LEGENDA BAHARU BANGKIT DI RESORTS WORLD GENTING: THE NATIONAL LUMINOUS DRAGON KING CHAMPIONSHIP


Nantikan kelahiran legenda baharu apabila Arena of Stars bergemerlapan dengan semangat dan kemahsyuran pada 14 Disember 2025. Resorts World Genting (RWG) mempersembahkan Resorts World Genting National Luminous Dragon King Championship, sebuah pertandingan kebudayaan baharu yang unggul dan berseri. Acara ini menghimpunkan pasukan tarian naga terbaik dari seluruh negara dalam persembahan menakjubkan yang menonjolkan kemahiran, kreativiti serta daya ketahanan para peserta.

Buat julung kalinya, 20 pasukan tarian naga terbaik Malaysia akan berkumpul demi merebut gelaran berprestij “Dragon King” sewaktu kejohanan yang akan memberi nafas baharu kepada salah satu seni persembahan paling ikonik di Asia. Setiap pasukan bakal menampilkan persembahan yang menyerlahkan keharmonian gerakan, ketangkasan fizikal dan kreativiti, disulami dengan kilauan sisik naga yang memukau, irama gendang yang menggema serta aksi akrobatik yang mengagumkan. Semuanya pasti memikat pandangan dan memukau hati para penonton.


Diilhamkan dari bimbingan Pasukan Tarian Naga dan Singa Persatuan Alumni Sekolah Menengah Katolik, kejohanan ini memperkenalkan segmen rekaan kreatif yang membuka lembaran baharu dalam evolusi seni tarian naga tradisional. Setiap pasukan diberi cabaran untuk menghasilkan dan menggabungkan elemen rekaan tersendiri bagi memperkukuh jalan cerita serta koreografi persembahan. Inovasi ini menjadikan seni tarian naga satu persembahan pelbagai dimensi yang memperlihatkan kehalusan seni, daya imaginasi dan warisan budaya, sekali gus menghidupkan kisah mempesona yang dipenuhi cahaya, gerakan dan emosi.

Dalam sidang media dan cabutan undi yang berlangsung hari ini di Wisma Genting, Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, berkongsi bahawa kejohanan ini diilhamkan sebagai satu pesta cahaya, seni dan ekspresi budaya. “Acara ini bukan sekadar satu pertandingan tetapi merupakan pentas di mana semangat dan imaginasi memberi nafas baharu kepada salah satu simbol budaya paling ikonik di Asia, iaitu naga. Melalui rekaan, hasil tangan dan semangat berpasukan, para peserta dari seluruh negara akan menyerlahkan semangat perpaduan dan kreativiti yang menjadi tunjang kejohanan ini,” katanya.


Sesi undian telah menetapkan turutan rasmi persembahan bagi acara ini seperti berikut:
  1. Persatuan Tarian Naga Ao Feng Gong Batu 8 1/2 Skudai, Johor
  2. Persatuan Kebudayaan Dan Rekreasi Kang Yuan Muar, Johor
  3. Xuan Long Dragon And Lion Dance Ampang, Selangor
  4. Persatuan Kesenian Dan Budaya Hua Yi, Pulau Pinang
  5. Pertubuhan Kew Ong Yeah Dragon and Lion Dance, Pulau Pinang
  6. Persatuan Tarian Naga & Singa Hong Teck Brickfields, Kuala Lumpur
  7. Tarian Singa Kwong Ngai, Putrajaya
  8. Persatuan Pendidikan Jasmani Friendship, Wilayah Persekutuan
  9. Persatuan Qun Sheng Tarian Singa, Sabah
  10. Kelab Tarian Singa Dan Naga Xuan Long Shi, Johor
  11. Tarian Naga Teochew Eight Districts Association, Johor
  12. Persatuan Penganut Agama Buddha Thai Wat Phra Buddha Jinaraja, Melaka
  13. Pei De Dragon & Lion Dance Association Kajang, Selangor
  14. Persatuan Kebudayaan Tarian Naga Dan Singa Chea Mien Hong Teck Ipoh, Perak
  15. Persatuan Social Dan Rekreasi Hai Yang, Kedah dan Perlis
  16. Malacca Gao Feng Lion & Dragon Dance Athletic Association, Melaka
  17. Malaysia Tan’s Lion and Dragon Dance Association, Selangor
  18. Ipoh Chinese Chin Woo Athletic Association, Perak
  19. Malaysia Khuan Loke Dragon & Lion Dance Association, Selangor
  20. Malaysia Yahya Awal Dragon Dance Troupe, Johor
Resorts World Genting National Luminous Dragon King Championship membuka lembaran baharu dalam agenda kebudayaan negara dengan menggabungkan tradisi dan inovasi moden di mana setiap gerak tari membawa kisah tentang warisan, semangat dan keharmonian. RWG bertekad untuk mengangkat martabat seni tarian naga ke tahap yang lebih tinggi dengan merintis pembangunan Kejohanan Naga Gemilang Kebangsaan sebagai acara kebudayaan berkonsepkan sukan. Inisiatif ini berpotensi untuk berkembang menjadi sebuah platform yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Usaha ini bertujuan memelihara serta mempromosikan warisan seni tradisional yang bernilai, sambil menyuntik elemen moden dan semangat kompetitif agar kekal relevan dan menarik minat generasi masa depan.


Kejohanan ini akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 7 malam dan diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah. Para pemenang bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM9,000. RM5,000 untuk Juara, RM3,000 untuk Naib juara dan RM1,000 untuk tempat ketiga, selain trofi dan medal.


Para penonton berpeluang menyaksikan kejohanan penuh gemilang ini secara langsung di Arena of Stars. Tiket kini mula dijual pada harga RM139 untuk PS1 (tempat duduk ditetapkan) dan RM99 untuk PS2 (tempat duduk bebas), tertakluk kepada yuran pemprosesan RM4. Untuk maklumat terkini dan perkembangan terbaru di RWG, sila layari rwgenting.com dan platform media rasmi RWG.

Comments

Popular posts from this blog

SUMPAHAN NILAM UTAMA: KOMEDI-THRILLER REMAJA PENUH MISTERI

PROGRAM FAMTRIP MAJESTIC JOHOR BERSAMA MEDIA SEMPENA VISIT JOHOR 2026 (13 – 16 OKTOBER 2025 /JB – KOTA TINGGI – MERSING)