KRUNIVERSE & UNITY TRUST BERHAD JALIN KERJASAMA BERNILAI RM50 JUTA BAGI PERNIAGAAN HOSPITALITI DI LEMBAH KLANG
Kruniverse Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Syarikat KRU, kini melangkah ke fasa baharu dalam pembangunan industri pelancongan berteraskan hiburan dan teknologi. Menerusi kerjasama strategik bersama Unity Trust Berhad, pelaburan bernilai RM50 juta akan digerakkan untuk memperkasa sektor hospitaliti dan gaya hidup di Shah Alam dan Klang dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada visi jangka panjang Kruniverse untuk menjadi peneraju serantau dalam industri pelancongan yang berinovasi dan mampan.
Menurut Y.M. Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi bin Y.A.M. Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj, Presiden Lembaga Pengarah Kruniverse Sdn Bhd, “Sebagai cabang baharu Kumpulan Syarikat KRU, Kruniverse berada di masa dan tempat yang tepat untuk mengembangkan tawaran hospitaliti dan gaya hidup dengan memanfaatkan harta intelek KRU, teknologi berasaskan AI, serta status jenama besar.”
Pelaburan ini akan dibiayai melalui pelbagai mekanisme pembiayaan inovatif, dengan Unity Trust Berhad bertindak sebagai rakan tadbir urus bebas yang akan memastikan ketelusan, akauntabiliti dan perlindungan kepentingan pemegang saham.
Dato’ Norman Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif KRU Corp Sdn Bhd, menyatakan bahawa “Kerjasama dengan Unity Trust Berhad menandakan pencapaian penting dalam perjalanan kami untuk mengembangkan operasi sambil mengekalkan standard tadbir urus tertinggi. Matlamat kami bukan sahaja untuk meningkatkan pengalaman pengunjung, tetapi juga membina ekosistem mampan yang memperkasakan perniagaan dan komuniti tempatan.”
Unity Trust Berhad akan memainkan peranan penting dalam mengurus kepentingan semua pemegang taruh melalui kepakaran dalam pengurusan amanah dan pengawasan tadbir urus korporat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Unity Trust Berhad, Syed Sadiq Obaidi Albar Syed Hamid, “Kerjasama ini menyokong objektif Kruniverse untuk berkembang daripada sebuah perniagaan milik keluarga kepada sebuah organisasi mampan, berasaskan data, dan ditadbir secara profesional selaras dengan amalan terbaik untuk penyenaraian awam pada masa hadapan.”
Dengan pelancaran projek pertama yang dijadualkan pada November 2025, kerjasama ini meletakkan asas kukuh bagi Kruniverse untuk membina masa depan industri hospitaliti yang lebih inovatif, inklusif dan berdaya saing.
Comments
Post a Comment