TAYLOR’S COLLEGE UMUMKAN 10 PENDIDIK UNGGUL UNTUK RISE EDUCATOR AWARD 2025


Taylor’s College dengan sukacitanya mengumumkan sepuluh pendidik luar biasa yang telah disenarai pendek bagi RISE Educator Award 2025. Bermula dari 13 Mei hingga 23 Mei 2025, orang awam dijemput untuk mengundi guru pilihan mereka dan memberi penghargaan atas sumbangan cemerlang dalam membentuk masa depan pendidikan serta memperkasakan pelajar.

Kesemua sepuluh finalis, dengan kisah dedikasi dan kecemerlangan yang tersendiri, kini dipaparkan di laman web rasmi RISE Educator Award 2025 untuk undian umum:

Peneraju dalam Pendidikan Khas

Pendidikan khas memerlukan lebih daripada sekadar sifat ihsan. Ia memerlukan inovasi, ketahanan, dan keyakinan mendalam terhadap potensi setiap anak. Para pendidik ini mengubah konsep inklusif dengan mencipta persekitaran pembelajaran yang sesuai serta memperkasa pelajar berkeperluan khas melalui kemahiran hidup, muzik, dan penglibatan komuniti yang bermakna.

Tan Meng Wei bukan sekadar seorang pendidik; beliau merupakan seorang pendokong gigih yang berjuang untuk pelajar berkeperluan khas. Semangat inovasinya terserlah dalam setiap projek yang beliau terajui. Sepanjang perkhidmatannya di SMK Pengkalau Aur, beliau telah menubuhkan bilik multimedia yang mudah diakses oleh pelajar yang menghadapi cabaran mobiliti dan gangguan hiperaktif, bagi memastikan setiap pelajar dapat belajar. Kini di SMK Tat Beng, Perak, apa yang benar-benar membezakan Tan adalah komitmennya dalam mengajar kemahiran hidup melalui inisiatif pertaniannya, di mana pelajar mempelajari cara menanam pisang, cendawan dan membiak ikan hiasan sebagai kemahiran yang berguna sepanjang hayat mereka. Malah, hasil tanaman pelajar dijual ke restoran tempatan, sekaligus memberi mereka pendedahan kepada kemahiran keusahawanan. Pendekatan Tan bukan hanya tertumpu kepada akademik; beliau komited untuk memperkasakan pelajarnya agar cemerlang di dalam dan di luar bilik darjah.

Stefanus Lucas merupakan pencetus perubahan dalam pendidikan muzik untuk pelajar kurang upaya. Di SK Pendidikan Khas Kota Kinabalu, Sabah, beliau menggunakan muzik sebagai penghubung bagi merapatkan jurang pembelajaran dalam kalangan pelajar yang mengalami masalah penglihatan dan pendengaran. Meskipun berdepan kekangan sumber, beliau berjaya menubuhkan sebuah kumpulan muzik lelaki dan bilik muzik khas bagi memberi ruang kepada pelajarnya untuk meneroka bakat mereka. Impian beliau adalah untuk membentuk sebuah kumpulan pelajar yang menggabungkan alat muzik tradisional dan moden, yang belum pernah dilakukan di Sabah. Selain itu, beliau juga sedang menubuhkan sebuah bilik muzik khusus untuk pelajar Kurang Upaya Pendengaran. Melalui kreativiti dan semangatnya, Stefanus memberi peluang kepada pelajar untuk mengekspresikan diri mereka dengan cara yang sebelum ini dianggap mustahil.

Pemangkin Perubahan Komuniti

Guru-guru ini melangkaui batasan bilik darjah dengan merapatkan jurang dari segi akses, peluang, dan kebajikan. Sama ada memperkenalkan aktiviti kokurikulum di sekolah-sekolah pedalaman, menyokong keluarga yang memerlukan, atau memperjuangkan isu yang menjadi keprihatinan utama mereka, dedikasi mereka terus mengubah kehidupan dan membina komuniti yang lebih kuat serta saling terhubung.

Mohd Nur Hifzhan bukan sekadar seorang guru yang bertugas di SK Sungai Passai, Sarawak, beliau merupakan seorang mentor berdedikasi yang sentiasa menggalakkan murid-muridnya untuk bercita-cita tinggi. Semasa berkhidmat di SK Kuala Kenyana, sebuah sekolah pedalaman yang hanya boleh diakses dengan bot, beliau telah membuka minda murid-muridnya terhadap dunia yang jauh lebih luas daripada kampung halaman mereka. Dengan memperkenalkan sukan dan pidato sebagai aktiviti kokurikulum, beliau membawa mereka ke pertandingan peringkat antarabangsa, di mana murid-muridnya berdiri megah di pentas dunia. Namun, sumbangannya bukan hanya pada akademik dan pencapaian. Hifzhan sangat mengambil berat tentang kesejahteraan murid-muridnya, sering mengunjungi rumah panjang mereka serta membawa mereka mengunjungi lapangan terbang dan Pantai, yang merupakan pengalaman pertama buat kebanyakan mereka.

Izzat Fahim Bin Ibrahim telah membawa semangat kesukanan ke kawasan luar bandar Kota Marudu, menjadikan SK Tagibang Kota Marudu, Sabah sebagai sekolah yang melahirkan barisan juara. Seorang pendidik yang sangat meminati bidang sukan, beliau sentiasa berusaha lebih untuk memberikan peluang kepada murid-muridnya menyerlah dalam arena sukan. Dalam satu kisah yang menyentuh hati, beliau menunggang motosikal meredah hutan membawa seorang murid prasekolah berusia 6 tahun ke pertandingan nyanyian. Murid itu akhirnya muncul sebagai juara daerah dan tempat ke-4 di Pantai Barat Sabah. Izzat juga melatih murid seawal jam 5:30 pagi, satu komitmen yang telah menghasilkan kemenangan di peringkat daerah dan negeri, termasuk seorang pelajar yang mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan. Sejak aktiviti kokurikulum diperkenalkan, kehadiran murid ke sekolah meningkat secara ketara dan kadar keciciran ke sekolah menengah berkurangan.

● Impak Sufina Halim tidak terhad hanya di dalam bilik darjah. Beliau adalah seorang mentor, pembawa perubahan, dan pembina komuniti. Di SMK Tunku Putra, Kedah, beliau telah menubuhkan Projek Cikgu, sebuah inisiatif yang inovatif untuk membantu keluarga yang memerlukan dengan menyediakan makanan, kelengkapan sekolah, dan sokongan emosi. Beliau secara peribadi memeriksa keadaan murid-murid yang menghadapi kesulitan, memastikan mereka terus berada di sekolah dan mendapat sokongan yang diperlukan. Selain itu, beliau turut membawa semangat pendidikan ke dalam komuniti yang lebih luas dengan mengajar murid-murid mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar melalui projek pembersihan Geopark dan pendidikan alam sekitar. Sufina bukan sahaja membentuk masa depan murid-muridnya, tetapi beliau juga membina masa depan yang lebih kukuh dan mampan untuk seluruh pulau Langkawi.

Hallsen Justin menunjukkan dedikasi luar biasa terhadap murid-muridnya di SK Timbua Ranau, Sabah jauh melangkaui sempadan bilik darjah. Sebagai seorang bapa kepada anak yang menghidap thalassemia, beliau memahami kesan emosi dan fizikal yang ditanggung oleh keluarga akibat keadaan ini. Pengalaman peribadi ini mendorong beliau untuk memberikan sokongan kepada kanak-kanak thalassemia dengan cara yang jarang dilakukan oleh pendidik lain. Beliau memulakan pengajaran kepada murid-murid di wad hospital, mengimbangi tugasan sekolahnya sambil meningkatkan kesedaran mengenai thalassemia di sekolah-sekolah dan komuniti. Beliau percaya bahawa tiada kanak-kanak yang patut tercicir disebakan penyakit. Dengan memberi fokus kepada kejayaan akademik dan kesejahteraan murid-murid ini, beliau telah mewujudkan persekitaran sokongan yang membolehkan murid-murid dengan berkembang maju dan membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil dicapai dengan sifat empati dan kasih sayang.

Kemampanan Melalui Sains

Visi dan dedikasi yang tinggi diperlukan untuk membentuk generasi pemikir baharu dan melindungi planet kita. Pendidik menggabungkan sains dengan kemampanan, mengubah bilik darjah menjadi pusat inovasi di mana pelajar menangani cabaran dunia sebenar seperti pengurusan sisa dan pemeliharaan alam sekitar.

Ainul Inayah Hamzah adalah seorang guru Kimia yang bersemangat dan komited terhadap kemampanan yang telah memberi inspirasi kepada pelajarnya untuk berfikir di luar bilik darjah. Di SM Teknik Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan, beliau telah menggalakkan pelajarnya untuk mengubah sisa-sisa harian seperti minyak terpakai, kulit durian, dan uncang teh menjadi sabun mesra alam. Pendekatan praktikal ini bukan hanya mengajar pelajarnya tentang kepentingan kimia, tetapi juga memberdayakan mereka untuk menggunakan pengetahuan mereka dalam situasi dunia sebenar. Pelajarnya telah menerima pengiktirafan antarabangsa, memenangi Emas di Pertandingan Inovasi STEM Remaja Dunia di Indonesia dan merangkul anugerah di seluruh Asia. Kerja Ainul bukan hanya tentang sains; ia tentang menanamkan rasa tanggungjawab terhadap planet ini, mendorong pelajarnya untuk berfikir secara kritikal dan kreatif mengenai peranan mereka dalam membina masa depan yang mampan.

Inovasi dalam Pengajaran

Berhadapan dengan kekurangan sumber, pendidik yang memberi inspirasi telah mencipta pengalaman pembelajaran yang inovatif, berteknologi, dan menarik yang membangkitkan rasa ingin tahu serta meningkatkan keyakinan. Alat dan pendekatan digital mereka yang inovatif mengubah cara pelajar belajar, membuktikan bahawa kreativiti dan komitmen boleh merubah landskap pendidikan di mana-mana sahaja.

● Meskipun secara rasmi bertugas sebagai guru di SJKC Jerik, Pahang, Shyamala A/P Siva Sithambaram turut berkhidmat sebagai guru Bahasa Tamil ‘pinjaman’ di SMK Jengka 2. Walaupun peranan utamanya di SJKC Jerik, Shyamala telah mentransformasikan sepenuhnya pengalaman pembelajaran Bahasa Tamil di SMK Jengka 2. Melalui kreativiti, ketekunan, dan penggunaan teknologi secara inovatif—termasuk telefon bimbit terpakai, alat AI, dan platform digital—beliau menjadikan pembelajaran Bahasa Tamil menyeronokkan, menarik, dan mudah diakses oleh semua pelajar. Kesan usahanya jelas terbukti melalui pencapaian para pelajarnya: seorang pelajar meraih tempat pertama dalam pertandingan deklamasi puisi, manakala seorang lagi mendapat tempat kedua dalam pertandingan Thirukkural. Di luar bilik darjah, beliau turut menjalankan kelas khas Bahasa Tamil untuk pelajar B40 di Maran dan Jerantut, membantu lebih 25 pelajar meningkatkan kemahiran bahasa dan keyakinan diri mereka.

Dr. Mohd Zamri Bin Husaini telah memperkenalkan pendekatan baharu dalam mengajar di persekitaran yang kekurangan sumber. Selama lebih tujuh tahun, beliau telah membangunkan lebih daripada lapan alat pengajaran inovatif yang telah menjadikan pembelajaran satu pengembaraan yang menarik untuk pelajar di SK Kampung Tun Razak, Melaka. Ciptaan beliau seperti Grammar Wheel, PrepoWheego, dan Convert 3-Box Poly Game, telah menjadikan subjek yang paling mencabar lebih menyeronokkan dan mudah difahami. Apa yang bermula sebagai alat untuk membantu pelajar memahami konsep-konsep sukar seperti tatabahasa dan kata sendi nama kini telah berkembang menjadi satu cara pembelajaran yang baru. Pelajar yang dahulunya menghadapi kesukaran, kini yakin menyelesaikan masalah matematik dan berbahasa Inggeris dengan mudah.

● Selama 16 tahun, Selvarani A/P Uthra Kummaran telah memainkan peranan penting dalam mentransformasikan pendidikan Matematik di sekolah-sekolah luar bandar. Pendekatannya yang inovatif iaitu menggabungkan alat digital seperti Kahoot dan Quizizz, telah menjadikan konsep-konsep Matematik yang paling mencabar lebih menarik dan interaktif untuk pelajarnya di SJKT Ladang Banopdane, Perak. Tetapi saluran YouTube beliau yang benar-benar membezakan beliau. Dengan mencipta video pendidikan yang menyeronokkan dan mudah diikuti, beliau telah menjadikan pembelajaran Matematik satu pengalaman yang menarik untuk pelajarnya. Kerja beliau bukan sahaja meningkatkan prestasi akademik, tetapi juga merapatkan hubungan antara sekolah dan komuniti. Melalui Hab Pembelajaran Komuniti, Selvarani telah mencipta ruang untuk pendidik dan pelajar mengakses sumber pembelajaran dan belajar bersama.

Setelah tempoh pengundian tamat, lima pendidik yang menerima undian tertinggi akan mara ke peringkat akhir, dengan undian awam menyumbang 25% kepada keputusan akhir. Cerita-cerita ini kemudiannya akan dinilai oleh panel hakim, termasuk Josephine Tan, Pengarah Kampus Taylor’s College, Chan Soon Seng, Ketua Pegawai Eksekutif Teach For Malaysia, dan Cikgu Shawn Stanly Anthony Dass, pemenang RISE Educator Award 2024. Panel hakim akan menilai usaha dan impak sumbangan pendidik tersebut, yang menyumbang 75% kepada keputusan akhir.

Pemenang RISE Educator Award 2025 akan menerima hadiah utama sebanyak RM5,000 dalam bentuk wang tunai, manakala pencalon mereka akan menerima RM500. Tambahan, sebanyak RM50,000 akan diperuntukkan kepada sekolah pemenang bagi menyokong inisiatif pembangunan selanjutnya.

Selain itu, empat finalis masing-masing akan menerima RM1,000 dalam bentuk wang tunai, tajaan sekolah sebanyak RM10,000, dan RM250 untuk pencalon mereka.


Baca kisah penuh mereka dan undilah pendidik pilihan anda di laman web Kolej Taylor’s hari ini!

Comments

Popular posts from this blog

‘BUKAN IPAR SEMPURNA’ SELAMI SISI GELAP PERKAHWINAN YANG TERCEMAR OLEH RAHSIA, DENDAM & PENGKHIANATAN

SIRI MEGADRAMA TERBAHARU ASTRO ‘DIA BUKAN SYURGA’ PAPAR PERJUANGAN WANITA

ZURICH TAKAFUL MEMPERKENALKAN TAKAFUL PROASPIRE UNTUK MEMPERKASA PERANCANGAN KEWANGAN JANGKA PANJANG YANG LEBIH BIJAK DAN FLEKSIBEL