EPIDEMIK TERSEMBUNYI: MENGAPA PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK SUKAR DIKESAN AWAL


Meskipun Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD) merupakan antara penyakit tidak berjangkit yang paling lazim di Malaysia, ia masih sering terlepas daripada perhatian masyarakat. Sering kali digelar sebagai penyakit ‘senyap’, CKD berkembang secara perlahan sehingga tahap lanjut yang memerlukan rawatan dialisis sepanjang hayat ataupun pemindahan buah pinggang.

Pada tahun 2018, kadar kelaziman CKD di Malaysia meningkat kepada 15.48%, berbanding 9.07% pada tahun 2011 – satu trend yang membimbangkan. Menurut Kementerian Kesihatan, lebih 50,000 rakyat Malaysia kini menjalani dialisis, dan angka ini dijangka melebihi 100,000 menjelang tahun 2040 sekiranya intervensi awal tidak mencukupi. Namun begitu, ramai yang masih tidak menyedari mereka berisiko. Disebabkan CKD berkembang secara perlahan tanpa gejala ketara, ditambah pula dengan kurangnya kesedaran awam, penyakit ini hanya di diagnosis apabila kerosakan buah pinggang telah terlalu serius dan tidak dapat lagi dipulihkan.

Bagi mengatasi cabaran ini, Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD) tampil proaktif dalam meningkatkan kesedaran, dengan melakukan pengesanan awal dan pendidikan awam sebagai langkah penting dalam menangani beban penyakit CKD yang semakin membimbangkan dalam negara.

Memahami CKD dan Perkembangannya yang ‘Senyap’

CKD merupakan penyakit progresif, di mana buah pinggang secara perlahan-lahan hilang keupayaan untuk menapis bahan buangan dan lebihan cecair daripada darah. Ia biasanya tidak menunjukkan gejala ketara pada peringkat awal. Namun apabila pesakit mula mengalami kelesuan, bengkak badan atau perubahan dalam tabiat kencing, kerosakan buah pinggang pada tahap itu telah sangat teruk dan tidak dapat dipulihkan.

“CKD merupakan penyakit berbahaya kerana ia tersembunyi daripada penglihatan,” jelas Pakar Nefrologi dan Perubatan di SMCD, Dr. Chong Yip Boon. “Jika tidak dikesan awal, CKD boleh mengakibatkan komplikasi yang mengancam nyawa seperti penyakit jantung, anemia bergejala, penyakit tulang metabolik, lebihan cecair, dan akhirnya kegagalan buah pinggang serta kematian. Ketiadaan gejala di peringkat awal serta sifatnya yang ‘senyap’ menjadikan pengesanan awal amat mencabar walaupun ia amat penting. Kekurangan kesedaran awam dan saringan kesihatan berkala turut menyukarkan lagi pengesanan awal.”

Mengapa Rakyat Malaysia Gagal Mengesan Tanda-tandanya?

Antara punca utama CKD sering lewat dikenal pasti adalah kerana kurangnya kesedaran awam serta pemeriksaan kesihatan buah pinggang secara berkala. Kebanyakan individu tidak mengalami sebarang ketidakselesaan atau gejala ketara pada peringkat awal. Malah, apabila munculnya tanda-tanda seperti keletihan, perubahan dalam kencing atau bengkak badan, ia sering disalah anggap sebagai masalah kesihatan lain yang lebih ringan.

Tanggapan umum seringkali ‘jika merasa sihat, maka sihatlah’ terus menyebabkan faktor kelewatan mendapat rawatan, terutamanya dalam kalangan individu berisiko tinggi. “Isunya bukan kerana tiada ujian buah pinggang. Ia sebenarnya telah termasuk dalam kebanyakan pakej saringan kesihatan,” kata Dr. Chong. “Masalahnya, mereka tidak datang menjalani pemeriksaan sehingga segalanya telah terlambat.”

Menurut Dr. Chong, saringan adalah penting, terutamanya bagi kumpulan berisiko tinggi: individu yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, obesiti morbid, batu karang, gout, atau mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit buah pinggang. Golongan warga emas, mereka yang kerap mengambil ubat tahan sakit atau ubat tanpa preskripsi, serta mereka yang dalam tempoh rawatan juga tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.

“Di kalangan pesakit ini, kesilapan yang lazim termasuk adalah tidak menghadiri temu janji berkala, tidak menjalani ujian darah atau air kencing, mengamalkan rawatan sendiri, dan kurang memahami keadaan mereka,” tambah beliau.

Dalam sesetengah kes, tanda-tanda awal mungkin lebih ketara daripada yang disangka. Misalnya, air kencing berbuih juga boleh menjadi petanda awal kebocoran protein – yang mungkin tanda kerosakan buah pinggang. Jika anda mempunyai keraguan, ujian air kencing ringkas yang dijalankan oleh pengamal perubatan am atau doktor pakar telah mencukupi untuk menentukan sama ada gejala itu berkaitan dengan CKD atau tidak.

Walaupun sering kali disarankan, Dr. Chong menekankan langkah-langkah gaya hidup yang praktikal untuk mengurangkan risiko penyakit buah pinggang:
  • Minum sekurang-kurangnya 2 liter air setiap hari (jika tiada masalah jantung).
  • Amalkan diet yang sihat dan seimbang.
  • Elakkan penggunaan ubat tahan sakit secara berlebihan, dan suplemen tanpa preskripsi.
  • Bersenam secara berkala untuk mensasarkan penurunan berat badan yang optimum.
  • Elakkan atau hadkan pengambilan rokok dan alkohol.
  • Jalani pemeriksaan rutin untuk mendapat gambaran menyeluruh tentang tahap kesihatan.
  • Mengawal penyakit yang sedia ada seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, penyakit jantung dan sebagainya.
Mengubah Pemikiran Tentang Kesihatan Buah Pinggang

Menyedari bahawa pengesanan awal adalah cara paling berkesan untuk menguruskan CKD, pakar perubatan di SMCD menumpukan usaha untuk memperluaskan akses kepada saringan berasaskan risiko – khususnya dalam kalangan individu yang menghidap penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti.

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Justeru, SMCD sedang meningkatkan usaha untuk mengesan individu berisiko tinggi dengan lebih awal melalui pendidikan yang lebih meluas, pemerhatian klinikal yang lebih teliti, serta pendekatan saringan yang lebih strategik. Selain aspek diagnostik, pihak hospital juga giat memperbetulkan tanggapan salah tentang ujian buah pinggang, dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia, terutama golongan yang berisiko untuk mengambil langkah proaktif terhadap penjagaan kesihatan buah pinggang mereka.

“Rakyat Malaysia perlu mula menganggap bahawa kesihatan buah pinggang sebagai sebahagian yang penting dalam kesejahteraan umum mereka, dan bukan hanya bertindak apabila gejala telah muncul,” kata Dr. Chong. “Saringan berkala, khususnya di kalangan individu berisiko, boleh memacu pengesanan awal, memperlahan perkembangan penyakit, meningkatkan kualiti hidup, dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan jangka panjang secara ketara.”

Mengutamakan Kesihatan Buah Pinggang – Sebelum Terlambat

Matlamat utama SMCD adalah untuk mengubah pemikiran masyarakat – agar lebih ramai rakyat Malaysia memahami penjagaan buah pinggang adalah sebahagian daripada rutin penjagaan kesihatan, bukannya rawatan reaktif. Pengesanan tanda-tanda yang terlalu lewat boleh mengakibatkan kesan yang tidak boleh dipulihkan; manakala pengesanan awal mampu meningkatkan kualiti hidup dan memperlahan perkembangan penyakit.

Pengesanan awal mampu mengubah segalanya. Justeru, SMCD menyeru semua rakyat Malaysia agar tidak menangguhkan temu janji kesihatan, dan sentiasa menjalani saringan kesihatan yang disarankan oleh pengamal perubatan masing-masing.

Untuk membuat janji temu saringan atau mengetahui lebih lanjut tentang pengesanan CKD, sila layari laman web rasmi Pusat Perubatan Sunway Damansara.



Comments

Popular posts from this blog

MANDUL BUKAN PILIHAN: BILA CINTA TERUJI OLEH TAKDIR