L’ORÉAL-UNESCO FOR WOMEN IN SCIENCE MENYEMARAKKAN SEMANGAT BINTANG SAINS WANITA GENERASI BAHARU DI MALAYSIA

Program L’Oréal-UNESCO For Women in Science (FWIS) terus memperkasakan saintis wanita tanah air cemerlang untuk menangani pelbagai cabaran kritikal negara. Penerima anugerah tahun ini merupakan barisan pemimpin saintifik generasi baharu, yang menerajui penyelesaian kritikal dalam bidang kesihatan, kelestarian dan kesihatan mental. Penyelidikan mereka bukan sahaja mengatasi isu-isu mendesak di peringkat nasional, malah menyumbang kepada penerajuan komuniti saintifik global. Setiap penerima dianugerahkan pembiayaan RM30,000, di samping peluang meningkatkan kemahiran serta menyertai rangkaian profesional global bagi mempercepatkan kemajuan penyelidikan inovatif mereka sambil memacu masa depan sains di Malaysia.

(Dari kiri ke kanan) Dr Tan Lling Lling; Dr Noorfatimah Yahaya; Dr Nurnadiah Zamri; Tomas Hruska (Pengarah Urusan L’Oréal Malaysia); Dr Liu Jinyue; dan Dr Beverly Mok.

Setiap tahun, program ini menyokong pemimpin wanita dalam bidang STEM, memastikan suara mereka didengari dan sumbangan mereka diiktiraf di peringkat antarabangsa. Program L’Oréal-UNESCO For Women in Science bukan sahaja sekadar anugerah, malah menjadi pemangkin perubahan jangka panjang — mengurangkan jurang jantina dalam kepimpinan saintifik sambil menggalakkan lebih ramai wanita tampil menerajui bidang penyelidikan dan inovasi.


Pengarah Urusan L’Oréal Malaysia, Tomas Hruska berkata: “Tahun ini, L’Oréal meraikan ulang tahun ke-30 di Malaysia, yang menyerlahkan komitmen berterusan kami dalam memupuk perubahan positif di negara ini. Sepanjang perjalanan ini, kami telah memperkasakan wanita Malaysia, dan berbesar hati untuk berkongsi bahawa kami telah menyokong seramai 60 orang saintis wanita Malaysia dengan lebih RM1.5 juta dalam bentuk endowmen sejak 2006. Dengan menyokong wanita-wanita hebat ini, kami bukan sekadar membiayai usaha mereka, tetapi turut melabur dalam masa depan sains, memacu impak yang bermakna dan mampan, serta melengkapkan pemimpin hari esok untuk membina penyelesaian masa depan.”

Noorfatimah Yahaya

Sebagai pemimpin muda dalam bidang kimia analisis di Universiti Sains Malaysia, penyelidikan Noorfatimah menumpukan pada keselamatan dan keberkesanan antibiotik ampicillin-sulbactam (UNASYN) yang digunakan untuk merawat pesakit kritikal. Beliau membangunkan kaedah ‘plasma microextraction’ yang pantas, mesra alam serta digabungkan dengan model dos berasaskan pembelajaran mesin untuk membantu petugas kesihatan menentukan dos antibiotik optimum bagi setiap pesakit.

Inovasi ini berpotensi mengurangkan kegagalan rawatan, mencegah ketoksikan ubat dan menangani peningkatan ancaman rintangan antimikrob. Dengan sokongan program L’Oréal-UNESCO For Women in Science, Noorfatimah kini menuju fasa seterusnya — memperkenalkan pendekatan ini ke hospital-hospital tempatan dan membangunkan perkhidmatan pemantauan ubat terapeutik pertama untuk UNASYN di Malaysia. Misinya jelas: menghubungkan sains analisis dengan penjagaan klinikal demi rawatan lebih selamat, hasil pesakit lebih baik dan sistem kesihatan yang lebih mampan.

Tan Lling-Lling

Sebagai seorang saintis material, Lling-Lling menerajui kemajuan dalam tenaga solar melalui kajiannya dalam fotopemangkinan — teknologi yang menukar cahaya matahari kepada bahan api seperti hidrogen dan metana. Dengan mencabar batasan teknologi solar tradisional, beliau memberi tumpuan kepada 'sistem fotopemangkin siang-malam' yang mampu menyimpan tenaga pada waktu siang dan terus menghasilkan bahan api solar pada waktu malam.

Pendekatan ini menawarkan penyelesaian yang lestari, berskala besar dan selari dengan aspirasi tenaga bersih Malaysia. Dengan sokongan program L’Oréal-UNESCO For Women in Science, penyelidikannya berpotensi mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan api fosil serta menggalakkan penyelesaian tenaga mampan untuk Malaysia dan dunia.

Nurnadiah Zamri

Seorang ahli matematik dan penyelidik AI, Nurnadiah pula gigih memajukan sokongan kesihatan mental digital di Malaysia melalui kajiannya dalam matematik kabur (fuzzy mathematics) dan analitik emosi pintar. Fokus terkininya ialah projek pembangunan 'chatbot' kesihatan mental hibrid berasaskan AI yang menggabungkan saringan emosi awal, alat bantuan kendiri berasaskan CBT serta padanan teleterapi yang peka terhadap budaya tempatan.

Dengan mengatasi kekangan pendekatan kesihatan mental tradisional yang sering memerlukan peralatan khusus, penyelidikannya membuka ruang kepada penyelesaian berskala besar, mudah diakses dan relevan untuk menyokong rakyat Malaysia di tempat kerja mahupun komuniti. Dengan sokongan program L’Oréal-UNESCO For Women in Science, usaha Nurnadiah berpotensi mengubah cara matematik dan AI dimanfaatkan untuk meningkatkan kesejahteraan emosi, menginspirasikan lebih ramai wanita muda menyertai STEM, serta memperkukuh inovasi kesihatan mental di Malaysia dan global.

Komitmen berterusan Yayasan L’Oréal dalam menyokong wanita dalam STEM membantu membina komuniti saintifik yang lebih inklusif, sekali gus memajukan kesaksamaan jantina dalam bidang tersebut. Program L’Oréal-UNESCO For Women in Science terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan saintis wanita, memastikan penyelidikan mereka diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi impak nyata kepada kehidupan seharian. Inisiatif ini bukan sahaja mengangkat usaha para penyelidik, tetapi turut menyemai bakat saintifik generasi akan datang — mendorong perubahan yang lebih mampan, bermakna dan berkekalan untuk Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai program L’Oréal-UNESCO For Women in Science, sila layari L’Oréal Fondation.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MERAIKAN SYAWAL DENGAN KANDUNGAN YANG MENGERATKAN KELUARGA, MENYEMARAKKAN KEBERSAMAAN

HOSPITAL PICASO ANGKAT KESEDARAN ENDOMETRIOSIS MENERUSI IFTAR RAMADAN DAN PANEL HARI WANITA SEDUNIA