ZAHNITA WILSON KEMBALI BERAKSI: SIMBOL KEKUATAN DI SEBALIK VIDEO MUZIK "AKU TETAP RAYA" SOMA!


Kemunculan semula model dan pelakon terkenal era 2000-an, Zahnita Wilson, dalam video muzik terbaru penyanyi baharu, Soma, "Aku Tetap Raya", pastinya menjadi bualan hangat dalam industri seni tanah air. Setelah lama menyepi dan memberi tumpuan kepada keluarga di Kuantan, Zahnita kembali ke set penggambaran, mengimbau kenangan lalu yang penuh nostalgia.

Momen Istimewa dan Perasaan Bercampur Baur

"Saya tidak sangka akan kembali ke set penggambaran selepas berpuluh tahun menyepi," ujar Zahnita dengan nada teruja. "Sewaktu kamera mula merakam, perasaan bercampur-baur. Ada rasa gementar, ada juga rasa terharu kerana masih diberi peluang untuk berkarya."

Namun, dengan bantuan pihak produksi yang berpengalaman dan sikap Soma yang lemah lembut, Zahnita berjaya mengatasi rasa kekok dan memberikan persembahan yang memukau.
Bangkit dari Dugaan, Terus Kuat untuk Anak-Anak

Kemunculan semula Zahnita ini hadir di saat dirinya baru sahaja menghadapi dugaan berat dalam kehidupan peribadi. Baru-baru ini, beliau menjadi tumpuan selepas dikatakan terlibat dalam kes dipukul suami. Namun, Zahnita memilih untuk tidak mengulas lanjut dan mahu memberi fokus kepada masa depan.

"Saya mahu terus kuat untuk anak-anak dan ingin menjalani kehidupan yang lebih bermakna selepas ini," tambahnya dengan penuh semangat.


"Aku Tetap Raya": Lagu Raya Penuh Makna

Lagu "Aku Tetap Raya" nyanyian Soma, yang dilancarkan pada 6 Mac lalu, menampilkan tema kekeluargaan dan erti sebenar sambutan Aidilfitri. Pemilihan Zahnita sebagai pelakon, selepas kemunculan istimewa Datuk Khadijah Ibrahim, dilihat sebagai satu keputusan yang tepat dan bermakna.

Lagu ciptaan bersama Belle Fattah, Adinda Amiro, dan Soma sendiri ini diharap dapat membawa keceriaan kepada peminat muzik tempatan sepanjang musim perayaan. "Lagu ini sangat bermakna pada saya kerana, saya cuba tampilkan kemeriahan sambutan raya berkeluarga dan semangat untuk pulang beraya pada yang tinggal di kota," jelas Soma.
Simbol Kekuatan dan Inspirasi

Menurut pihak produksi, keterlibatan Zahnita dalam projek ini bukan sahaja memberikan elemen nostalgia kepada peminat lama, tetapi juga menjadi simbol kekuatan seorang wanita yang bangkit selepas melalui ujian hidup.

Video muzik "Aku Tetap Raya", yang dilancarkan secara digital pada 14 Mac, dan kemunculan semula Zahnita Wilson pastinya akan menjadi antara momen yang dinanti-nantikan oleh peminat industri seni tanah air.

Comments

Popular posts from this blog

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!

ASTRO DAN SUN NXT BEKERJASAMA BAWAKAN HIBURAN INDIA TERBAIK UNTUK RAKYAT MALAYSIA

BERMULANYA ‘ASTRO SHAW CINEMATIC UNIVERSE’ : KELUANG MAN MENGAKTIFKAN PENGALAMAN PERTAMA SUPERHERO MALAYSIA MELANGKAUI LAYAR