KONSERT FOR YOU: VOKAL PADU, AURA DIVA! NOURUL TAKLUKI PENTAS ZEPP KL


Malam 30 Mei 2026 menjadi saksi kepada sebuah naskhah apresiasi seni yang cukup indah di Zepp Kuala Lumpur. Konsert "For You Nourul" anjuran ND Entertainment bukan sekadar sebuah persembahan biasa, malah ia merupakan refleksi kepada kembara seni seorang diva pop prolifik negara, Nourul sepanjang perjalanan 30 tahun di dalam dunia seni suara.


Di hadapan hampir 1,000 penonton yang membanjiri ruang ikonik tersebut, Nourul membuktikan mampatnya vokal dan pesona pentas beliau yang tidak pernah pudar sejak era 90-an. Dewan konsert Zepp KL turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan seperjuangan bertaraf legenda seperti Ning Baizura, Fauziah Latiff, Salamiah Hassan, Ziana Zain dan pelawak veteran Dee Jangan Ketawa yang hadir memberikan sokongan padu.


Konsert tirai dibuka kira-kira jam 8.50 malam dengan montaj video eksklusif diiringi persembahan koir adunan medley paduan suara selama empat minit mendendangkan cebisan hits seperti Tika Cinta, Keliru, Cinta Azali, Kerana Terluka, dan Aku Cinta Aku Rindu, sebelum Nourul memukau pentas dengan lagu pembuka, Impianku.


Memulakan perjalanan malam itu, Nourul membawa penonton menyusuri garis masa awal penglibatannya dalam industri muzik melalui Segmen Inspirasi. Vokal beliau begitu ampuh ketika mendendangkan lagu-lagu berhantu miliknya sendiri seperti Tika Cinta dan Cinta Azali.

Beliau kemudiannya memberi penghormatan kepada runut-runut ikonik tanah air yang pernah membentuk kembara seninya, termasuklah Janji Manismu nyanyian asal Aishah, Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu daripada Ramlah Ram, Madah Berhelah milik Ziana Zain dan tidak ketinggalan lagu Sembilu milik Ratu Rock Ella. Segmen ini nyata mendapat sorakan gemuruh daripada peminat, apatah lagi dengan kehadiran Ziana Zain sendiri di barisan penonton.

Nourul turut mempamerkan versatiliti bahasanya menerusi segmen antarabangsa dengan mendendangkan lagu Perancis berjudul Aujourd'hui serta lagu hit Celine Dion, That’s The Way It Is. 


Suasana malam semakin rancak apabila penyanyi "jemputan" anak lelakinya sendiri, Zachary Depp naik ke pentas membawakan lagu etnik kreatif Joget Kenangan Manis, sementara memberi ruang kepada ibunya untuk bersalin busana.


Sorakan bergema di dewan apabila Nourul kembali ke pentas dengan pakaian serba merah mendendangkan lagu Duniaku.


Walaupun Nourul dan Ajai sudah lama berpisah dan membawa haluan masing-masing, rangkaian lagu hits gandingan mereka tetap menjadi taruhan utama yang wajib ada dalam konsert berkenaan. Demi membawa peminat mengimbau zaman kegemaran tersebut, Nourul menampilkan pasangan influencers Suzy & Wan yang dipilih menerusi peraduan media sosial. Kelunakan suara mereka mendendangkan lagu ikonik Seiring & Sejalan serta Sehati & Sejiwa benar-benar menghidupkan suasana nostalgia di dalam dewan.


Pentas kemudiannya digegarkan dengan tenaga luar biasa daripada Mimi Fly yang menyampaikan lagu hit Temberang. Nourul kemudiannya kembali ke pentas untuk bergabung suara dengan Mimi Fly dalam segmen duet yang cukup dinamik menerusi lagu Persamaan dan lagu yang pernah menjulang trofi Juara Lagu, Keliru.


Lagu malar segar Keliru tampil dengan identiti baharu menerusi gandingan mantap antara Nourul dan Mimifly. Kehadiran Mimifly yang mempertaruhkan gaya vokal unik serta elemen rap yang bersahaja ternyata melonjakkan tenaga lagu tersebut ke satu tahap yang berbeza.


Suasana konsert bertambah hangat apabila Nourul turun ke ruang penonton untuk mendendangkan lagu Selagi Ada Cinta secara impromptu bersama penyanyi asalnya, Ning Baizura. Menggamit memori, lagu hits ciptaan Ajai dengan lirik nukilan Nourul ini merupakan pemenang trofi Lagu Terbaik AIM 11. Kolaborasi mengejut dua sahabat baik ini nyata memukau ruang dewan, sekaligus mencetuskan sorakan luar biasa dan tepukan gemuruh daripada peminat.


Nourul meneruskan rentak emosi menerusi segmen Medley Solo yang menggabungkan lagu Ikhlasnya Cintaku, Tangis Syukur, dan Tertutup Hati. Beliau kemudiannya terus membuai perasaan penonton dalam segmen Solo menerusi untaian senandung Rinduku Padamu serta Aku Cinta Aku Rindu.

Kemuncak emosi konsert malam itu tumpah sepenuhnya apabila Nourul memperkenalkan naskhah rakaman semula terbaharunya berjudul Andai Ku Kenali Ku. Apa yang menarik, malam konsert berkenaan turut dijadikan set penggambaran video muzik rasmi bagi lagu tersebut bersama-sama penonton yang hadir. Lagu Andai Ku Kenali Ku sebenarnya merupakan sebuah karya yang telah dihasilkan 15 tahun lalu oleh komposer berkaliber, Yasin Sulaiman, bersama lirik nukilan penuh puitis oleh bekas isterinya, Eena Houzyama. Selepas belasan tahun tersimpan rapi, ia akhirnya diberikan nafas baharu yang lebih segar dengan sentuhan Eddie Slam selaku penyusun muzik, khusus buat malam konsert ini.


Tirai konsert akhirnya berlabuh secara dramatik dengan letusan konfeti sejurus selepas Nourul mendendangkan lagu malar segar ikoniknya, Kerana Terluka.

Kehebatan vokal Nourul sepanjang konsert disokong kuat oleh susunan muzik mantap daripada Saka Band di bawah pimpinan Pengarah Muzik legenda, Eddie Slam. Barisan pemuzik handalan ini digerakkan oleh Reezal selaku gitaris utama, Wan (gitar kedua), Kabung (bass), Yuri (drum), Olly (perkusi), serta Yuaz dan Eja selaku penyanyi latar. Tidak ketinggalan, tiupan seruling yang menembus kalbu daripada Mohar turut memberikan impak magis kepada keseluruhan persembahan pada malam tersebut.


Selain sajian muzik, konsert ini turut diserikan dengan kemeriahan pertandingan pakaian terbaik menerusi kolaborasi Contest Best Glam Look - For You Nourul bersama jenama kosmetik terkenal, Alha Alfa. Peminat yang hadir dengan busana paling glamor dan memuat naik gambar di media sosial dengan tag Dato' Alha, Nourul, dan ND Entertainment telah dipilih sebagai pemenang bertuah. Hadiah berupa wang tunai dan rangkaian produk kosmetik Alha Alfa menanti para pemenang bagi tempat pertama, kedua, dan ketiga.

Sepanjang konsert, penampilan Nourul sentiasa mencuri tumpuan apabila memperagakan tiga persalinan busana eksklusif hasil tajaan dan rekaan pereka fesyen tersohor, Wan & Mary. Setiap rekaan bukan sahaja menyerlahkan keanggunan beliau di atas pentas, malah turut disuai padan dengan sempurna bagi menterjemahkan mood setiap segmen persembahan, bermula daripada segmen solo yang penuh emosi sehinggalah ke tirai kemuncak konsert.


Secara keseluruhannya, konsert For You Nourul bukan sekadar sebuah persembahan pentas, ia adalah bukti kematangan, kepayahan dan cinta mendalam Nourul terhadap dunia seni suara. Dengan sokongan padu peminat, rakan artis, pemuzik handalan Saka Band, serta penganjuran kemas daripada ND Entertainment, konsert ini berjaya meletakkan satu tanda aras yang tinggi buat portfolio seni Nourul.

Comments

Popular posts from this blog

REVIEW: SAMBAL SIGNATURE CHEF WAN YANG MENGGELETEK LIDAH

FORUM AI & PERUNDANGAN 2026 MENEROKA MASA DEPAN BIDANG PERUNDANGAN

DRAMA BAHARU AKASIA TV3: “LUKA DI HUJUNG SETIA” GANDINGKAN DATO’ ADI PUTRA & ZARA ZYA

SWS KIDS, JENAMA NUTRISI KANAK-KANAK BAHARU LANCAR PATI AYAM RENDAH SODIUM PERTAMA DI MALAYSIA UNTUK KANAK-KANAK BERUSIA 6 BULAN DAN KE ATAS