FILEM 'MANTERA': GABUNGAN SERAM DAN TRADISI DALAM KISAH BOBOLIAN DUSUN


Kisah-kisah seram yang berlatarbelakangkan budaya dan kepercayaan sesuatu kaum, terutama di negeri Sabah, memang jarang sekali diketengahkan. Lebih menarik lagi apabila cerita tersebut berkait rapat dengan amalan tradisi lama yang masih dipegang teguh hingga kini. Inilah yang cuba dipaparkan dalam filem terbaharu berjudul Mantera.

Filem terbitan Pro Merge Vision Sdn. Bhd. ini menyelami tradisi kuno amalan ritual yang dilakukan oleh Bobolian, atau bomoh dalam kalangan kaum Dusun. Menurut pengarahnya, Chester Pang, Mantera lahir daripada inspirasi kisah-kisah Bobolian, dan beliau merasakan terpanggil untuk berkongsi kekayaan budaya ini dengan khalayak ramai.


"Ramai yang mungkin tidak mengetahui tentang tradisi lama amalan ritual yang dilakukan oleh Bobolian sebagai ketua adat, perantara, dan penyeimbang antara alam nyata (manusia) dan 'kinohiringan' (dewa). Kisah mengenai Bobolian atau bomoh kaum Dusun ini saya rasa cukup menarik untuk diangkat menjadi sebuah filem," jelas Chester.

Mantera dibintangi oleh barisan pelakon popular seperti Syafie Naswip dan Namron, serta bakat-bakat kelahiran Sabah seperti Jovenia Jim, Wedylin Batala, dan Larry Noh. Chester menerangkan bahawa filem ini berkisar tentang penyiasatan kes pembunuhan yang mempunyai kaitan erat dengan amalan Bobolian.

Lebih daripada sekadar filem seram biasa, Mantera turut memaparkan ritual-ritual yang diamalkan oleh Bobolian dan menyelitkan elemen roh jahat dalam kehidupan masyarakat setempat. Pengalaman seram turut dirasai oleh kru produksi ketika penggambaran berlangsung di Tambunan, Apin-Apin, dan Kota Belud pada Februari 2024.


"Kejadian pertama berlaku ketika babak memanggil roh di sebuah balai raya. Pelakon utama wanita dan seorang pelakon pembantu wanita telah dirasuk, namun berjaya dikawal oleh seorang guru silat yang kebetulan berada di lokasi. Insiden kedua pula melibatkan seorang kru yang terjatuh ke dalam gaung dan mendakwa dirinya seperti ditarik sesuatu. Malah, kejadian itu turut disaksikan oleh Syafie Naswip dan Namron," ungkap Chester.

Meskipun menghadapi cabaran dan pengalaman menyeramkan, Chester yakin filem arahannya ini wajar ditonton apabila ditayangkan di pawagam mulai 24 April 2025. Beliau menekankan bahawa Mantera bukan sekadar menyajikan kengerian, tetapi juga membawa naratif yang unik dengan menonjolkan amalan tradisi kaum Dusun yang mungkin belum banyak diketahui.

"Filem ini menggabungkan elemen seram dan misteri dengan tema budaya masyarakat di Sabah yang jarang dipaparkan. Ini menjadi salah satu daya tarik utama untuk menontonnya. Sebagai penerbit, harapan saya agar filem ini dapat diterima ramai dan meraih sambutan yang luar biasa," katanya.


SINOPSIS:

Tana, seorang wanita muda yang mewarisi kemampuan spiritual dari keturunan Bobolian, harus berhadapan dengan serangkaian kejadian aneh ketika roh jahat mulai mengancam orang-orang terdekatnya. Di tengah peristiwa misteri dan kematian yang menakutkan, Tana menemukan asal-usul roh jahat bernama Lupiah dan kaitannya dengan nenek moyangnya, Ondiya, seorang Bobolian di masa lalu. Dengan bantuan Inspektor Zafri, seorang polis muda dengan masa lalu kelam, mereka berdua terpaksa menghadapi roh jahat 'Rogon Lupiah' dalam pertarungan yang epik.

Saksikan 'Mantera' di pawagam berhampiran anda mulai 24 April 2025.

Comments

Popular posts from this blog

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!

DENDAM DI BULAN SYAWAL: ULASAN PANAS FILEM AKSI 'BLOOD BROTHERS: BARA NAGA'