DPAM LANCARKAN KEMPEN “END DENGUE DEATHS (ENDD)”: 4 LANGKAH MUDAH UNTUK SELAMATKAN NYAWA


Sasaran sifar kematian boleh cegah akibat denggi bukanlah sekadar angan-angan. Ia merupakan satu matlamat yang benar-benar boleh dicapai.

Dengan melakukan empat langkah mudah iaitu – 1) hapuskan tempat pembiakan nyamuk, 2) cegah gigitan nyamuk, 3) dapatkan perlindungan melalui vaksinasi, dan 4) dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala demam denggi – setiap rakyat Malaysia mampu melindungi diri mereka dan orang tersayang daripada penyakit berbahaya ini.

Inilah seruan utama yang disampaikan semasa majlis pelancaran kempen “Tamatkan Kematian Denggi” atau “End Dengue Deaths (ENDD)” hari ini, yang diterajui oleh kumpulan Dengue Prevention Advocacy Malaysia (DPAM) dengan kerjasama Immunise4Life (IFL). Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Dr. Ismuni Bohari, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), mewakili Yang Berhormat Dato’ Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia.

Sifar Kematian Akibat Denggi Mampu Dicapai Melalui Kesepakatan Bersama

Demam denggi kekal menjadi isu kesihatan awam yang utama di Malaysia. Antara semua penyakit berjangkit, kadar insiden demam denggi adalah yang ketiga paling tinggi selepas COVID-19 dan penyakit tangan, kaki dan mulut (Hand, Foot, and Mouth Disease, HFMD) pada tahun 2023. Pada tahun 2024, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaporkan 122,323 kes demam denggi dengan 117 kematian, menujukkan penurunan jumlah kes sebanyak 0.57% dan peningkatan angka kematian sebanyak 17% berbanding tahun 2023. Hal ini telah menyebabkan sedikit peningkatan kadar kematian akibat denggi pada tahun 2024, sekali gus menandakan keperluan untuk mengekal dan memperkukuh usaha pencegahan serta pengurusan denggi.

Sejak bertahun-tahun, pihak KKM telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memerangi denggi, termasuklah melalui penggunaan teknologi canggih, penglibatan komuniti serta penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

Portal iDengue, yang diperkenalkan sejak 2012, berperanan menyampaikan maklumat penting berkaitan denggi kepada umum seperti laporan kes harian, lokasi titik panas dan operasi kawalan nyamuk. Di daerah-daerah berisiko tinggi, Pengendali Kawalan Mahkluk Perosak (Pest Control Operator, PCO) menjalankan aktiviti-aktiviti penghapusan larva (larviciding) dan semburan kabus (fogging) bagi mengurangkan populasi nyamuk. Pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia turut dilakukan sebagai langkah inovatif kawalan vektor. Pendekatan ini telah terbukti dapat mengurangkan kes demam denggi sebanyak 50-80% di 10 lokaliti terlibat.

Professor Datuk Dr. Zulkifli Ismail, Pengerusi DPAM dan IFL, memuji KKM atas usaha berterusan dalam memerangi denggi saban tahun. Walau bagaimanapun, beliau menekankan bahawa penglibatan aktif daripada pihak-pihak berkepentingan lain termasuk masyarakat sivil dan sektor korporat, adalah sangat penting. “Setiap kematian akibat denggi merupakan satu tragedi yang boleh dicegah. Dengan kesepakatan bersama, kita mampu mencapai sifar kematian akibat denggi menjelang 2030, selaras dengan sasaran global yang ditetapkan oleh Persatuan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation, WHO)”, ujar beliau.

Inisiatif DPAM Dalam Membantu Tamatkan Kematian Akibat Denggi

Professor Datuk Dr. Zulkifli Ismail turut menegaskan bahawa, “DPAM berhasrat untuk menyatukan usaha pelbagai pihak berkepentingan bagi membantu KKM mencapai sasaran denggi di peringkat nasional dan global melalui pengukuhan pencegahan, pengurusan, dan kawalan denggi di Malaysia.” Beliau juga menjelaskan bahawa DPAM menyokong pendekatan holistik 360 darjah dalam membanteras denggi, yang merangkumi aspek epidemiologi, pengurusan vektor secara bersepadu, alam sekitar, penjagaan pesakit, makmal dan vaksin.

“DPAM secara aktif telah memperkasakan ahli profesional kesihatan melalui bengkel-bengkal dan masterclass anjuran kami. Kami turut menyumbang dasar melalui inisiatif-inisiatif seperti Kertas Resolusi DPAM dan pembentukan Kertas Cadangan Dasar bersama Majlis Penasihat Kesihatan Awam Negeri Selangor (Selangor Public Health Advisory Council, SELPHAC). Kini, melalui kempen “Tamatkan Kematian Denggi”, usaha kami tertumpu kepada rakyat – untuk memberitahu, memperkasa dan menggalakkan setiap individu untuk bertindak. Bersama, kita mampu mencapai sasaran sifar kematian boleh cegah akibat denggi”, tambah beliau lagi.

Kos Kemanusiaan Akibat Denggi: Kenapa Kita Mesti Bertindak?

Semasa majlis pelancaran, para hadirin telah menyaksikan impak sebenar denggi melalui kisah mangsa demam denggi yang terselamat dan waris mangsa yang telah meninggal dunia. Satu persamaan yang ketara antara kisah-kisah mereka ialah: demam denggi tidak menyerang seorang individu sahaja – ia kerap menjangkiti beberapa ahli keluarga serentak.

Cik Julaikha dijangkiti denggi ketika berusia enam tahun, dan kedua-dua ibu bapanya turut dijangkiti pada masa yang sama. Ibu dan bapanya dimasukkan ke hospital, dengan ibunya dirawat di Unit Rawatan Rapi (Intensive Care Unit, ICU). Cik Julaikha, yang terlalu muda untuk memahami keadaan sebenar, terpaksa tinggal bersama ibu saudaranya dan terpisah daripada ibu bapanya pada saat paling menakutkan dalam hidupnya. "Saya berdoa agar tiada kanak-kanak perlu melalui pengalaman seperti ini," katanya.

Cik Jovita pula dimasukkan ke hospital akibat denggi apabila ujian darah menunjukkan enzim hatinya tinggi. Namun, ketakutannya bukanlah untuk dirinya. Ibunya, yang dirawat di ICU pada masa yang sama, mengalami kegagalan organ akibat demam denggi yang teruk. “Doktor kata mungkin ibu tak akan selamat. Ia seperti mimpi ngeri,” katanya. “Syukur, kami berdua selamat, dan saya sangat-sangat berterima kasih kepada doctor yang merawat kami,” tambahnya.

Paling menyayat hati adalah kisah Encik Firdaus, yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya akibat denggi selang sehari. “Ramai orang ingat demam denggi ini demam biasa. Tapi bagi saya, penyakit ini telah meragut nyawa ibu bapa saya dalam sekelip mata,” katanya sambil menyeru kepada masyarakat untuk mengambil serius akan penyakit berbahaya ini.

Kisah-kisah ini membuktikan yang demam denggi tidak boleh diambil ringan kerana ia merupakan ancaman yang boleh mengubah hidup dalam sekelip mata.

Anda Rasa Anda Selamat Daripada Denggi? Fikir Semula

Berdasarkan pengalaman, Dr Benedict Sim, Pakar Penyakit Berjangkit, yang mewakili Persatuan Kawalan Jangkitan & Penyakit Berjangkit Malaysia (Malaysian Society of Infection Control and Infectious Diseases, MyICID), menegaskan bahawa demam denggi boleh menjangkiti sesiapa sahaja dan merawatnya adalah tidak mudah. “Walaupun dengan usaha perubatan terbaik, demam denggi yang teruk masih boleh membawa maut. Oleh itu, mencegahnya adalah jauh lebih baik daripada mengubati,” katanya.

Beliau turut menekankan yang salah faham mengenai demam denggi masih berleluasa. “Ramai beranggapan sekiranya mereka pernah dijangkiti denggi, mereka sudah kebal. Itu adalah tidak benar. Terdapat empat serotaip virus denggi dan jangkitan semula boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat demam denggi yang teruk”, katanya.

Satu lagi salah faham yang biasa berkaitan denggi adalah individu muda dan sihat tidak berisiko dijangkiti denggi. Beliau menjelaskan, “Sebaliknya, hampir 45% kematian akibat denggi yang dilaporkan pada tahun 2023 adalah dalam kalangan individu muda berumur 20 hingga 49 tahun”.

4 Langkah Mudah: Apa yang Perlu Kita Lakukan

Dr Koh Kar Chai, selaku Pengerusi Kempen “Tamatkan Kematian Denggi”, menggariskan empat langkah mudah dan berkesan yang perlu dilakukan oleh setiap lapisan masyarakat: 1) hapuskan tempat pembiakan nyamuk, 2) cegah gigitan nyamuk, 3) dapatkan perlindungan melalui vaksinasi, dan 4) dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala demam denggi.

“Langkah-langkah ini boleh menyelamatkan nyawa”, tegasnya. “Sementara pihak kerajaan memperkukuh dasar-dasar serta usaha-usaha kawalan vektor, komuniti perlu bertindak di peringkat akar umbi. Jika kita berganding bahu, kita boleh memutuskan rantaian jangkitan denggi dan menghentikan kematian akibatnya”.

Kempen ini bertujuan memastikan maklumat pencegahan denggi dapat diakses dengan mudah oleh rakyat Malaysia. Video penerangan pakar kesihatan dan iklan khidmat masyarakat akan disebarkan menerusi platform media sosial yang biasa digunakan orang ramai. Maklumat akan tersedia dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris melalui laman web rasmi kempen: enddenguedeaths.dpam.org.my

Dr Koh turut merakamkan penghargaan kepada Takeda Malaysia Sdn. Bhd. atas sokongan berterusan terhadap aktiviti pendidikan DPAM dalam usaha pencegahan denggi.

Vaksinasi: Perisai Perlindungan Daripada Demam Denggi Yang Teruk

Professor Dr Zamberi Sekawi, Pengerusi Dengue Vaccine Position Paper, menekankan bahawa vaksinasi merupakan alat penting dalam menangani demam denggi yang teruk.

Beliau menyatakan bahawa TAK-003, vaksin denggi yang kini tersedia di klinik dan hospital swasta di Malaysia, menunjukkan lebih 80% keberkesanan mencegah jangkitan denggi bergejala dan lebih 95% keberkesanan mencegah kemasukan ke hospital akibat denggi dalam tahun pertama selepas vaksinasi. “Vaksin ini mempunyai profil keselamatan yang kukuh, disokong oleh bukti kajian klinikal selama 4.5 tahun,” tambahnya.

Kesan sampingan yang biasa termasuk kesakitan atau kemerahan ringan di tempat suntikan, manakala kesan serius seperti anafilaksis adalah sangat jarang berlaku. Penerima vaksin dinasihatkan untuk kekal di klinik/hospital sekurang-kurangnya 15 minit selepas suntikan untuk pemerhatian.

Prof Dr. Zamberi juga menyatakan bahawa TAK-003 telah digunakan secara meluas di negara -negara endemik seperti Indonesia, Brazil dan Vietnam. Di Indonesia, sehingga Oktober 2024, lebih 8,800 murid sekolah rendah di Balikpapan telah divaksinasi. Di Vietnam, lebih 150,000 dos telah diberikan secara bayaran sendiri dalam tempoh tiga bulan di seluruh negara.

“Vaksinasi bukan sahaja mencegah denggi bersimptom — ia juga mengurangkan kemasukan ke hospital. Semua individu berumur 4 tahun ke atas patut pertimbangkan untuk mendapatkan perlindungan,” serunya.

DPAM menyeru pihak media, masyarakat sivil dan seluruh rakyat Malaysia untuk menyebarkan mesej kempen ENDD dan menggerakkan tindakan kolektif.

Setiap nyawa berharga. Bersama, jom tamatkan kematian akibat denggi!

Comments

Popular posts from this blog

‘BUKAN IPAR SEMPURNA’ SELAMI SISI GELAP PERKAHWINAN YANG TERCEMAR OLEH RAHSIA, DENDAM & PENGKHIANATAN

SIRI MEGADRAMA TERBAHARU ASTRO ‘DIA BUKAN SYURGA’ PAPAR PERJUANGAN WANITA

ZURICH TAKAFUL MEMPERKENALKAN TAKAFUL PROASPIRE UNTUK MEMPERKASA PERANCANGAN KEWANGAN JANGKA PANJANG YANG LEBIH BIJAK DAN FLEKSIBEL