LEBIH ENAM DEKAD TEMANI RAKYAT MALAYSIA, TV1 RAIKAN ULANG TAHUN KE-61

Lebih enam dekad bersiaran, saluran TV1 terus mewarnai anda dengan memberikan hiburan dan menyebarkan informasi secara percuma selama 61 tahun. Kekal unggul sehingga kini menjadi pilihan rakyat Malaysia, TV1 bukan sekadar saluran televisyen tetapi merupakan warisan, suara bangsa yang menyatukan semua dalam cerita-cerita yang membangkitkan semangat dan memperkaya jiwa.

Dengan perjalanan yang penuh warna, TV1 telah menjadi saksi setiap momen bersejarah yang membentuk bangsa hari ini mulai dari program-program klasik hingga peristiwa bersejarah yang ditayangkan secara langsung.

Genap 61 tahun pada 28 Disember ini, TV1 menghadiahkan tayangan tiga telemovie terbaik iaitu “Kami Nak Jadi Superstar”, pukul 1.30 tengah hari, “Hari Itu Dalam Sejarah”, pukul 4.05 petang dan “This Is Pilah”, pukul 9.00 malam.


Mengisi slot Memori, “Kami Nak Jadi Superstar arahan Rizalwan Ramli yang menampilkan lakonan mantap Mark Adam, Joey Daud, Acong Sweetchild, Ucop Cecupak, Chomatt Samad, Bae Balqis, Octovia Manrose, Fanna Azizan, Kazar Saisi, Noralbaniah, Al-Farabi Band. Ia mengisahkan Aliff. Bani dan Mael datang ke Kuala Lumpur untuk menyertai ‘Battle of The Band’. Mereka menghadapi kesukaran, termasuk tidur di jalanan dan barang di curi. Eddy, seorang pekerja di stesen minyak menumpangkan mereka di rumahnya. Bersama-sama dengan rakan serumahnya, Boy, Eddy membantu mereka mencari pekerjaan yang sesuai. Eddy dan Boy kemudiannya memperkenalkan mereka dengan Al-Farabi Band, yang melatih mereka menjadi sebuah kumpulan muzik yang hebat. Kumpulan mereka semakin terkenal dengan lagu ‘Untukmu Ibu’ yang hit di corong radio. Namun adakah kejayaan mereka kekal bertahan?


Mengembalikan nostalgia TV berwarna, drama terbitan Unit Drama TV RTM dengan tajuk “Hari Itu Dalam Sejarah” berkongsi cerita kegembiraan Karim, 12 tahun dan kawan-kawannya padam apabila mendapat tahu yang Cikgu Mutalib sudah pulang dari bercuti dengan membawa sebuah kotak televisyen warna. Masing-masing cuba mendekati Cikgu Mutalib untuk menonton televisyen warna yang pertama ada di kampung tersebut. Begitu juga dengan Karim. Tanpa memperdulikan kegarangan Cikgu Mutalib, pelbagai cara dilakukan Karim untuk mendekatinya dan diberikan peluang menonton televisyen warna.


Slot Panggung RTM menghadirkan drama “This Is Pilah” lakonan Joey Daud, Megat Adli, Datin Fadilah Mansor, Datuk Tamimi Siregar, Kazar Saisi, Amar Titan dan Pyan Habib. Kisahnya berkembang dengan latar cerita Hanif dan Mat Kadir (MK) berusaha mengejar cita-cita mereka untuk masuk televisyen. Dengan meminjam motor Pak Dollah tanpa kebenarannya, mereka sampai di Kuala Lumpur. Di sana, mereka bertemu dengan Pak Osman, seorang seniman jalanan yang memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar. Ellie Iskandar, seorang wartawan televisyen membantu mereka apabila melihat bakat yang ada pada Hanif dan MK. Adakah impian mereka kesampaian?

Luangkan masa sepanjang hari 28 Disember ini dengan bersama-sama menyaksikan saluran TV1 atau ikutinya dimana-mana sahaja menerusi RTMKlik.

Comments

Popular posts from this blog

“RONA BOSPHORUS”, DRAMA ADAPTASI PERTAMA BUKA TIRAI DI RTM TAHUN 2025

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!

KEHADIRAN WATAK-WATAK BAHARU MENCERIAKAN ASTRO SMK MUSIM 3