MIFFEST KE-9: RESONANCE SINEMA GLOBAL BAKAL GEGARKAN KUALA LUMPUR
Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) ke-9 bakal berlangsung dari 18 hingga 25 Julai 2026 di Kuala Lumpur dengan membawa tema Resonance. Festival lapan hari ini akan menayangkan 65 filem dari 35 negara dalam 27 bahasa melalui pelbagai segmen ikonik seperti A-Lister, Neon, Manifesto, dan Malaysian Dispatch.
Festival tahun ini akan membuka tirainya dengan tayangan perdana dunia filem tempatan kontemporari BAGA: Tomorrow Belongs To No One arahan Ariff Zulkarnain, manakala filem drama Turki pemenang Anugerah Beruang Emas Berlin ke-76 iaitu Yellow Letters arahan İlker Çatak dipilih sebagai filem penutupan.
MIFFest edisi ini turut memberi penghormatan kepada tokoh filem antarabangsa melalui penganugerahan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada pengarah legenda Korea Selatan, Lee Chang-dong, dengan menayangkan dua karya agung beliau iaitu Peppermint Candy dan Oasis. Selain itu, ikon filem aksi dari China, Wu Jing, akan menerima Anugerah Kecemerlangan Pencapaian dalam Filem berserta tayangan filem epik wuxia beliau berjudul Blades of the Guardians: Wind Rises in the Desert.
Beberapa program khusus turut menjadi tumpuan termasuk segmen Sinema Hong Kong dalam Transisi yang menerajui filem Ciao UFO, Rentak Baharu Sinema India yang menampilkan filem ikonik Sholay dan Black Friday, serta program baharu Sinema Korea dan Minggu Filem Rusia. Seterusnya, segmen ASEAN On Screen kembali mempamerkan enam filem Asia Tenggara termasuk wakil Malaysia, Tears in Kuala Lumpur, di samping kembalinya program Sinema di Bawah Bintang di MyTOWN Shopping Centre yang melancarkan siri mikro drama Impian Di Seoul.
![]() |
| Presiden MIFFest, Joanne Goh |
Bagi kategori Pertandingan Antarabangsa Malaysia Golden Global Awards (MGGA) 2026 yang akan berlangsung pada 25 Julai di Mega Star Arena, sebanyak sepuluh filem dari seluruh dunia bakal bersaing termasuk wakil Malaysia iaitu The Waves Will Carry Us. Barisan juri pertandingan diketuai oleh Presiden Juri Anurag Kashyap dari India, bersama-sama Midi Z dari Taiwan, Ananda Everingham dari Thailand, Man Lim-Chung dari Hong Kong, dan Sharifah Amani dari Malaysia.
Selain tayangan filem, festival ini turut menyediakan sesi masterclass dan forum industri dengan pendaftaran pas yang dibuka dari 9 Jun hingga 25 Julai 2026 atas konsep siapa cepat dia dapat. Akses festival ini menyediakan akreditasi percuma untuk pengamal media, manakala Pas Akreditasi Pelajar ditawarkan pada harga RM29 untuk 10 tayangan. Orang awam boleh mendapatkan MIFFest Movie Pass pada harga RM59, manakala pemegang kad Hong Leong Bank menikmati harga promosi eksklusif RM49.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari www.miffest.com.my.
.jpg)
.jpg)
Comments
Post a Comment