DRAMA ‘CAMAR POELANG’, INDAHNYA KASIH SAYANG PENGORBANAN BAPA


Jika ibu dikatakan insan paling banyak berkorban dalam membesarkan anak-anak. Namun jangan dilupakan jasa seorang lelaki bergelar ayah. Biar tak terucap setiap hari, namun nilai kasih sayang seorang ayah tak pernah hilang dari ingatan seorang anak. Ayah, figura hebat dalam mengajarkan nilai kehidupan buat anak-anak. Di sebalik tenang wajah seorang ayah, tersimpan seribu pengorbanan yang tak pernah diminta balasan.

Namun bagaimanakah emosi dan perasaan seorang bapa tunggal yang memiliki seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) dan membesarkan sendiri anak mereka? Adakah mereka kuat berdepan cabaran meneruskan kelangsungan hidup dan dalam masa sama memastikan anak mereka menerima layanan selayaknya sebagai manusia?

Hakikatnya pengorbanan mereka membina keyakinan anak sering menjadi nadi kekuatan hidup. Kisah realiti yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita ini diangkat pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam naskhah terbaru drama terbitan Unit Drama TV RTM bertajuk ‘Camar Poelang’, khas sempena meraikan sambutan Hari Bapa.

Dibarisi gandingan pelakon tanah air, antaranya Wan Raja (Zahir), Faha Azhar (Akil), Ku Farisah (Orked), ArielGanu (Abe Leh), Yaacob Aziz (Pak Soh), Azizah Mahzan (ibu Zahir) dan Razzuan Rosli (Halim), ianya akan mengisi slot Panggung RTM pada 20 Jun ini, pukul 9.00 malam di TV1 dan RTMKlik.


Berkongsi mesej utama yang ingin disampaikan dalam drama ini, pengarahnya, Zairol Fahmee Khairuddin, Unit Drama TV RTM menegaskan apa yang cuba dipaparkan dan tersirat dalam drama ini adalah kita sebagai manusia di muka bumi ini hidup dalam satu sistem tak kisah walau dimana pun berada. Ada rasa marah, sedih, dendam dan sebagainya. Ia umpama hidup manusia yang hakikatnya bergerak atas kehendak Yang Maha Esa.

Berdepan cabaran ketika menjalani penggambaran drama ini dianggap Zarol sebagai pengalaman yang bermakna. Menyentuh tentang simbolik pemilihan tajuk Camar Poelang menurut beliau kerana latar cerita berlaku di perkampungan nelayan dan di situ banyak terdapat burung camar yang hidup di kawasan laut.

Diumpamakan pengorbanan si bapa sama seperti camar yang akan turun ke laut mencari ikan tanpa mempedulikan laut yang bergelora demi memenuhkan paruh dengan ikan. Namun pada akhirnya akan pulang jua ke darat. Sama dengan watak Pak Soh yang melakukakan pengorbanan demi menyelamatkan anaknya daripada tuduhan palsu meskipun menerima tekanan daripada masyarakat sekeliling.

Memilih lokasi di sekitar Terengganu, drama ini menjalani 14 hari tempoh penggambaran iaitu pada 10 hingga 23 April lalu.

Ia mengisahkan Zahir, seorang penulis yang mencari ketenangan di sebuah kampung nelayan terjebak dalam kisah penuh fitnah, kasih sayang dan pengorbanan apabila seorang anak istimewa, Akil telah dituduh cuba memperkosa Orked, gadis yang paling rapat dengannya. Orked koma akibat kejadian itu yang membuatkan Halim, salah seorang pemuda kampung yang cintanya tidak dibalas oleh Orked menabur fitnah. Halim menuduh semuanya angkara Akil.

Sementara itu si ayah, Pak Soh yang amat menyayangi Akil berjuang untuk membuktikan kebenaran anaknya itu tidak bersalah. Rentetan tragedi yang menimpa keluarga itu bukan sahaja menggoncang seluruh kampung, tetapi akhirnya membuka mata Zahir tentang makna sebenar kasih sayang hingga kisah yang diciptanya menjadi cermin kepada hidupnya sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

DRAMA BAHARU AKASIA TV3: “LUKA DI HUJUNG SETIA” GANDINGKAN DATO’ ADI PUTRA & ZARA ZYA

BUKAN SEKADAR JUMPSCARE MURAHAN, ‘KHADAM’ TAMPAR REALITI TRAUMA GENERASI & SEKSISME DOMESTIK!