MALIK CHOO BANGKIT SEBAGAI ARTIS SOLO DENGAN LAGU ‘SUKA KAMU’


Selepas mencipta nama melalui kolaborasi lagu-lagu viral, Malik Choo kini melangkah ke hadapan sebagai artis solo dengan pelancaran lagu baharunya, ‘Suka Kamu’. Lagu ini bukan sekadar karya muzik, tetapi sebuah nukilan peribadi tentang cinta yang tulus dan penerimaan tanpa syarat.

Dilancarkan secara rasmi pada 8 Ogos 2025 di semua platform penstriman digital, ‘Suka Kamu’ membawa mesej cinta moden yang melangkaui penampilan fizikal. Diterbitkan oleh PERSATUAN dan ditulis bersama oleh Malik Choo, Shazee Ishak dan Mambang, lagu ini menampilkan korus yang mudah diingati – “Ku suka kamu seperti kamu” – yang menekankan keindahan mencintai seseorang seadanya, termasuk keunikan dan kekurangannya.

Visual Yang Menyentuh Jiwa

Video muzik ‘Suka Kamu’ diarahkan oleh Fareez Nasir dan membawa naratif yang menyentuh hati. Ia mengisahkan hubungan antara seorang penghantar barang yang pemalu (lakonan Malik Choo) dan seorang gadis lantang serta berani (lakonan Wan Nasuha). Lebih daripada sekadar kisah cinta, video ini meraikan keunikan Malaysia – sebuah negara di mana budaya dan hati boleh bersatu.

“Saya mahukan video muzik ini menceritakan kisah dari sudut pandangan peribadi, dari sudut seorang muallaf,” kata Malik. “Saya merasai kemesraan rakyat Malaysia, di mana cinta bukan dinilai dari asal usulmu, tapi dari pilihan jiwamu.”


Dari Kolaborasi Ke Identiti Sendiri

Malik bukanlah nama asing dalam industri muzik Malaysia. Beliau pernah tampil sebagai Malik Abdullah dalam lagu-lagu seperti ‘Kita Jaga Kita’ bersama YB Altimet dan Cuurley yang meraih 10 juta tontonan di YouTube, serta ‘Lelaki Di Telefon’ bersama Afieq Shazwan yang mencatatkan 1.7 juta penstriman di Spotify dan 11 juta tontonan di YouTube.

Selain aktif dalam muzik, Malik juga pernah menjadi wajah promosi untuk jenama seperti Marrybrown dan Shopee, dan fasih dalam Bahasa Kantonis, Melayu dan Inggeris. Beliau juga pernah menyertai kumpulan ‘Chop’ dalam rancangan realiti Astro, The Last TRIO Standing.

Sokongan Industri & Langkah Ke Hadapan

‘Suka Kamu’ merupakan projek pertama Malik di bawah geran DKK Industri Muzik Dana Kebolehan Pasaran (Domestik 2.0), sebuah inisiatif MyCreative Ventures bersama Kementerian Komunikasi (KKMM). SVLTAN Management merakamkan penghargaan kepada KKMM atas sokongan berterusan terhadap pembangunan industri kreatif melalui Dana Kandungan Digital.


Lagu ini juga merupakan hasil kerjasama antara SVLTAN Management dan Sony Music Entertainment Malaysia, sebagai usaha membawa muzik Malik ke pentas global. Dengan bimbingan mentornya, YB Altimet – yang turut membuat penampilan khas dalam video muzik ini – Malik kini bersedia menembusi pasaran antarabangsa.

Ikuti perkembangan Malik Choo di media sosial:
• Instagram: @malikchoo
• X: @malikchoo
• TikTok: @malikchoo

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO KUPAS RAHSIA KELUARGA, PEREBUTAN KUASA & HARTA ‘KERANA SEORANG LELAKI’

POLIS EVO KEKAL KUKUH 10 TAHUN, PENCETUS REVOLUSI INDUSTRI FILEM TEMPATAN