TOMICA FACTORY PERTAMA DI ASIA TENGGARA DILANCARKAN DI TOMICA BRAND STORE KUALA LUMPUR
Jenama kereta mini diecast ikonik TOMICA secara rasminya melancarkan pembukaan TOMICA FACTORY kekal yang pertama di Asia Tenggara di TOMICA BRAND STORE, Kuala Lumpur.
Terletak di Toy”R”Us Suria KLCC, pelancaran ini membuka lembaran yang cukup bermakna bagi para pengumpul dan peminat TOMICA di seluruh Asia Tenggara. Ia menyusuli kejayaan pembukaan TOMICA BRAND STORE yang pertama di Asia Tenggara di Suria KLCC pada Disember 2025 lalu. Pelancaran TOMICA FACTORY menandakan bermulanya fasa baharu dalam transformasi konsep peruncitan berasaskan pengalaman jenama ini, yang turut memperkukuhkan tarikannya sebagai destinasi interaktif yang unik untuk keluarga, pelancong dan pengumpul.
Tidak seperti konsep peruncitan tradisional, TOMICA FACTORY menawarkan pengalaman interaktif yang unik dan menyeronokkan, yang membolehkan pengunjung menghasilkan dan memperibadikan kereta mini diecast TOMICA mereka di situ.
Pelanggan boleh memilih komponen kereta seperti casis, badan, cermin hadapan dan tempat duduk, sebelum mengambil bahagian dalam proses pemasangan. Melalui pengalaman kilang yang direka khas ini, pelanggan berpeluang melihat kereta TOMICA peribadi mereka dihasilkan dari awal hingga siap.
Tarikan ini menampilkan Mesin Pemasangan khas sebagai elemen interaktif utama, di samping Meja Kerja yang dikendalikan oleh kakitangan untuk membantu pengunjung sepanjang proses penyesuaian komponen kereta mengikut citarasa mereka. Lebih menarik, ruang ini turut dilengkapi Zon Uji Pandu di mana kereta mini yang siap dipasang boleh diuji serta-merta, sekali gus menawarkan pengalaman yang cukup mengujakan pengunjung dari semua peringkat umur.
Dinding yang direka khas, dengan paparan hiasan 3D dan instalasi bertemakan kilang menambah keseronokan, seolah-olah berada di sebuah barisan pengeluaran automatif mini di dalam TOMICA BRAND STORE.
Semasa acara pelancaran, tiga kanak-kanak - Tristan Kai Ong, 6 tahun; Tengku Melur Alynna Ameera Binti Tengku Mohd Hafiz Izzat, 6 tahun; dan Sakthyadave Gunaseelan, 5 tahun - telah dijemput untuk merasai sendiri pengalaman di TOMICA FACTORY. Kanak-kanak yang terlibat itu berpeluang merasai sendiri proses interaktif tersebut dengan memilih komponen yang disukai sebelum kakitangan TOMICA yang terlatih membantu memasang kereta TOMICA ciptaan mereka di kilang berkenaan. Penyertaan mereka itu menyerlahkan lagi unsur kreativiti, keseronokan dan pemperibadian yang menjadikan pengalaman TOMICA FACTORY begitu unik.
“Kami sangat teruja untuk memperkenalkan TOMICA FACTORY kekal yang pertama di luar Jepun di sini, di Malaysia,” kata Shunsuke Takeuchi, Pegawai Eksekutif Kanan dan Ketua Perniagaan Jenama, TOMY Company Ltd.
“Malaysia mempunyai salah satu komuniti peminat TOMICA yang paling bersemangat di rantau ini dan kami mahu membawakan pengalaman interaktif yang unik ini supaya lebih dekat dengan peminat yang sentiasa menyokong jenama ini. TOMICA FACTORY membolehkan kanak-kanak dan pengumpul merasai pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila kreativiti, ketelitian pembuatan dan keseronokan bermain digandingkan bersama.”
Bertempat di dalam TOMICA BRAND STORE di Toys”R”Us Suria KLCC, ‘kilang mini ini’ dijangka akan menjadi daya tarikan utama yang memikat pengunjung tempatan dan antarabangsa.
“Kami berasa bangga kerana Malaysia dipilih sebagai lokasi antarabangsa pertama untuk TOMICA FACTORY kekal. Ia menjadi ‘dua yang pertama’ untuk Malaysia. TOMICA BRAND STORE Kuala Lumpur adalah yang pertama di Asia Tenggara dan kini kita juga menjadi lokasi pertama untuk TOMICA FACTORY di luar Jepun,” kata Pengarah Eksekutif Litt Tak, Tan Ee Chian.
“Ini menggambarkan kekuatan komuniti pengumpul di Malaysia dan peningkatan permintaan untuk konsep peruncitan berasaskan pengalaman. Kami percaya TOMICA FACTORY akan menjadi tarikan yang mesti dikunjungi oleh peminat TOMICA di seluruh Asia Tenggara,” tambahnya.
Pelancaran berkenaan juga menyerlahkan kerjasama erat yang telah lama terjalin antara TOMICA dan Litt Tak, pengedar rasmi produk TOMICA di Malaysia, yang memainkan peranan penting membantu memperluaskan kehadiran jenama ini dalam kalangan pengumpul dan peminat tempatan sejak 41 tahun lalu.
Leo Tsoi, Ketua Pegawai Eksekutif Toys”R”Us (Asia) Limited yang turut hadir pada majlis pelancaran bersejarah itu berkata, “Kami berbesar hati dapat berganding tangan dengan TOMICA dan Litt Tak untuk membawa konsep antarabangsa yang pertama seumpamanya di dunia ke kedai utama kami. Pengguna hari ini bukan sekadar mahu membeli-belah, mereka inginkan pengalaman yang bermakna. TOMICA FACTORY merealisasikan komitmen Live Toyful kami melalui pengalaman membeli-belah yang mengasyikkan dan interaktif untuk keluarga dan peminat dari semua peringkat usia.”
TOMICA BRAND STORE ini merupakan kedai rasmi di mana pengunjung boleh menghayati dan menyelami dunia TOMICA. Bahagian luar kedai direka menyerupai kotak TOMICA bersaiz besar. Di dalam, perhatian akan tertumpu kepada Wheel Table, iaitu pameran tayar bertingkat yang unik. Kedai ini juga menampilkan TOMICA WALL, yang membariskan lebih 2,000 kereta mini diecast TOMICA; TOMICA KIDULTS AREA untuk pengunjung dewasa berjiwa muda yang sukakan keseronokan; Recommended Corner untuk keluaran terbaharu; dan TOMICA HISTORY AREA yang memaparkan warisan jenama ini.
Untuk keterangan lanjut tentangTOMICA dan TOMICA FACTORY, sila kunjungi Laman Web Rasmi: takaratomyasia.com/ dan Instagram Rasmi: www.instagram.com/tomicaofficial_asia/
.jpg)
.jpg)
.jpg)
Comments
Post a Comment