KLOOK TRAVEL PULSE: RAKYAT MALAYSIA DIJANGKA TINGKATKAN PERBELANJAAN PERJALANAN SEBANYAK 15% PADA 2026


1 daripada 2 rakyat Malaysia mengutamakan harga berpatutan apabila memilih destinasi pelancongan, walaupun mereka merancang untuk berbelanja lebih bagi perjalanan tahun ini. Menurut dapatan tinjauan Klook Travel Pulse 2026, perbelanjaan perjalanan dijangka meningkat sebanyak 15%, iaitu kadar pertumbuhan kedua tertinggi di Asia Tenggara. Ini mencerminkan minat perjalanan yang kukuh namun masih berasaskan nilai.

Walaupun bajet meningkat, rakyat Malaysia semakin berdisiplin dalam mengurus perbelanjaan mereka:
  • Keputusan berasaskan harga: 56.1% rakyat Malaysia meletakkan harga berpatutan sebagai faktor utama dalam memilih destinasi percutian.
  • Fokus Gen Z: Kekal dalam bajet merupakan keutamaan utama bagi pelancong Gen Z di Malaysia (45.6%).
  • AI untuk penjimatan lebih bijak: 41.3% rakyat Malaysia kini menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk mengenal pasti masa terbaik untuk membuat tempahan bagi mendapatkan harga lebih baik. Ini menunjukkan penggunaan teknologi secara praktikal untuk membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.
Meneroka Destinasi Baharu di Jepun dan China

Jepun kekal sebagai destinasi paling menjadi pilihan rakyat Malaysia (27.2%), diikuti oleh peningkatan minat terhadap China (13.1%) dan Australia (6.9%).

Namun, cara rakyat Malaysia meneroka destinasi ini semakin berubah:
  • Di Jepun: Golongan milenial semakin cenderung memilih bandar sekunder seperti Sapporo dan Shizuoka, manakala pelancong Gen Z mula meneroka destinasi baharu seperti Okinawa dan Yokohama.
  • Di China: Pelancong Gen Z lebih meminati bandar Tier 1 yang sedang meningkat naik seperti Chongqing dan Guangzhou, sementara golongan milenial masih mengekalkan pilihan tradisional seperti Beijing dan Shanghai.
“Dalam era di mana cara kita mengembara sama penting dengan destinasi, pelancong kini lebih teliti dalam merancang dan menikmati perjalanan mereka. Di Klook, kami komited merapatkan jurang antara inspirasi dan realiti melalui pengalaman terpilih, tawaran eksklusif serta penemuan berasaskan AI. Ini sekali gus membolehkan pelancong meneroka dan menempah pengalaman bermakna pada bila-bila masa, di mana sahaja,” kata Sarah Wan, Pengurus Besar Klook bagi Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.

Media sosial dan AI terus membentuk keputusan perjalanan

Perubahan trend pemikiran pelancong ini semakin jelas dalam cara rakyat Malaysia merancang perjalanan hari ini, dengan keseluruhan proses daripada inspirasi hingga tempahan kini lebih beralih ke platform digital. Rakyat Malaysia semakin menggunakan media sosial dan AI untuk mencari, menilai serta merancang perjalanan dengan lebih lancar. Media sosial khususnya kekal sebagai pengaruh utama, dengan 4 daripada 5 rakyat Malaysia (78.9%) pernah menempah pengalaman pelancongan berdasarkan cadangan pencipta kandungan.

Pada masa sama, AI semakin pantas menjadi alat utama dalam perancangan perjalanan pelancong masa kini:
  • 57.2% rakyat Malaysia menggunakan AI untuk mencari maklumat destinasi (purata global: 51.8%).
  • Lebih separuh rakyat Malaysia (54.1%) menggunakan AI untuk meneroka aktiviti bagi perjalanan mereka.
Peralihan Ke Arah Perjalanan Yang Lebih Bermakna

Peralihan ini didorong oleh keinginan yang semakin meningkat untuk pengalaman perjalanan yang lebih bermakna, khususnya dalam kalangan pelancong muda. Gen Z di Malaysia semakin menitikberatkan pengalaman bermakna ketika merancang perjalanan (38.0% berbanding 31.4% di peringkat global), mencerminkan kecenderungan lebih tinggi untuk mengembara dengan tujuan. Dengan minat tinggi terhadap aktiviti imersif seperti lawatan tempatan dan pengalaman berpandu (54.2%) serta festival budaya (46.1%), Gen Z dilihat lebih cenderung membina hubungan lebih mendalam dengan destinasi, beralih daripada aktiviti pelancongan tradisional kepada pengalaman yang lebih autentik dan berasaskan pengalaman.

Selain itu, dapatan turut menunjukkan perbezaan jelas antara pendekatan pelancongan golongan milenial dan Gen Z di Malaysia. Walaupun kedua-duanya meletakkan pengalaman makanan seperti lawatan kulinari dan sesi mencuba makanan sebagai pilihan utama, golongan milenial lebih cenderung kepada lawatan tempatan dan pengalaman berpandu, manakala Gen Z menunjukkan minat lebih tinggi terhadap tarikan semula jadi bermusim seperti aurora dan bunga sakura. Perbezaan ini turut dilihat dari segi pengaruh kandungan, di mana milenial lebih terinspirasi oleh foto dan video di media sosial, manakala Gen Z lebih cenderung kepada kandungan praktikal seperti tip dan panduan perjalanan, mencerminkan pendekatan yang lebih pragmatik dan berasaskan perancangan.

Comments

Popular posts from this blog

EKSKLUSIF: BUKAN SEKADAR FILEM AKSI, 'HUNTER ELEVEN' ADALAH MISI MALAYSIA MENAKLUK SINEMA DUNIA

ORANG RAMAI BERATUR PANJANG DI SELURUH NEGARA KETIKA SHOPEE BELANJA RAKYAT MALAYSIA BUTTERCRÈME LATTÉ PERCUMA DARIPADA ZUS COFFEE SEMPENA RAYA

EARLY AUTISM PROJECT MENGANJURKAN RUN FOR AUTISM 2026 SEMPENA ULANG TAHUN KE-20 UNTUK MENGUMPUL DANA BAGI INDIVIDU DENGAN AUTISME