MEMPERKASA WANITA MALAYSIA: KERJASAMA RENTAS INDUSTRI TINGKATKAN KESEDARAN MENGENAI RISIKO BERULANG KANSER PAYUDARA PERINGKAT AWAL


Walaupun kesedaran mengenai kanser payudara semakin meningkat di Malaysia, masih terdapat jurang ketara dalam memberi perhatian kepada perjalanan hidup pesakit kanser payudara peringkat awal yang telah sembuh, khususnya berkaitan pemahaman dan perbincangan tentang risiko berulangnya penyakit ini.

Bagi ramai pesakit kanser payudara peringkat awal, perhatian dan penjagaan biasanya berakhir sebaik sahaja rawatan utama selesai. Ramai pejuang kanser berhadapan dengan arah pasca rawatan tanpa panduan jelas, kurang peluang untuk berbincang secara terbuka tentang kesihatan mereka, dan jarang mendapat sokongan berterusan yang mereka perlukan.

Risiko berulangnya penyakit, khususnya, masih kurang diberi perhatian dalam program untuk pejuang kanser, menyebabkan wujudnya jurang dalam fasa selepas rawatan. Jurang ini membuatkan ramai pesakit dan ahli keluarga tidak pasti tentang apa yang bakal mereka hadapi selepas rawatan aktif, serta tidak memperoleh sokongan dan pendidikan berterusan yang diperlukan untuk hidup lebih baik dan lebih lama.

Satu Tinjauan Persepsi yang ditugaskan oleh Novartis baru-baru ini menunjukkan bahawa 69% pesakit kanser payudara bimbang atau sangat bimbang tentang risiko berulangnya penyakit. Namun begitu, 45% jarang memikirkannya kerana isu ini kurang dibincangkan ketika berjumpa doktor. Malah, 78% pesakit dan 60% orang awam yang terlibat dalam tinjauan ini merasakan kesedaran umum tentang kanser payudara serta risiko berulang masih terlalu rendah. 

(Dari kiri) Aufa Johan, wakil G4G Malaysia, mengendalikan sesi pendidikan dan inspirasi mengenai risiko berulangnya kanser payudara peringkat awal bersama Dr Ben Yap Beng Khiong, Pakar Onkologi Klinikal, OncoCare di Hospital Thomson Kota Damansara dan Dr Tan Gie Hooi, Pakar Bedah Payudara & Onkoplastik, Hospital Thomson Kota Damansara.

Bagi merapatkan jurang ini, Project Girls 4 Girls (G4G) Malaysia, OncoCare Cancer Centre di Thomson Hospital Kota Damansara, dan Novartis Malaysia bergabung tenaga dalam kerjasama rentas industri bermula dengan inisiatif kesedaran penyakit yang memberi tumpuan khusus kepada pesakit kanser payudara peringkat awal serta orang awam yang bertujuan membangkitkan semula perbincangan yang jarang diketengahkan mengenai risiko berulang penyakit ini.

Acara yang diadakan baru-baru ini memperkasakan wanita, penjaga, dan keluarga dengan maklumat praktikal serta mudah difahami mengenai risiko kanser berulang dan penjagaan jangka panjang. Sesi ini merangkumi penjelasan tentang maksud berulang, faktor yang mempengaruhinya, serta kepentingan susulan konsisten bersama pakar kesihatan. Peserta juga berpeluang mendengar perkongsian pengalaman seorang pejuang kanser payudara yang melalui fasa berulang, menekankan nilai sistem sokongan yang kukuh dan perbualan proaktif.

Sanjeev Balachandran, Presiden Serantau Novartis Malaysia, Brunei dan Pasaran Membangun Asia (Asia Emerging Markets/AEM) berkata: “Adalah amat membimbangkan apabila kira-kira seorang daripada enam wanita yang menghidap kanser payudara tahap II dan III (HR+/HER2-) bakal berdepan risiko berulang dalam tempoh tiga tahun. i Kita mesti, dan mampu, melakukan yang lebih baik untuk para survivor serta insan tersayang yang melalui perjalanan ini bersama mereka. Di Novartis, komitmen kami melangkaui sekadar kelangsungan hidup – Tinjauan Persepsi kami turut mendedahkan hanya seorang daripada tiga pesakit kanser payudara peringkat awal merasakan mereka memiliki kualiti hidup yang baik – satu keperluan yang kami bertekad untuk tangani. iii Justeru, inilah sebabnya kami bekerjasama dengan rakan-rakan strategik untuk meningkatkan kesedaran, menggalakkan pengesanan awal, serta memperluaskan akses kepada rawatan – selaras dengan tujuan syarikat kami untuk meningkatkan dan memanjangkan hayat lebih 35 juta rakyat Malaysia.”

Fildzah Zulkifli, Timbalan Ketua Negara G4G Malaysia, menekankan peranan penting sokongan komuniti dalam memacu kesedaran. Beliau berkata: “Kanser sememangnya menakutkan, apatah lagi apabila diberitahu bahawa penyakit itu kembali semula. Kesedaran yang lebih baik mengenai kanser payudara, khususnya risiko berulang, boleh memberi perbezaan yang mampu menyelamatkan nyawa. Kami sentiasa percaya bahawa kekuatan wanita terserlah apabila bersatu, dan ini termasuklah dalam memahami penyakit yang begitu kerap dihadapi wanita di Malaysia dan di seluruh dunia. Sistem sokongan yang kukuh bukan sekadar memberi galakan, tetapi juga tentang tanggungjawab dan amalan mudah saling mengingatkan agar kita sentiasa mengutamakan kesihatan.”

Acara ini bukan sahaja mengalu-alukan kehadiran pesakit kanser payudara dan penjaga, tetapi juga semua wanita di seluruh Malaysia bagi membuka ruang dialog sesama mereka serta bersama pakar kesihatan yang dipercayai.

Dr Ben Yap, Pakar Onkologi Klinikal, OncoCare di Thomson Hospital Kota Damansara berkata: “Dialog yang terbuka dan berkala membantu pesakit berasa lebih maklum, bersedia, dan yakin dalam menguruskan kesihatan jangka panjang. Kami menggalakkan setiap pesakit untuk mengemukakan tiga soalan mudah semasa pemeriksaan susulan dengan doktor: ‘Adakah saya menghadapi risiko kanser ini akan berulang semula?’, ‘Apakah yang boleh saya buat untuk kurangkan risiko itu?’ dan ‘Ujian apa yang saya perlukan, serta berapa kerap perlu dibuat?’.”

Beliau menambah bahawa wanita perlu menyedari bahawa hanya satu sel kanser sudah memadai untuk mencetuskan risiko kanser berulang, dan pelbagai faktor boleh mempengaruhi risiko berulangnya penyakit tersebut. Perbincangan mengenai faktor-faktor ini bersama pakar kesihatan dapat membantu merangka pelan pemantauan yang sesuai dari semasa ke semasa. Justeru, terdapat keperluan untuk perbualan yang lebih proaktif, pemeriksaan susulan yang konsisten, serta sokongan komuniti yang kukuh untuk wanita selepas rawatan awal – khususnya mereka dengan kanser payudara peringkat awal yang mungkin merasakan rawatan telah “selesai”, sedangkan mereka masih boleh mendapat manfaat daripada pemantauan berterusan.

Acara ini memberikan para peserta pemahaman yang lebih jelas serta pengetahuan praktikal mengenai risiko berulang dalam kanser payudara, yang dapat mereka manfaatkan dan kongsikan bersama komuniti masing-masing.

Untuk maklumat lanjut mengenai risiko berulang dalam kanser payudara peringkat awal, sila berbincang dengan pakar perubatan anda atau muat turun aplikasi iCanCare di Apple App Store atau Google Play Store.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO DAPAT HAK SIARAN EKSKLUSIF PERKAHWINAN KAMAL & UQASHA

FERNLEAF CATAT REKOD MALAYSIA SEMPENA DEEPAVALI DENGAN HIDANGAN 10,101 CAWAN MOORU