TELEFILEM “HARI INI SEMALAM”, KERJASAMA RTM – DBP KHAS HARI KEBANGSAAN
Meskipun diberikan kebebasan dalam mengembangkan karya puisi dua sasterawan negara ke dalam penghasilan drama, namun ia bukanlah semudah yang dissangka. Tempoh masa dua tahun diambil bagi memastikan karya adaptasi daripada dua buah puisi, iaitu karya Sasterawan Negara, Dato' Baharuddin Zainal (Baha Zain) berjudul Pilihan Usia dan Masa oleh Dato' Rahman Shaari ini berjaya disiapkan.
Pengarahnya, Wan Mohd Afzam Wan Daud, Unit Drama TV RTM memaklumkan telefilem terbaharu bertajuk “Hari Ini Semalam” ini menuntut banyak kekangan masa termasuklah dalam pemilihan pelakon, lokasi dan skrip kerana persediaan yang lebih terhadap penyelidikan dalam usaha menterjemahkan karya puisi hebat ini ke drama. Realitinya dua puisi istimewa ini terpilih daripada 12 yang dicadangkan pemilihannya pada peringkat asal.
Naskah kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kali keenam ini terus mengangkat karya sastera yang bermutu tinggi ke layar televisyen bertemakan sambutan Hari Kebangsaan. Sebelum ini RTM – DBP pernah bekerjasama dalam penghasilan drama bertajuk Sesekali (2019), Pendoa yang Ikhlas (2019), Capa Rengat Gulai Rawo (2021), Jabat Erat-Erat (2022) dan Pekan Kecil Kampung Terpencil (2023).
Disiarkan mengisi slot Panggung RTM pada 31 Ogos ini, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV1 dan RTMKlik, telefilem ini menampilkan lakonan mantap Iedil Dzuhrie Alaudin watak Amrin, Kathy Azean (Jamilah), Amerul Affendi (Jabar), Raif Irfan (Saat), Jay Iswazir (adik Jamilah) dan Hamsini.
Terdahulu berlangsungnya majlis pratonton telemovie “Hari Ini Semalam” bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hari ini.
SINOPSIS
Seketika nasib malang menggagalkan impian Armin sebagai juara tinju. Bertahun-tahun kemudian, semasa menjalankan perniagaan gimnasium milik bapa angkatnya untuk mendapatkan wang persaraan (mahu pulang ke kampung), Armin bersetuju untuk berlawan bagi kali terakhir. Dia hanya perlu kalah dalam perlawanan tersebut. Namun, kali ini Armin mengambil keputusan untuk menang. Dia yang selama ini “kalah” dalam hidup, ingin merasa nikmat “menang” walaupun sekali.
Sementara itu, Saad sebagai penjual barangan pukal (bundle) secara penstriman langsung pula cuba mendekati seorang gadis. Saad menganggap peluang harus direbut demi masa hadapan. Namun, dia silap percaturan. Hutangnya terhadap beberapa penjual barangan pukal menyebabkan dia diburu. Tidak pernah serik, Saad berulang-ulang melakukan kesilapan.
Jamilah bekerja sebagai seorang penjual roti bermotosikal untuk menyara kehidupannya. Setiap hari dia akan bertemu dengan Atik yang tidak tahu Jamilah ialah ibu saudaranya. Konflik antara Jamilah dan adik lelakinya (ayah Atik) sudah berlaku 20 tahun lamanya. Sehinggalah satu hari ketika bertemu Atik, Jamilah bertembung dengan adiknya itu. Pertengkaran berlaku. Ungkit-mengungkit terjadi.
Namun, Jamilah kekal diam kerana dia tahu dia yang bersalah dalam hal itu. Memujuk adiknya untuk memaafkan kesalahan dahulunya terlihat sukar oleh Jamilah. Armin menjadi orang tengah membantu pertelingkahan dua beradik tersebut.
Comments
Post a Comment