GANDINGAN IKONIK ADAM & HAWA KEMBALI – AARON AZIZ & NADIYA NISAA BERSATU MENERUSI BIDADARI TANPA SYURGA


Selepas lebih sedekad, gandingan legenda drama Adam & Hawa kembali menggegarkan dunia hiburan tempatan. Viu, platform penstriman video terkemuka PCCW, mempersembahkan Viu Original terbaru, Bidadari Tanpa Syurga (When Grace Ends) yang menyatukan semula Dato’ Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa dalam sebuah kisah penuh konflik rumah tangga, agama dan kuasa.

Drama 12 episod arahan Jamal Khan dan terbitan Global Film Station ini bukan sekadar reunion dua bintang besar, tetapi juga mengetengahkan tema kekeluargaan yang jarang dibicarakan secara terbuka di kaca televisyen tempatan. Turut membintangi siri ini ialah Syad Mutalib dan Lorenzo Irmann, menjadikan barisan pelakon lebih berwarna dan berlapis.


Dalam siri ini, Aaron Aziz memegang watak Azlan, seorang pemimpin NGO yang dihormati masyarakat kerana sikapnya yang tenang dan berilmu. Namun di sebalik imej Muslim contoh, kehidupannya di rumah jauh lebih kompleks. Isterinya, Farhah (Nadiya Nisaa), sering mempersoalkan keutamaan Azlan, dan keadaan menjadi lebih rumit apabila Azlan mengahwini Aisyah (Syad Mutalib). Keputusan berpoligami yang dianggap sebagai tanggungjawab moral akhirnya mencetuskan konflik besar dalam keluarga mereka.

Kehidupan sebumbung memaksa Farhah dan Aisyah menyesuaikan diri dengan realiti poligami yang penuh peraturan, persepsi dan persaingan. Namun persoalan utama yang dibangkitkan drama ini – adakah musuh sebenar mereka sesama sendiri, atau suami yang menggunakan agama sebagai alat kawalan?


Menambah lagi daya tarikan, drama ini turut menampilkan lagu tema “Hujung Indah” nyanyian Umairah, ciptaan Iqie Hugh dan Omar K, yang dilancarkan serentak dengan tayangan siri.

Bidadari Tanpa Syurga akan mula ditayangkan secara eksklusif di Viu bermula 11 Jun 2026, dengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat.

Untuk mengikuti perkembangan, layari www.viu.com atau ikuti Viu di Facebook, Instagram, YouTube, X dan TikTok.

Comments

Popular posts from this blog

MENANG BESAR DENGAN PERADUAN #PERFECTTOGETHER2020

DRAMA BAHARU AKASIA TV3: “LUKA DI HUJUNG SETIA” GANDINGKAN DATO’ ADI PUTRA & ZARA ZYA