AIRASIA HAUSBOOM FESTIVAL 2025 DIKUASAKAN OLEH HOTLINK: “PAINT THE TOWN RED” BAKAL GEGARKAN MAEPS SERDANG OKTOBER INI
Hausboom sekali lagi membuktikan bahawa konsistensi dan kreativiti adalah kunci dalam membina festival gaya hidup yang bukan sekadar hiburan, tetapi pengalaman menyeluruh. Selepas kejayaan tahun-tahun terdahulu, AirAsia Hausboom Festival 2025 dikuasakan oleh Hotlink kembali dengan tema baharu yang penuh semangat: “Paint the Town Red”. Bertempat di MAEPS Serdang pada 11 dan 12 Oktober ini, festival tahunan terbesar Malaysia itu menjanjikan ledakan muzik, fesyen dan makanan yang belum pernah disaksikan.
Warna merah menjadi simbol utama tahun ini — melambangkan tenaga, keberanian dan semangat yang menyatukan Hausboom, AirAsia dan Hotlink dalam satu kolaborasi epik. AirAsia tampil sebagai rakan kolaborasi utama, membawa pengalaman yang lebih menyeluruh dengan pelbagai kejutan eksklusif, termasuk kempen AirAsia x Hausboom: Scan & Win. Label edisi terhad dengan kod QR khas pada kesemua sembilan perisa minuman Hausboom kini boleh didapati di rangkaian kedai utama seperti 7-Eleven, Kedai Mesra Petronas, Shell Select dan AEON BiG. Setiap imbasan berpeluang memenangi hadiah lumayan seperti tiket penerbangan percuma tanpa had selama setahun, tiket ke 18 destinasi AirAsia, baucar AirAsia MOVE, AirAsia RIDE, hadiah tunai sehingga RM50,000 dan tiket percuma ke festival.
Menurut Azri Zahier Azmi, Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom, tahun ini menandakan tahun kedua Hotlink sebagai rakan kolaborasi rasmi. Hotlink terus memperjuangkan nilai untuk pengguna bijak berbajet, dan melalui kerjasama ini, mereka ingin memberikan lebih banyak ganjaran kepada peminat festival. Empat tin edisi terhad Hausboom akan dilancarkan khas untuk pengguna Hotlink, membolehkan mereka menyertai ganjaran mingguan Menang Ahad — di mana hadiah pasti dimenangi setiap minggu. Sepanjang festival, booth Hotlink akan dipenuhi dengan aktiviti interaktif, cabutan bertuah dan pelbagai kejutan menarik.
Lebih menarik, setiap pemegang tiket festival berpeluang memenangi sebuah Perodua Ativa serba baharu melalui cabutan bertuah eksklusif yang akan diumumkan secara langsung di pentas utama. Ini merupakan kali pertama hadiah sebesar ini ditawarkan, menjadikan festival bukan sahaja medan hiburan, tetapi juga peluang pulang dengan kereta baharu.
Hausboom turut berganding bahu dengan Pin Yang, pengasas KL Foodie, untuk membawakan Hausboom KL Foodie Fest — festival makanan berskala besar yang menghimpunkan lebih 100 vendor makanan unik dari seluruh negara. Dari juadah jalanan hingga sajian istimewa yang sukar ditemui, festival ini dibuka dari 10 pagi hingga 12 malam dan boleh dimasuki secara percuma oleh semua peringkat umur.
7-Eleven pula tampil sebagai rakan rasmi kedai serbaneka, menyediakan kemudahan makanan grab-and-go, kopi segar, soft serve dan Slurpee ikonik mereka. Kehadiran mereka melengkapkan pengalaman festival yang menyeluruh dan mesra pengunjung.
Amanda Woo, Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, menyatakan bahawa muzik sentiasa menjadi sebahagian daripada DNA AirAsia. Sepanjang tahun 2025, AirAsia telah bekerjasama dengan lebih 10 festival muzik di rantau Asia Pasifik, dan kolaborasi bersama Hausboom ini adalah kesinambungan semangat mereka dalam memperjuangkan bakat tempatan dan meraikan kreativiti tanah air.
Selain muzik dan makanan, Hausboom Lokal Fest 2025 turut menjadi tarikan utama dengan lebih 80 jenama streetwear dan gaya hidup seperti SVG, Makerz, Kyrex, The Capcity serta koleksi thrift eksklusif hasil kerjasama dengan SOVO. Pengunjung boleh menikmati pengalaman membeli-belah yang kreatif dan relevan, menjadikan festival ini lebih daripada sekadar acara hiburan.
Barisan penghibur yang bakal menggegarkan pentas festival tahun ini cukup luar biasa. Legenda muzik tanah air seperti Dato’ M. Nasir, Dato’ Jamal Abdillah, Ella, Def-Gab-C dan Slam akan bergandingan dengan nama-nama besar seperti Noh Salleh & Restoe Iboe, Bunkface, K-Clique, 6ixth Sense, Spider, Salammusik dan Gerhana Skacinta. Turut memeriahkan festival ialah artis-artis popular dan bakat segar tempatan seperti Dolla, Insomniacks, No Good, Benzooloo, Slatan, Johny Comes Lately, Margastawa, Empty Page, DJ Fuzz dan ramai lagi. Dari Indonesia, Hausboom membawa Samsons, Bernadya, Kunto Aji, Feby Putri, Nadhif Basalamah dan Ghea Indrawari untuk menyemarakkan pentas serantau. Bakat baharu seperti Lucidrari, LOKO, FUGO, TT.13, Spooky Wet Dreams dan The Rudean turut tampil, menjanjikan kepelbagaian genre dan vibe yang segar.
Tiket kini telah mula dijual dengan harga RM119 untuk General Admission, RM299 untuk Rockzone dan RM1,200 untuk pas VVIP yang menawarkan akses eksklusif seperti premium view deck, makanan dan minuman tanpa had, tandas peribadi dan laluan ekspres.
Untuk pembelian tiket dan maklumat lanjut, layari sayalive.io/hausboomfestival2025.
AirAsia Hausboom Festival 2025 dikuasakan oleh Hotlink bukan sekadar festival — ia adalah perayaan gaya hidup, muzik dan semangat komuniti yang bakal mewarnai Malaysia dengan merah yang penuh tenaga. Jangan lepaskan peluang untuk jadi sebahagian daripada ledakan budaya terbesar tahun ini.
Comments
Post a Comment