PANGGUNG RTM KHAS RAMADAN “PERANG PANJUT TUJUH LIKUR” DI TV1


Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerbitkan telefilem khas dalam mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia ini. Diberi tajuk “Perang Panjut 7 Likur”, ia diarahkan oleh Epo Jenon, Unit Drama TV RTM.

Menampilkan gandingan pelakon utama Fadilah Mansor, Hamidah Wahab, Fauziah Nawi, dan Dalimawati selain turut dibantu Raf Roslee, Dina Allysha, Idan Aedan, Fathil Dani, Jeri dan Sayyid Bakir.

Drama dipilih mengisi slot Panggung RTM ini menemui penonton pada 6 April ini, pukul 9.00 malam di TV1 juga melalui penstriman RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).


SINOPSIS

Mengisahkan tentang tiga wanita veteran yang dahulu semasa mudanya bersahabat baik, Hanan, Numa dan Sabariah. Atas satu kejadian, mereka berseteru sehingga masing-masing berkahwin dan mempunyai anak yang belajar di universiti. Menjelang Ramadan, Tok Su Piah (Ketua Kampung Wanita) mahu mengadakan pertandingan Pesta Panjut bagi meraikan malam tujuh likur di kampung mereka.

Pada awalnya, mereka bertiga menentang hasrat Tok Su Piah, kerana peristiwa panjut ciptaan mereka telah menyebabkan tragedi kematian suami Tok Su Piah dan rumah Tok Su Piah terbakar, menyebabkan mereka bertiga berseteru sehingga kini. Namun dalam diam, mereka bertiga mempunyai perancangan tersendiri untuk turut serta dalam pertandingan pesta panjut itu dan seteru bertukar menjadi perang panjut.

Ketika mereka bertiga membuat persediaan dengan rekaan panjut, masing-masing ditimpa ujian dan dugaan yang membuatkan mereka berputus asa untuk menyertainya. Hanan sebagai tukang jahit, mengalami masalah apabila tiga pelanggan meminta ganti rugi kerana tersalah kain dan jahitan. Numa pula ustazah kampung yang mengajar mengaji, tertangkap dalam insiden ponteng puasa di satu pondok. Sabariah mencari buluh sendiri, lalu dia terjatuh ke dalam curam dan terperangkap di situ beberapa hari kerana kakinya cedera tidak mampu berjalan. Anak masing-masing iaitu Ali, Aisyah dan Umar bertemu dengan Tok Su Piah bagi mengetahui kisah sebenar mengapa ibu mereka berseteru, dan mencari jalan bagaimana untuk menyatukan semula persahabatan mereka.

Atas bantuan Ziyad, cucu kepada Tok Su Piah, Hanan dan Numa menyelamatkan Sabariah. Mereka bertiga merungkai kembali mengapa persahabatan mereka yang terjalin dulu menjadi renggang. Mereka sedar akan khilaf masing-masing kerana ego, dan mahu menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna. Pengakhirannya, Ali, Aisyah dan Umar menyediakan panjut bagi menghiasai malam tujuh likur di surau buloh kampung mereka.



Comments

Popular posts from this blog

ASTRO ORIGINALS PERSEMBAHKAN ‘FRAMED’ GANDINGAN MEERQEEN DAN MIMI LANA BERMULA 3 MEI DI ASTRO PREMIER

MUAZ DAN BELLA BERCINTA? SAKSIKAN LAKONAN MANTAP MEREKA MENERUSI DRAMA TERBAHARU