“PILIHAN KITA, WAJAH SABAH ESOK”, DOKUMENTARI KHAS TERBITAN RTM
Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 menjadi platform penting untuk memastikan kemajuan masa hadapan pembangunan dan ekonomi yang turut mencerminkan keabsahan demokrasi di Sabah.
Ruang demokrasi yang terbuka luas ini sebaiknya digunakan oleh semua pengundi di Sabah yang meliputi golongan veteran, pemimpin masyarakat, golongan belia, pekerja dan termasuk usahawan dari dalam dan luar Sabah yang amat terkenal sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Justeru, Radio Televisyen Malaysia mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menonton dokumentari khas bertajuk “Pilihan Kita, Wajah Sabah Esok” arahan Azry Ahmad Mustafa Hadi, terbitan Unit Majalah dan Dokumentari TV, RTM.
Bakal bersiaran pada 14 November ini, pukul 9.00 malam di saluran TV1 dan juga menerusi platform RTMKlik (https://rtmklik.rtm.gov.my), pengisian program menarik ini dilihat mampu menyebar luas maklumat tentang kepentingan pergi mengundi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 kepada pemilih dalam memastikan masa depan yang dinamik dan pragamatik bagi keseluruhan Sabah.
Dokumentari khas ini turut menampilkan suara hati beberapa usahawan yang mengundi di Sabah, pandangan beberapa orang anak muda generasi masa hadapan Sabah, aspirasi harapan beberapa orang golongan veteran Sabah serta pandangan usahawan dari luar Sabah yang menjalankan perniagaan secara kerjasama bersama anak watan Sabah.
Penggambaran utama yang dijalankan di Pulau Selakan, Semporna Sabah, ditambah dengan penggambaran di beberapa lokasi lain di Semporna dan Tawau pastinya memberikan informasi berguna tentang kepentingan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 agar semua pengundi keluar mengundi dan memilih pemimpin demi masa hadapan Sabah.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya menerusi TV1 dan RTMKlik.
.jpeg)
Comments
Post a Comment