FILEM EPIK “GAYONG 2” HIDUPKAN PERJUANGAN MEOR ABDUL RAHMAN DI PAWAGAM APRIL INI
Selepas kejayaan filem pertama tahun lalu, kisah pengasas Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), kembali ke layar perak menerusi Gayong 2, terbitan SOL Pictures Sdn. Bhd. Filem arahan Faisal Ishak ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 9 April 2026.
Berbeza dengan naskhah terdahulu yang menekankan dunia persilatan, Gayong 2 membawa penonton ke fasa hidup ADMAR yang lebih gelap dan mencabar. Beto Kusyairy kembali memegang watak utama sebagai Meor Abdul Rahman, kali ini sebagai pegawai CID dalam pasukan polis British selepas Perang Dunia Kedua di Singapura. Filem ini menyelami dilema moral seorang lelaki yang berpegang pada prinsip untuk membanteras jenayah kongsi gelap, rasuah dan penyalahgunaan kuasa, sambil berdepan pengkhianatan dalam sistem yang dilindungi pangkat dan wang.
Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip, menjelaskan bahawa karya ini bukan sekadar dokumentari, tetapi sebuah drama sinematik yang mengangkat konflik kuasa dan tekanan emosi. “Gayong 2 lahir daripada keinginan untuk menceritakan perjuangan yang lebih kompleks, tentang bagaimana seseorang yang berpegang pada prinsip diuji apabila kebenaran itu sendiri menjadi ancaman,” katanya.
Barisan pelakon turut menampilkan Nabila Huda, Syafie Naswip, Fauzie Laily, Bobby Tonelli, Rabbit Chen, Hanna Aqeela dan Ayez Shaukat. Menariknya, Miss Malaysia 2024, Sandra Lim, membuat penampilan sulung dalam filem epik Melayu ini.
Faisal Ishak selaku pengarah menekankan bahawa Gayong 2 bukan sekadar kesinambungan cerita, tetapi kesinambungan warisan dan tanggungjawab. “Kalau dalam filem pertama lebih menjurus kepada memperkenalkan dunia persilatan, Gayong 2 pula menyelami harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan keperibadian dan maruah. Ia bukan sekadar aksi, tetapi tentang identiti dan prinsip hidup,” jelasnya.
Penggambaran filem ini dijalankan sepenuhnya di Ipoh, Perak dari November hingga Disember 2024, dengan pengarah aksi terkenal Yayan Ruhian memastikan adegan pertarungan lebih mantap dan realistik.
Sinopsis
Berlatar selepas Perang Dunia Kedua, Gayong 2 menyingkap era Tanah Melayu yang kelihatan aman tetapi bergolak dari dalam. Meor Abdul Rahman berkhidmat sebagai pegawai CID dan mendapati rangkaian rasuah diketuai Malcom, pegawai polis berpangkat tinggi, yang bersekongkol dengan ketua gangster Lee Khoon. Konflik ini menguji prinsip Meor ketika berdepan ancaman terhadap dirinya dan keluarganya.
Dengan naratif matang, aksi penuh intensiti dan konflik moral, Gayong 2 dijangka menjadi karya tempatan yang bukan sahaja mengangkat seni persilatan, tetapi juga keberanian mempertahankan prinsip dalam dunia yang tidak sempurna.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan filem epik penuh aksi dan emosi ini di pawagam seluruh negara bermula 9 April 2026 – rasai sendiri perjuangan dan warisan Gayong di layar perak!
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
%20(Custom).jpg)
Comments
Post a Comment