dalam program penyelidikan antarabangsa.

Dihoskan bersama oleh University of Nottingham Malaysia (UNM) dan Cancer Research Malaysia, program penyelidikan 8 tahun ini ditujukan untuk menambah baik tahap kejituan model-model ramalan risiko kanser payudara berpaksikan faktor genetik dan persekitaran unik populasi Asia yang majmuk, serta untuk membangunkan kaedah-kaedah komunikasi risiko yang inovatif.

Menjelang Hari Antarabangsa Wanita Dalam Sains (11 Februari 2024), anugerah ini juga memberi peringatan dan meraikan sumbangan sains oleh dan untuk golongan wanita, serta mempamerkan bagaimana pembangunan saintifik yang saksama dapat membawa manfaat buat seluruh anggota masyarakat.

Menangani jurang penyelidikan dalam penilaian risiko

Menjadikan wanita lebih arif mengenai saringan dan pencegahan, yakni dengan memaklumkan kepada mereka tentang risiko mereka menghidap kanser payudara pada masa hadapan dapat membantu mengurangkan ketidakefisienan, pembaziran kos, serta potensi kemudaratan berpunca daripada diagnosis berlebihan. Bagaimanapun, pembangunan alatan penilaian risiko seumpamanya memerlukan data kajian berskala besar, yang tidak tersedia dalam subkumpulan etnik di Asia yang pelbagai.

Menerusi anugerah tersebut, Dr. Ho bercadang untuk memperhalusi penilaian risiko kanser payudara dalam populasi Asia dengan membangunkan kaedah-kaedah inovatif berupaya untuk mengambil cerapan yang bernilai daripada data sedia ada dan yang mungkin kurang efektif dalam populasi yang terpinggir.

“Matlamat program penyelidikan 8 tahun ini mempunyai dua segi: untuk membangunkan dan menggunakan teknik statistik canggih bagi memanfaatkan data sedia ada dan yang kurang efektif untuk membangunkan model-model ramalan risiko penyakit bagi populasi yang kurang mendapat perhatian, serta untuk mengekstrak ciri-ciri pengimejan risiko penyakit bagi memudahkan visualisasi risiko. Rancangannya adalah untuk bermula dengan kanser payudara lalu meluaskan skop ke penyakit tidak berjangkit yang lain pada masa akan datang,” jelas Dr. Ho.

“Program kajian ini bertunjangkan kerja-kerja asas yang telah dijalankan oleh Malaysian Breast Cancer Genetics Studies, iaitu kajian kanser payudara yang terbesar di Malaysia diasaskan oleh Cancer Research Malaysia. Didukung oleh jaringan rakan-rakan kolaboratif daripada UK, AS, Singapura, dan juga Malaysia, bersama warga Healthier Lives Research Cluster di UNM, kita telah membentuk satu asas yang kukuh bagi inisiatif penyelidikan yang sedang dijalankan. Saya yakin bahawa anugerah ini akan memperkasa keupayaan kita untuk mengutuhkan lagi kolaborasi-kolaborasi ini, melibat urus dengan para pemegang tara untuk mengenal pasti strategi yang paling efektif bagi perihal pengurusan penyakit di rantau kita ini," ujar Dr. Ho, yang juga berperanan sebagai pengarah bersama bagi Healthier Lives Research Cluster di UNM.

Mengenai kepentingan pembiayaan bagi kajian kanser, Profesor Datin Paduka Dr. Teo Soo-Hwang, OBE, Ketua Pegawai Saintifik di Cancer Research Malaysia menambah, “Anugerah ini mengiktiraf kecemerlangan saintifik Dr. Ho serta impak kepimpinan beliau dalam kajian kanser. Dr. Ho telah mengetuai kajian-kajian penting mengenai genetik dalam kanser payudara warga Asia serta meluaskan lagi pemahaman kita mengenai cara untuk meramal risiko dengan tepat dan cara untuk menggunakan maklumat ini bagi memastikan strategi saringan yang bertepatan dapat dilaksanakan bagi warga Asia – justeru ia dapat membuka ruang untuk kita merungkai pelbagai alatan baharu yang dapat membuahkan hasil yang bermakna buat warga komuniti.”

Dengan penyelidikan menjadi tumpuan bagi UNM, universiti ini giat mencari penderma, penaja, dan rakan kongsi untuk menjalin kolaborasi dan sokongan dalam medan penyelidikan. Tajaan dan usaha sama yang setara antara UNM serta Cancer Research Malaysia dalam memacu usaha yang penting ini mencerminkan dedikasi berterusan UNM ke atas agenda penyelidikan bagi menangani cabaran-cabaran kritikal dialami oleh dunia moden, demi masa hadapan yang lebih sihat, lestari dan bingkas buat semua.

“Kami berbangga atas penganugerahan Wellcome Trust Career Development Award yang sulung di Malaysia. Komitmen kami di University of Nottingham Malaysia selama ini adalah untuk memajukan usaha perkongsian ilmu dan kajian, mengepalai usaha-usaha kolaboratif seperti dengan Cancer Research Malaysia, dan juga memupuk usaha sama yang merentasi pelbagai disiplin. Tuntasnya, kami berhasrat untuk menangani cabaran besar yang dihadapi dunia nyata di peringkat setempat, serantau dan antarabangsa,” ujar Profesor Ir. Dr. Mohd Shahir Liew, Naib Provos bagi Research and Knowledge Exchange (RKE) di University of Nottingham Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM