TIGA GENERASI, DUA PERJUANGAN: BAGAIMANA DENGGI MERAMPAS DETIK PALING BERHARGA
Sempena Hari Denggi ASEAN ini, rakyat Malaysia diingatkan bahawa denggi masih menjadi ancaman yang serius terhadap kesihatan awam – di sebalik setiap kes, tersimpan kisah peribadi tentang ketakutan, kehidupan yang terjejas, dan saat-saat berharga bersama keluarga yang hilang buat selama-lamanya.
Ramai yang masih menganggap denggi sebagai penyakit bermusim, sesuatu yang biasa dan sering berlaku. Namun hakikatnya, denggi boleh menyerang sesiapa sahaja, pada bila-bila masa sepanjang tahun dan bertukar menjadi penyakit serius yang menjejaskan kehidupan dalam sekelip mata. Inilah yang dialami Puan Syelina, seorang perancang acara berusia 45 tahun – apabila dua kali keluarganya dilanda krisis denggi yang melibatkan tiga generasi – sekaligus memberi makna baharu kepada cara mereka menjaga dan menghargai satu sama lain.
“Kali pertama pada 2014, sehari sebelum Aidilfitri,” katanya mengimbas sejarah lalu. “Memang sudah beberapa hari saya demam, tetapi saya fikir ia tidak serius, cuma demam biasa.”
Namun apabila keadaannya semakin teruk, dia dimasukkan ke hospital dan didiagnos menghidap denggi. Pada waktu itu, dia berada di Pulau Pinang bersama keluarga suaminya dan jauh dari ibunya yang sudah tua di Terengganu.
Tanpa disangka, pada masa yang sama, ibunya juga sudah beberapa hari demam tetapi tidak mendapatkan rawatan.
“Sebenarnya, ibu sedang bersiap-siap untuk datang melawat saya,” kata Puan Syelina. “Namun sebelum sempat bertolak, dia rebah di bilik air dan darah keluar dengan begitu banyak.”
Ibunya kemudian dikejarkan ke hospital dan didiagnos menghidap demam denggi berdarah, iaitu jenis denggi yang teruk dan boleh mengancam nyawa.
“Saya di hospital, dan ibu di ICU (Unit Rawatan Rapi), tetapi di negeri lain. Namun yang paling menyedihkan, saya tidak boleh melawat dia,” sambungnya.
Pada tahun itu, Aidilfitri bukan satu perayaan, tetapi satu perjuangan untuk meneruskan hidup. Denggi datang merampas detik-detik berharga mereka sekeluarga, menukar kegembiraan dengan ketakutan dan perpisahan.
“Saya beraya di atas katil hospital. Ibu juga begitu, tetapi dia dalam ICU. Pada hari yang sepatutnya menyatukan kami sekeluarga, kami masing-masing berjuang dan berdoa agar diberi peluang bertemu semula.”
Doktor memberitahu, ibunya berada dalam keadaan yang kritikal.
“Ketika itu dia tidak sedarkan diri, kehilangan banyak darah dan perlukan pemindahan darah,” sambungnya. “Kenyataan itu benar-benar menggerunkan saya.”
Puan Syelina dibenarkan keluar dari hospital selepas 10 hari, lebih awal daripada yang dirancang, supaya dia boleh segera balik ke Terengganu untuk berada di sisi ibunya. Selepas tiga minggu dirawat di hospital, termasuk rawatan di ICU, ibunya beransur pulih.
![]() |
| Puan Syelina dan keluarganya. |
Lebih sedekad kemudian, pada 2025, denggi menyerang semula.
Kali ini, Puan Syelina yang sakit dahulu, diikuti oleh anak perempuannya yang ketika itu baru berusia lapan tahun.
“Pada mulanya, demam biasa saja,” katanya. “Tetapi menjelang hari keempat, anak saya jadi sangat lemah. Kiraan plateletnya semakin rendah.”
Keadaan anak perempuannya merosot dengan cepat sehingga mengalami denggi teruk disertai kebocoran plasma. Apabila kiraan plateletnya menjunam ke angka satu digit, dia berisiko tinggi mengalami pendarahan dan terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) untuk pemantauan rapi.
“Pada saat itu, perasaan gentar menguasai diri. Peristiwa yang berlaku pada ibu saya 11 tahun lalu menguasai fikiran. Saya asyik membayangkan yang sejarah akan berulang… dan saya terpaksa mengharungi pengalaman yang sama, tetapi kali ini melibatkan anak saya,” katanya.
Walaupun Puan Syelina sendiri bertarung dengan denggi, tetapi dia membuat keputusan yang sukar untuk dibenarkan keluar awal supaya dia boleh dimasukkan ke hospital yang sama dengan anaknya.
“Saya tidak mahu anak saya melalui saat yang sukar itu sendirian,” jelasnya.
Sementara ibu dan anak dirawat di hospital, segala beban di rumah ditanggung oleh suaminya seorang diri.
“Dia terpaksa menguruskan segala-galanya – tugasnya di bank, perniagaan pengurusan acara saya, pekerja kami, dan anak lelaki di rumah,” katanya. “Pada masa sama, dia juga bimbangkan keadaan kami berdua di hospital. Tugas yang terlalu banyak untuk ditanggung sendirian, dan dia bertungkus lumus memastikan semuanya berjalan lancar.”
Selain menghadapi krisis kesihatan, perkara yang paling terkesan ialah perjalanan kehidupan harian keluarga mereka. Ahli keluarga terpaksa berjauhan, rutin harian terjejas, dan segala tanggungjawab penjagaan serta pengurusan rumah tangga tergalas di bahu seorang individu sahaja.
“Kami rindukan rumah. Apa yang kami inginkan bukan sekadar untuk sembuh, tetapi rasa selamat berada bersama seisi keluarga…kembali ke rumah sendiri, dan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Kini, walaupun sudah sembuh sepenuhnya, kesannya masih terasa.
“Sekarang setiap kali nampak nyamuk, saya berasa cemas,” akui Puan Syelina. “Malah seluruh keluarga saya juga lebih berhati-hati. Kami mengelak keluar ketika hari hujan kerana bimbang perkara sama akan berulang.”
Setelah dua kali menghidap denggi, perspektifnya berubah sama sekali.
“Kali kedua lebih teruk. Walaupun selepas keluar dari hospital, rasa lesu itu berterusan dan saya masih berasa sangat letih selama beberapa minggu,” katanya. “Sekarang saya dibelenggu kebimbangan pula. Bimbang – bagaimana kalau ia berlaku lagi?”
Penyakit Yang Masih Dipandang Ringan
Menurut Dr Anis Siham binti Zainal Abidin, Perunding Pediatrik dan Pakar Penjagaan Rapi Pediatrik, ramai yang masih memandang ringan bahaya denggi, kerana pada peringkat awal, ia biasanya bermula dengan gejala yang menyerupai demam virus biasa.
“Hakikatnya, denggi boleh menjadi teruk dengan sangat pantas, dan tiada rawatan khusus untuk menyembuhkannya. Dalam masa 24 jam, keadaan pesakit boleh merosot sehingga menjadi kritikal,” jelasnya.
Beliau menegaskan ada beberapa tanda amaran yang tidak boleh diabaikan iaitu demam panas yang berlarutan (39 - 40°C), sakit perut, lesu dan muntah.
Denggi yang teruk biasanya muncul selepas demam reda, dan boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa termasuk kebocoran plasma, pendarahan dan kegagalan organ.
“Apabila salur darah bocor, cecair boleh terkumpul di paru-paru dan abdomen, menyebabkan pesakit sukar untuk bernafas. Pada masa yang sama, paras platelet menurun, yang akan meningkatkan risiko pendarahan. Gabungan semua perkara ini boleh mempercepatkan kegagalan organ untuk berfungsi,” katanya.
Dr Anis menambah, bagi kes Puan Syelina, ia mengesahkan fakta yang sangat penting: denggi tidak memilih mangsa.
“Ia boleh menyerang semua peringkat umur, dari kanak-kanak kecil hingga warga tua, dan jangkitan boleh berlaku lebih daripada sekali kerana terdapat empat jenis strain virus denggi yang berbeza. Bahkan, jangkitan kedua dengan strain yang berbeza boleh membawa risiko lebih tinggi untuk mendapat denggi yang teruk,” katanya.
Pencegahan: Benteng Utama Perlindungan
Oleh kerana setakat ini tiada penawar untuk denggi, maka pencegahan kekal sebagai langkah pertahanan yang paling berkesan. Dr Anis menyeru rakyat Malaysia untuk mengambil pendekatan proaktif iaitu:
- Hapuskan tempat pembiakan: Tidak kira sesikit mana pun, air yang bertakung dalam bekas, longkang atau barangan rumah boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.
- Lindungi diri daripada gigitan: Gunakan ubat penghalau nyamuk, pakai pakaian yang menutupi tubuh dan pasang skrin tingkap atau jaring nyamuk.
- Dapatkan rawatan perubatan dengan segera: Kini denggi boleh dikesan seawal hari pertama kemunculan simptom – diagnosis awal boleh menyelamatkan nyawa.
- Dapatkan nasihat doktor tentang vaksinasi denggi.
“Kesimpulannya, kita perlu mengubah cara kita berfikir,” kata Dr Anis. “Terlalu ramai yang beranggapan ‘Ia tidak akan berlaku pada saya’, sehinggalah ia benar-benar terjadi. Apabila keadaan menjadi serius, saat-saat berharga bersama keluarga mungkin hilang begitu saja dan ketika itu, segalanya sudah terlambat.”
Bagi keluarga seperti keluarga Puan Syelina, pengajaran yang diperoleh amat jelas – terselamat daripada denggi hanya sebahagian daripada cerita. Hidup dirundung kebimbangan penyakit itu kembali menyerang merupakan ‘cerita’ yang sentiasa mencabar fikiran mereka.
“Apabila denggi menyerang, penyesalan kerana tidak melakukan langkah-langkah pencegahan tidak membawa sebarang makna,” katanya. “Tiada siapa pun yang perlu melalui pengalaman kehilangan saat-saat berharga seperti bersama keluarga pada Aidilfitri untuk memahami betapa seriusnya penyakit ini, kerana ketika itu, kita sudah terlewat untuk melindungi detik yang paling bermakna dalam hidup kita.”
%20(Custom).jpeg)
%20(Custom).jpeg)
Comments
Post a Comment