VIU MALAYSIA TERUS LANCARKAN DRAMA BERDURASI PENDEK, 'PERSIS BONEKA' LAKONAN BAKAT MUDA QASRINA KARIM DAN FAZZIQ MUQRIS
Viu, perkhidmatan penstriman video OTT pan serantau milik PCCW, telah melancarkan drama bersiri pendek kedua tahun ini berjudul Persis Boneka. Drama romantik komedi 30 episod terbitan Global Film Station Sdn Bhd ini menampilkan dua pelakon baharu yang sedang meningkat naik, Qasrina Karim dan Fazziq Muqris.
Persis Boneka mengisahkan Ana, seorang pelajar fesyen yang obses mengumpul barang-barang lama hingga keluarganya sering memanggilnya sebagai seorang pengumpul tegar. Keadaan menjadi lebih buruk apabila teman lelakinya Juan mengkhianatinya setelah bertahun-tahun bersama dengan alasan dia tidak lagi mencintainya.
Hidup Ana berubah apabila dia terjumpa sebuah mannequin lama dari tempat pembuangan sampah dan menamakannya Adam. Yang mengejutkan, mannequin itu tiba-tiba hidup dan berubah menjadi manusia. Adam mendedahkan bahawa dia hanya mempunyai tujuh hari untuk menjalani kehidupan sebagai manusia, dan kehadirannya mula mengubah perspektif Ana. Dengan bantuan Adam, Ana kembali merasai cinta — bukan untuk Juan, tetapi untuk Adam. Namun, masa semakin singkat dan misteri di sebalik kewujudan Adam perlu dirungkai sebelum segalanya berakhir.
Menariknya, drama arahan Hadith Omar ini masih mengekalkan format berdurasi hanya 3 minit setiap episod. Persis Boneka akan mula ditayangkan setiap hari di platform Viu bermula 19 Disember dan akan ditayangkan di TikTok Viu Malaysia sehari selepas siaran di aplikasi Viu. Drama ini dibawakan khas oleh Safi sebagai penaja utama.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.viu.com.
Comments
Post a Comment