MALAYSIA DAN RT CHANNEL PERKUKUH KERJASAMA PENYIARAN MELALUI PEMETERAIAN MOU


Kerajaan Malaysia dan organisasi bukan berasaskan keuntungan autonomi, TV-Novosti (saluran Russia Today TV – RTTV), hari ini mengukuhkan komitmen bersama dalam mempererat persefahaman dan kerjasama profesional dalam bidang maklumat dan penyiaran menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak. MoU tersebut ditandatangani oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan RT Channel.

Majlis pertukaran dokumen rasmi telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi bin Sulaiman dan Timbalan Pengarah Eksekutif bagi Kerjasama dan Pengedaran Antarabangsa RT Channel, Cik Karina Melikyan.

MoU ini menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan kerjasama media antara Malaysia dan Persekutuan Rusia, sekali gus mencerminkan aspirasi bersama kedua-dua negara untuk mempromosikan pertukaran maklumat yang seimbang, kecemerlangan kewartawanan dan saling menghormati dalam bidang penyiaran.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah YBhg. Datuk Suhaimi bin Sulaiman, Ketua Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM); YBrs. En. Nik Kamaruzzaman bin Nik Husin, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Kementerian Komunikasi; Cik Karina Melikyan, Timbalan Pengarah Eksekutif bagi Kerjasama dan Pengedaran Antarabangsa, RT Channel; serta Encik Denis Bolotskii, Ketua Pejabat Wakil RT di Republik Indonesia dan ASEAN.

Melalui MoU ini, RTM dan RT Channel beriltizam untuk memperluas kerjasama dalam pertukaran berita dan maklumat, penerbitan bersama program, perkongsian kandungan serta latihan profesional. Kedua-dua penyiar juga akan meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan kandungan digital dan berasaskan kecerdasan buatan (AI), termasuk pertukaran kepakaran teknikal dan amalan terbaik dalam penyiaran kontemporari.

RTM dan RT Channel turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama ini akan menyumbang kepada landskap media yang lebih dinamik, berinformasi dan saling berhubung, sekali gus memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama antara Malaysia dan Persekutuan Rusia.

Comments

Popular posts from this blog

CADBURY DAIRY MILK TAMPIL DENGAN IDENTITI JENAMA BAHARU

CITA RASA MINNAN DI PUTRAJAYA: KOLABORASI KULINARI LE MÉRIDIEN X SHERATON GRAND XIAMEN

PESTA SEMBILAN MAHARAJA DEWA DAN AMALAN VEGETARIAN