RESORTS WORLD GENTING DAN TOURISM MALAYSIA JALIN KERJASAMA STRATEGIK SOKONG TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

Resorts World Genting (RWG) telah mengumumkan jalinan kerjasama penting dengan Tourism Malaysia bagi memperkukuh agenda pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Memorandum Persefahaman (MoU) ini dimeterai di Resorts World Awana dan disaksikan oleh YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

(Dari kiri) Darren Yeo, Naib Presiden Reka Bentuk, Landskap, Tarikan Eko, Gaya Hidup dan Wellness RWG; Lee Thiam Kit, Timbalan Presiden RWG; Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG; Aaron Chia, Ketua Pegawai Operasi RWG; YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya; Leong Yu Man, Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang; YB Young Syefura Othman, Ahli Parlimen Bentong; dan Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, bergambar bersama sempena menandakan permulaan rasmi kerjasama antara RWG dan Tourism Malaysia.

Kerjasama strategik ini menegaskan komitmen RWG dalam menyokong pelan pembangunan pelancongan negara melalui tarikan bertaraf dunia, hospitaliti unggul dan pengalaman lestari yang bertujuan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan global pilihan. MoU tersebut ditandatangani secara rasmi oleh Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, serta Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia. Majlis turut dihadiri oleh EXCO Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, YB Leong Yu Man; Ahli Parlimen Bentong, YB Young Syefura Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Dato’ Haji Rose Samsul Abdul Razak; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Puan Julaihah Jamaludin; Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan dan Digital merangkap Ketua Sekretariat VM2026, Encik Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim; pegawai kanan Kementerian Pelancongan, wakil Tourism Selangor, pemimpin industri serta barisan pengurusan kanan RWG.

Dari kanan - Darren Yeo, Naib Presiden Reka Bentuk, Landskap, Tarikan Eko, Gaya Hidup dan Wellness RWG, memperkenalkan Garden of the Seasons di Eufloria kepada Aaron Chia, Ketua Pegawai Operasi RWG, serta YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Antara kemuncak majlis ialah lawatan eksklusif ke Eufloria di Resorts World Awana, tarikan ekopelancongan dan edupelancongan terbaharu RWG yang menjadi penyumbang utama kepada agenda VM2026. Menempati keluasan 12.5 ekar, Eufloria menggabungkan hortikultur, seni dan konsep pemuliharaan, menawarkan pengalaman pembelajaran alam semula jadi kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa. Fokus utama tarikan ini ialah kompleks rumah hijau seluas 3.7 ekar, yang terbesar di Malaysia, menempatkan empat rumah kaca bertema dengan pengalaman botani berbeza dan mampu menampung sehingga 8,000 pengunjung pada masa yang sama.

Acara ini turut menjadi platform pengumuman BUNGA 2026, festival bunga tahunan sulung RWG yang meraikan biodiversiti Malaysia serta ekspresi seni dan kreativiti melalui flora. Festival ini dijadualkan berlangsung sekitar pertengahan 2026 dengan tema orkid, menampilkan pertunjukan fesyen flora, bengkel artisan, taman berkonsep serta paparan mesra alam. BUNGA 2026 juga menjadi landasan kepada penganjuran Asia Pacific Orchid Conference (APOC) 2028, salah satu acara orkid dan pemuliharaan paling berprestij di rantau Asia Pasifik. APOC 2028 bakal menghimpunkan penggemar, penyelidik dan profesional dari seluruh dunia, sekali gus mengukuhkan RWG sebagai hab utama inovasi botani, pemuliharaan dan pertukaran budaya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ekopelancongan dan edupelancongan, RWG menunjukkan komitmen terhadap kemampanan melalui pusat semaian dan ladang miliknya. Direka untuk menyokong keperluan landskap dan bekalan makanan resort, kemudahan ini memainkan peranan penting dalam usaha jangka panjang ke arah kelestarian kendiri. Selain itu, ia berfungsi sebagai platform pembelajaran untuk sekolah dan komuniti setempat, memberikan pendedahan kepada amalan pertanian komersial serta laluan kerjaya dalam industri tersebut. RWG turut menawarkan pelbagai pengalaman ekopelancongan dan edupelancongan lain termasuk Genting Nature Adventures, taman orkid dan ladang, serta lawatan berpandu interaktif. Kesemua inisiatif ini mencerminkan pendekatan holistik RWG terhadap pelancongan lestari dan pengalaman berasaskan pembelajaran, menjadikan keseluruhan resort sebagai destinasi pendidikan dan ekologi bagi para pengunjung.

Hadapan dari kiri - Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, bersama Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, menandatangani Memorandum Persefahaman antara RWG dan Tourism Malaysia yang disaksikan oleh Aaron Chia, Ketua Pegawai Operasi RWG, serta YB Dato’ Seri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Di bawah MoU ini, RWG dan Tourism Malaysia berkolaborasi secara strategik bagi mempromosikan ekopelancongan dan edupelancongan sebagai teras utama VM2026. Kerjasama ini turut merangkumi sokongan RWG terhadap inisiatif domestik Tourism Malaysia melalui penganjuran lawatan suai kenal, pengalaman berkurasi serta program khas. RWG juga mempromosikan kempen VM2026 secara aktif di seluruh rangkaiannya dan platform media melalui penglibatan kakitangan, inisiatif untuk para tetamu serta peningkatan keterlihatan penjenamaan, termasuk persembahan Genting SkyWorlds Immersive 360 di Studio Plaza Theatre. Sebagai tanda komitmen, para pekerja Genting turut memakai pin lapel VM2026.

Menurut Spencer Lee, MoU ini merupakan pencapaian penting bagi RWG dalam usaha bekerjasama dengan Tourism Malaysia bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026. Beliau menegaskan bahawa RWG teruja untuk mempamerkan tawaran ekopelancongan dan edupelancongan, menyediakan pengalaman bermakna kepada pengunjung dari dalam dan luar negara, serta meraikan kekayaan semula jadi dan budaya Malaysia. Menerusi inisiatif seperti Eufloria dan BUNGA 2026, RWG berhasrat mempromosikan amalan pelancongan lestari serta peluang pembelajaran yang mudah diakses oleh semua.

Datuk Manoharan Periasamy pula menekankan bahawa kerjasama ini mencerminkan kesepakatan visi dalam mempamerkan khazanah alam semula jadi Malaysia serta memperluas apresiasi terhadap biodiversiti negara. Beliau menyatakan bahawa Tourism Malaysia amat berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan RWG dalam memperkukuh usaha mempromosikan kelestarian, ekopelancongan dan edupelancongan, seiring dengan persiapan pelaksanaan kempen VM2026 yang dijangka memberikan impak lebih signifikan.

Seiring persediaan Malaysia untuk menyambut ketibaan pelancong antarabangsa sempena VM2026, pemeteraian kerjasama bersama RWG ini menjadi langkah penting dalam memperlihatkan keunikan gabungan alam semula jadi, budaya dan inovasi negara. Menerusi inisiatif seperti Eufloria serta program ekopelancongan dan edupelancongan pada masa hadapan, kerjasama strategik ini terus mengukuhkan komitmen Tourism Malaysia dalam mempromosikan pelancongan bertanggungjawab yang memelihara warisan alam negara di samping mengiktiraf kepelbagaian yang menjadi identiti Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai program dan tawaran RWG, layari rwgenting.com atau ikuti saluran media sosial rasmi Resorts World Genting.

Comments

Popular posts from this blog

HARVEY NORMAN MERIAHKAN SAMBUTAN PERAYAAN KRISMAS DENGAN "THE BIG CHRISTMAS SALE"

GAME ON THEME PARK BAWA DIMENSI LIBURAN BAHARU DI THE MINES