SELAMI MAKNA SEBENAR MERDEKA: TELEFILEM “OOHOOI…! MERDEKA…!” DI RTM
Uncle Silau sebenarnya telah pun menyiapkan Jalur Gemilang secara rahsia pada Hari Merdeka. Dia secara tak sengaja telah mengajarkan orang-orang kampung untuk memahami nilai-nilai sebenar setiap perlambangan pada Jalur Gemilang. Pada sisi lain Amat Kasan mula menyedari kesilapan yang pernah dilakukannya.
Kisah menarik ini menjadi inti pati telefilem disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk “Oohooi…! Merdeka...!” yang menekankan makna sebenar Merdeka: perpaduan, kesaksamaan, dan kebebasan.
Menemui penonton pada 31 Ogos ini, pukul 4.00 petang di saluran Okey dan RTMKlik, ia mengisahkan tentang kekecohan di Kampung Pandang Serong dan Kampung Hidung Terpacak dalam membuat persiapan untuk sambutan Merdeka.
Kisah bermula dengan kekecohan Kampung Pandang Serong yang sibuk membuat persiapan terakhir yang diketuai oleh Sidang Jored, ketua Kampung Pandang Serong yang bersemangat untuk menyambut seorang tetamu penting, YB. Sidang Jored dan pembantunya, Dollah Canggih, bergelut secara komikal untuk membuat persiapan bagi menyambut ketibaan YB, termasuk berlatih upacara penyambutan. Mereka terpaksa berdepan dengan cabaran seperti kekurangan kumpulan kompang dan masalah pendengaran Dollah.
Keadaan semakin kecoh ketika mereka menyambut ketibaan YB. Apabila YB secara tak sengaja jatuh ke dalam sungai ketika cuba naik ke jeti kampung. Kedatangan YB untuk mengumumkan pertandingan bersempena Hari Merdeka tahun 2025. Entah macam mana, setelah diumumkan, acara yang dipertandingkan antara Kampung Pandang Serong dan Kampung Hidung Terpacak, adalah untuk mereka membuat bendera Malaysia.
Rentetan dari itu, bermulalah peperangan di antara Amat Kasan dan Sidang Jored yang mewakili kampung masing-masing. Sidang Jored menyusun strategi untuk memenangi pertandingan dengan memberi mandat kepada Kak Besah, tukang jahit popular di Kampung Pandang Serong untuk menyiapkan bendera untuk kampung mereka. Namun hal ini, menyebabkan Amat Kasan yang telah lama menyimpan dendam untuk mencari jalan demi menggagalkan persiapan Kak Besah.
Kedatangan Uncle Silau, seorang pereka fesyen dari bandar ke Kampung Pandang Serong semakin menimbulkan kekecohan di kampung tersebut, kerana sebagai mana namanya, penduduk Kampung Pandang Serong sememangnya berfikiran sempit terutamanya kepada orang luar. Uncle Silau merancang untuk membuka semula kedai jahit ayahnya, menyebabkan Kak Besah berasa tercabar apatahlagi bila Sidang Jored berura-ura untuk memberi peluang kepada Uncle Silau untuk menjahit bendera sekiranya, Kak Besah terpaksa bersalin lebih awal.
Ketika pertandingan membuat bendera semakin sengit, Amat Kasan dan rakan-rakannya merancang sabotaj di kedai Kak Besah, sehinggakan Kak Besah terkejut dan menyebabkan air ketubannya pecah.
Ketika Kak Besah dikejarkan ke hospital, bendera labuci Kak Besah yang masih belum siap telah dicuri oleh geng Amat Kasan. Dan menyebabkan seluruh Kampung panik kerana esok adalah hari penentuan. Uncle Silau telah dilantik secara mengejut bagi menggantikan Kak Besah untuk menyiapkan Jalur Gemilang Istimewa versi Kampung Pandang Serong. Kini semuanya tergantung kepada Uncle Silau. Sama-sama ikuti kesudahannya di TV1 dan RTMKlik
Comments
Post a Comment