MUZIKAL “ARABIAN NIGHTS” SEKOLAH SRI KDU KOTA DAMANSARA BERJAYA KUMPUL LEBIH RM38,000
Sekolah Sri KDU Kota Damansara telah menganjurkan muzikal Arabian Nights: The Aladdin Musical Production yang berjaya mengumpul dana sebanyak RM38,505 untuk membantu rumah kebajikan tempatan. Persembahan muzikal ini berjaya menjadi salah satu platform terbesar bagi sekolah terbabit mengumpul dana, dengan penyertaan 383 pelajar yang turut mendapat sokongan yang menggalakkan daripada ahli keluarga dan komuniti setempat.
Sebagai sebuah produksi persembahan yang menakjubkan dengan berlatarbelakangkan keindahan kota Agrabah, pementasan muzikal ini mengisahkan seorang lagenda bergelar Aladdin, iaitu pemuda yang gagah, berani dan pintar yang telah berjaya memenangi hati Puteri Jasmine dan menggagalkan rancangan ahli sihir Jafrrina. Selain kostum berwarna-warni, dekorasi pentas yang mempesonakan dan watak Genie yang mencuit hati, barisan pelakon yang lain juga berjaya menghidupkan cerita ini dengan persembahan yang penuh bertenaga. Selain unsur kasih sayang, persahabatan dan kepercayaan antara satu sama lain, pementasan yang bertemakan magik, romantik dan pengembaraan ini berjaya menghiburkan hati para hadirin.
Persembahan muzikal yang memukau ini juga menyaksikan penyertaan 383 pelajar berusia 7 hingga 12 tahun yang memainkan pelbagai peranan yang mengagumkan, termasuk pelakon, penari, ahli koir dan pembantu di belakang tabir seperti krew pentas, pengurus props dan pasukan yang menguruskan segala keperluan termasuk makanan dan minuman. Muzikal ini turut menampilkan Sri KDU String Orchestra yang terdiri daripada 37 ahli, yang baru-baru ini telah memenangi anugerah dan mendapat pengiktirafan antarabangsa di sebuah pertandingan di Hong Kong.
“Apa yang menjadikan pementasan ini istimewa ialah bagaimana ia menggabungkan pelbagai aspek pembelajaran: Kreativiti, tanggungjawab dan belas kasihan serta meningkatkan kualiti pementasan muzikal tempatan yang bertaraf antarabangsa,” kata Puan Shamsiah Binti Anverdeen, Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Sri KDU. “Setiap pelajar berjaya memainkan peranan mereka, tidak kira di atas pentas atau di belakang tabir, dan dedikasi mereka benar-benar menghidupkan cerita ini dalam persembahan yang penuh bermakna ini. Mereka benar-benar menjadikan cerita ini milik mereka sendiri!”
Sebagai sebahagian daripada komitmen sekolah terhadap kebajikan dan kerja-kerja amal, Arabian Nights berjaya mengumpul sebanyak RM38,505 menerusi jualan tiket. Bersama sumbangan yang diterima melalui Karnival Merdeka, jumlah dana yang berjaya dikumpul mencecah sebanyak RM77,000. Sumbangan ini akan disalurkan kepada Pusat Jagaan Titian Kaseh dan Rumah HOPE bagi membeli barangan keperluan dan kegunaan pusat berkenaan. Inisiatif ini juga selaras dengan misi sekolah untuk memupuk rasa tanggungjawab sosial di kalangan pelajarnya menerusi sokongan aktiviti yang bermakna.
“Kami amat berterima kasih di atas sokongan ibu bapa, komuniti dan kakitangan yang nekad menjayakan acara ini. Kegembiraan dan keterujaan pelajar jelas kelihatan melalui persembahan mereka. Segala usaha dalam menjayakan persembahan ini untuk tujuan amal jelas memperkukuhkan nilai-nilai murni dan memberikan pengalaman yang amat bermakna kepada semua yang terlibat,” tambah Shamsiah.
Persembahan muzikal ini menampilkan dua sesi yang mempamerkan bakat pelajar yang mengagumkan, sambil mengukuhkan komitmen sekolah untuk memberi sumbangan kepada masyarakat. Hasil usaha para pelajar juga terserlah apabila mereka secara sukarela meluangkan masa selama berbulan-bulan untuk berlatih, menari dan menghafal skrip.
Rayshen Venkatachalam, yang memainkan watak Genie, berkongsi bagaimana pengalaman ini memberikan impak yang positif kepadanya. “Beraksi di atas pentas adalah pengalaman yang luar biasa bagi saya. Ia berjaya meningkatkan keyakinan diri saya, selain membantu saya mengatasi rasa gugup ketika berada di atas pentas. Saya juga tidak menyangka saya boleh menyanyi, kerana saya melihat diri saya hanya sebagai seorang penari. Namun, saya gembira kerana melalui persembahan ini, saya berjaya memperoleh pengalaman dan kemahiran baharu! Memang agak sukar untuk mengimbangi sesi latihan dan pelajaran, tetapi ia mengajar saya untuk lebih berdisiplin dan memperbaiki pengurusan masa saya.”
Ibunya, Puan Lavania Kumaraendran turut meluahkan penghargaan terhadap dedikasi dan komitmen para guru yang terlibat. “Guru-guru di sekolah Sri KDU sangat komited, sentiasa membimbing pelajar untuk memperbaiki diri dan bekerjasama sebagai satu pasukan. Mereka benar-benar berusaha mencipta persekitaran sekolah yang positif, di mana anak-anak diberi ruang untuk berkembang, meneroka kreativiti mereka dan menyerlahkan bakat mereka menerusi aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.”
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif komuniti Sekolah Sri KDU Kota Damansara atau aktiviti-aktiviti akan datang, sila layari https://www.facebook.com/SriKDUSchools/.
Comments
Post a Comment