TOUS LES JOURS KINI BERTAPAK DI MALAYSIA: CJ FOODVILLE GANDING BAHU DENGAN STREAM EMPIRE HOLDINGS UNTUK LANCARKAN PENGALAMAN BAKERI PERANCIS-KOREA
CJ Foodville, pemimpin global dalam sektor makanan dan minuman, telah mengumumkan secara rasmi sebuah usaha sama penting dengan SEH Food, sebahagian daripada Stream Empire Holdings dari Malaysia untuk mengembangkan Tous les Jours, sebuah kafe-bakeri bercitarasakan Perancis-Korea yang terkenal ke pasaran Malaysia. Gedung pertama di Malaysia yang bakal dibuka di Sunway Pyramid menjelang suku kedua 2025, menandakan mercu jaya penting dalam kerjasama antara kedua-dua syarikat ini.
Dari kiri ke kanan (Baris Atas):
Jaclyn Tan, Ketua Pegawai Pemasaran Stream Empire Holdings
Robert Lim, Pengarah Urusan Stream Empire Holdings
Justin Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Stream Empire Holdings
Jeong Soo Won, Ketua Wilayah Asia Tenggara CJ Foodville
Lee Chi Hyung, Ketua Bahagian Perniagaan Global CJ Foodville
Shin Hee Sung, Ketua Pegawai Eksekutif Ibu Pejabat Wilayah CJ Group
Kim Yong Jae, Pengarah Perhubungan Luar CJ Regional HQ
Dari kiri ke kanan (Baris Bawah):
Jordan Lim, Ketua Pembangunan Perniagaan Stream Empire Holdings
Brian Chok, Ketua Pegawai Kewangan Stream Empire Holdings
Ryan Choong, Pengurus Besar Kumpulan Stream Empire Holdings
Ho Soo Ling, Pengurus Besar SEH Food
Loh Mei Chin, Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan Stream Empire Holdings
Jim Park, Pengarah Pembangunan Perniagaan Global CJ Foodville
Tous les Jours, yang bermaksud "setiap hari" dalam Bahasa Perancis, telah berkembang maju menjadi sebuah bakeri tumpuan masyarakat setempat yang mengkhusus dalam sajian bakeri bercitarasakan Asia-Perancis, minuman buatan tangan (handcrafted), serta kopi dan espresso lazat yang diperbuat dengan ramuan terbaik.
Jenama ini mempunyai 1,300 cawangan di Korea dan 550 cawangan global di pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, China, Mongolia, dan rantau ASEAN seperti Indonesia, Vietnam, Kemboja, dan Singapura. Komitmen jenama kepada ramuan premium dan produk bakeri segar menjanjikan pengalaman kafe-bakeri yang luar biasa untuk menambat selera pengguna Malaysia.
Malaysia telah dikenal pasti sebagai pasaran strategik untuk Tous les Jours, berlandaskan minat yang semakin bertambah terhadap budaya bakeri premium dan kecenderungan orang ramai memilih jenama-jenama Korea. Memanfaatkan kemudahan pengilangan dengan pensijilan Halal di Indonesia, Tous les Jours bersedia untuk memenuhi keperluan pasaran makanan halal Malaysia. Gedung perdana sulung di Sunway Pyramid akan menjadi tunggak yang menerajui pertumbuhan jenama di Malaysia, sambil memartabatkan Tous les Jours sebagai kafe bakeri terulung di negara ini.
SEH Food, sebahagian daripada Stream Empire Holdings telah dilantik sebagai pemegang francais induk untuk Tous les Jours di Malaysia. Syarikat ini sememangnya sudah dikenali umum kerana memegang portfolio pelbagai jenama antarabangsa dari pelbagai industri seperti fesyen, kecantikan dan makanan. Kepakaran syarikat termasuk menguruskan jenama seperti New Era, Quiksilver, Roxy, ByWishtrend dan banyak lagi. Kerjasama ini merupakan satu usaha berani untuk menceburi sektor F&B, dengan rancangan pengembangan operasi serantau pada masa depan.
“Kerjasama dengan CJ Foodville untuk membawakan Tous les Jours ke Malaysia membuka lembaran baharu untuk Stream Empire Holdings,” kata Justin Lim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Stream Empire Holdings. “Langkah mempelbagaikan pelaburan ke sektor F&B membolehkan kami memanfaatkan kepakaran dalam peruncitan dan e-dagang sambil memenuhi permintaan yang semakin bertambah bagi pengalaman menjamu selera yang unik dan premium. Gabungan inovatif cita rasa Perancis dan Korea yang dibawakan Tous les Jours sejajar dengan misi kami untuk memperkenalkan jenama bertaraf dunia kepada pengguna Malaysia.”
Jeong Soo Won, Ketua Wilayah Asia Tenggara CJ Foodville menambah, “Di CJ Foodville, kami bertekad untuk meluaskan capaian global Tous les Jours dengan membawakan pengalaman bakeri ala Perancis-Korea kepada lebih banyak masyarakat di serata dunia. Malaysia merupakan sebuah pasaran penting bagi kami dengan dunia kulinari yang menarik dan minat mendalam orang ramai terhadap kafe-bakeri premium. Kerjasama dengan Stream Empire Holdings merupakan satu mercu jaya penting dalam usaha kami untuk berkongsi keseronokan menikmati produk bakeri segar di Asia Tenggara.”
Kerjasama yang dimeterai hari ini bakal memberikan sumbangan besar kepada ekonomi Malaysia dan sektor F&B serantau. Pelaburan akan dibuat dalam ruang niaga runcit, sambil mencipta peluang pekerjaan dan membangunkan rantaian bekalan yang kukuh. Menggabungkan kepakaran global CJ Foodville dengan pengalaman peruncitan dan e-dagang Stream Empire Holdings yang menyeluruh, Tous les Jours bersedia untuk mencapai pertumbuhan mampan di Malaysia.
Untuk maklumat terkini Tous Les Jours di Malaysia, sila kunjungi @touslesjours_my di Instagram, dan Tous Les Jours MY di Facebook.
Comments
Post a Comment