DANONE MALAYSIA JALIN KERJASAMA DENGAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT UNTUK MENANGANI ANEMIA KEKURANGAN ZAT BESI PADA KANAK-KANAK MALAYSIA


Danone, sebuah syarikat makanan dan minuman global, hari ini mengumumkan kerjasama strategiknya dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk membanteras Anemia Kekurangan Zat Besi (IDA) dalam kalangan kanak-kanak Malaysia. Dilancarkan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di IWK Eco Park Pantai Dalam, inisiatif ini menandakan langkah penting dalam menangani masalah kesihatan kritikal yang diketengahkan oleh Kajian Kuat Zat Besi, yang mendedahkan bahawa 1 daripada 3 kanak-kanak Malaysia berisiko menghidap anemia.

YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata, "Kerjasama ini menandakan suatu langkah penting ke hadapan dalam misi kami untuk meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan kanak-kanak di Malaysia. Kami menyambut baik pendekatan proaktif Danone dan memuji komitmen mereka dalam membanteras Anemia Kekurangan Zat Besi dalam kalangan kanak-kanak melalui gerakan Generasi Kuat Zat Besi Dugro. Dengan bergabung tenaga, kita dapat menjangkau lebih ramai kanak-kanak dan memastikan mereka menerima saringan serta penjagaan yang diperlukan untuk menjalani kehidupan yang sihat dan bermakna."

Kerjasama ini bertemakan “Perkasakan Masa Depan Anak Anda – Saring, Cegah dan Tangani” yang dibina berdasarkan kempen berterusan Danone, Dugro Generasi Kuat Zat Besi. Kempen ini merupakan pencapaian penting dalam Kerjasama Awam Swasta untuk menangani isu-isu kesihatan yang berkaitan di Malaysia. Kempen ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memupuk kerjasama inovatif yang dapat membawa perubahan sebenar dalam kehidupan kanak-kanak Malaysia. Dengan menggabungkan sumber dan kepakaran kedua-dua sektor, inisiatif ini bertujuan memberikan impak jangka panjang terhadap kesihatan kanak-kanak di seluruh negara.

"Di Danone Malaysia, komitmen kami untuk meningkatkan kesihatan kanak-kanak didorong oleh inovasi dan pendidikan," kata Koh Kok Meng, Pengurus Negara di Danone Malaysia & Singapura. "Kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini mencerminkan komitmen kami untuk mencipta perubahan yang bermakna dan positif dalam kehidupan kanak-kanak dan keluarga mereka. Bersama-sama, kami berhasrat untuk meningkatkan kesedaran, memperkukuh pengesanan awal, dan menyediakan sokongan yang diperlukan untuk membanteras Anemia Kekurangan Zat Besi (IDA), sekali gus memastikan masa depan yang lebih sihat untuk kanak-kanak negara kita."

Inisiatif ini adalah selaras dengan Kertas Putih Kesihatan kerajaan, yang memberikan tumpuan pada transformasi perkhidmatan kesihatan, memajukan penggalakan kesihatan dan pencegahan penyakit, sekali gus memastikan penjagaan yang mampu milik, serta memperkukuh tadbir urus sistem kesihatan.

Memperkukuhkan Pengesanan dan Intervensi untuk Anemia Kekurangan Zat Besi (IDA)

Profesor Dr Muhammad Yazid Jalaludin, Profesor dan Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Pediatrik, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya berkata, "Tahun lalu, kami menekankan prevalens anemia yang membimbangkan dalam kalangan kanak-kanak Malaysia melalui Kajian Kuat Zat Besi. Tahun ini, fokus kami adalah untuk mendorong kesedaran mengenai pengesanan awal dan intervensi. Ramai ibu bapa tidak menyedari bahawa anak mereka mungkin menghidap anemia kerana keadaan ini sering tidak menunjukkan simptom yang jelas dan akses kepada saringan pula adalah terhad. Jika kekurangan ini tidak dikesan, ia boleh memberikan kesan yang serius kepada pertumbuhan kanak-kanak dan mungkin menyebabkan impak yang tidak boleh dipulihkan terhadap perkembangan otak serta kebolehan pembelajaran mereka pada masa hadapan.”

Profesor Dr Muhammad Yazid juga mengetuai sekumpulan pakar kesihatan pediatrik, obstetrik dan ginekologi, perubatan keluarga dan kesihatan awam dari Malaysia, Thailand, Laos, Myanmar, Kemboja, dan India yang memiliki pelbagai kepakaran untuk menubuhkan konsensus pakar bagi meningkatkan kesedaran serta menyediakan cadangan untuk saringan dan pengurusan kanak-kanak yang berisiko menghidap Anemia Kekurangan Zat Besi (IDA). Konsensus ini turut menekankan langkah-langkah pencegahan terhadap IDA pada kanak-kanak.

"Konsensus ini menekankan betapa pentingnya intervensi awal melalui saringan," jelas Profesor Yazid. "Pakar-pakar di seluruh Asia Tenggara dan India bersetuju bahawa pengesanan awal anemia adalah penting untuk mengurangkan kesan kesihatan berkaitan pada kanak-kanak. Perjanjian serantau ini menyediakan asas yang kukuh untuk memperluas usaha saringan bukan sahaja di Malaysia tetapi berkemungkinan juga di seluruh rantau ini."

Panel pakar mengesyorkan saringan anemia tidak invasif secara tahunan bagi semua kanak-kanak berusia 1-5 tahun. Pendekatan strategik ini bertujuan meningkatkan pengesanan awal dan pengurusan Anemia Kekurangan Zat Besi (IDA). Selain itu, konsensus menekankan kepentingan intervensi pemakanan, terutamanya pengukuhan makanan dan susu, kerana kajian menunjukkan langkah-langkah ini memainkan peranan yang penting dalam membanteras anemia dan kekurangan zat besi. Pengambilan vitamin C dan prebiotik juga disarankan untuk meningkatkan penyerapan zat besi.

Konsensus ini turut menekankan betapa pentingnya mendidik ibu bapa dan penjaga mengenai risiko dan pencegahan IDA, sekali gus membantu mengurangkan risiko IDA pada semua kanak-kanak.

Pendekatan Inovatif dan Holistik untuk Saringan dan Pencegahan

Bagi menjadikan saringan lebih mudah diakses dan bebas tekanan, Danone memperkenalkan pendekatan yang inovatif dan tidak invasif untuk saringan anemia. Secara tradisinya, saringan anemia bersifat invasif, yang menyebabkan ibu bapa enggan menjalani ujian untuk anak-anak mereka. Teknologi inovatif ini membolehkan pengesanan risiko anemia tanpa rasa sakit. Matlamatnya adalah untuk menggalakkan lebih ramai ibu bapa mengambil bahagian dalam saringan ini, memastikan pengesanan awal dan intervensi yang tepat pada masanya.

Selain saringan fizikal, Danone Malaysia turut memperkenalkan Soal Selidik Saringan Kuat Zat Besi yang boleh diakses oleh orang ramai. Alat penilaian kendiri dalam talian ini, yang dibangunkan dengan kerjasama panel pakar pediatrik dan pemakanan, membantu ibu bapa menilai keperluan zat besi anak mereka berdasarkan umur dan tabiat pemakanan. Alat ini juga memberikan panduan tentang cara memasukkan makanan kaya zat besi ke dalam diet anak-anak.

"Di Danone, kami percaya dalam pendekatan holistik untuk menangani anemia kekurangan zat besi pada kanak-kanak," kata Kok Meng. "Strategi kami menggabungkan kesedaran, pendidikan, dan penyelesaian pemakanan inovatif untuk menangani isu kesihatan yang kritikal ini pada kanak-kanak."

Strategi menyeluruh Danone Malaysia merangkumi:

● Pembangunan Dugro dengan Iron Active, iaitu susu tepung rumusan untuk kanak-kanak yang inovatif dan diperkaya. Produk ini diformulasikan dengan gabungan unik zat besi dan vitamin C yang membantu dalam penyerapan 3X*, serta DHA dan 21 vitamin serta mineral penting.

*Dengan kombinasi optimum nisbah Vitamin C : Zat Besi antara 3 dan 4, dalam lingkungan yang disyorkan oleh WHO untuk meningkatkan penyerapan Zat Besi.

● Saringan anemia di seluruh negara di taska atau pusat jagaan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

● Jelajah Dugro Generasi Kuat Zat Besi menawarkan saringan anemia tidak invasif secara percuma dan konsultasi pemakanan kepada ibu bapa serta penjaga.

Melalui usaha holistik ini, Danone Malaysia berhasrat untuk mengurangkan dengan ketara prevalens anemia kekurangan zat besi dalam kalangan kanak-kanak Malaysia. Danone Malaysia berharap untuk memetakan saringan anemia sebagai agenda kebangsaan untuk semua kanak-kanak, selaras dengan misi syarikat untuk membawa kesihatan melalui makanan kepada seramai mungkin orang.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jelajah Dugro Generasi Kuat Zat Besi dan Soal Selidik Kuat Zat Besi, sila layari www.dugro.com.my.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

PESTA SEMBILAN MAHARAJA DEWA DAN AMALAN VEGETARIAN

KULIT LEBIH CERAH DAN LEBIH DILINDUNGI DENGAN PELINDUNG MATAHARI SAFI PERFECT WHITE 3X ADVANCE BRIGHTENING SPF 50+ PA ++++ YANG BAHARU