KARYA AGUNG JEPUN RANGKUL 10 ANUGERAH, "KOKUHO" BAKAL MENGGEGARKAN PAWAGAM MALAYSIA MULAI 23 JULAI INI!
Susulan kejayaan fenomenalnya di Jepun, filem Kokuho yang mendapat pujian hebat daripada pengkritik akhirnya bakal menemui penonton di pawagam Malaysia pada 23 Julai 2026. Diarah oleh pengarah filem terkenal, Lee Sang-il, dan diadaptasi daripada novel terlaris dengan nama yang sama karya Shuichi Yoshida, Kokuho menampilkan Ryo Yoshizawa dan Ryusei Yokohama sebagai peneraju utama. Filem ini turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat lain termasuk Mitsuki Takahata, Shinobu Terajima, Nana Mori, Takahiro Miura, Ai Mikami, Soya Kurokawa, Keitatsu Koshiyama, Masatoshi Nagase, Kyusaku Shimada, Emma Miyazawa, Ganjiro Nakamura, Min Tanaka dan Ken Watanabe.
Lebih daripada sekadar kisah tentang persembahan pentas, Kokuho adalah sebuah potret yang penuh emosi tentang cita-cita, identiti, dan harga yang perlu dibayar demi mengabdikan hidup kepada seni. Diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Budaya Tak Ketara Kemanusiaan, Kabuki diraikan kerana tradisinya yang kaya, kostum yang gah serta persembahan yang penuh gaya. Salah satu ciri paling ikoniknya ialah "onnagata", iaitu seni berusia berabad-abad lamanya yang mana pelakon lelaki melakonkan watak wanita dengan kejituan yang luar biasa, keanggunan serta emosi yang mendalam.
Sejak ditayangkan, Kokuho telah muncul sebagai salah satu kejayaan sinematik terbesar Jepun pada tahun ini. Filem ini mendominasi Anugerah Akademi Filem Jepun ke-49 dengan merangkul sepuluh anugerah, termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, dan Pelakon Lelaki Terbaik. Seni tata rias dan rambut luar biasa yang diilhamkan oleh Kabuki turut mendapat pencalonan untuk Solekan dan Dandanan Rambut Terbaik di Anugerah Akademi (Oscars) ke-98, sekaligus membawa keindahan budaya tradisional Jepun ke pentas global.
Menjelang tayangannya di Malaysia, keterujaan terhadap filem Kokuho terus hangat diperkatakan di media sosial. Para peminat filem meluahkan keterujaan mereka di pelbagai platform dengan komen-komen seperti, "Saya dah lama tunggu filem ni!", "Akhirnya, filem Jepun yang berkualiti tinggi datang ke Malaysia," dan "Macam tak percaya filem ni ditayangkan di Malaysia!" Sambutan yang luar biasa ini mencerminkan semangat yang tinggi dalam kalangan peminat terhadap karya agung sinematik yang sangat dinanti-nantikan ini.
Diedarkan oleh Primeworks Studios, Kokuho
bakal ditayangkan di pawagam terpilih di seluruh Malaysia mulai 23 Julai
2026. Para peminat juga berpeluang untuk menonton filem ini lebih awal
sebelum tayangan rasmi melalui peraduan di akaun media sosial rasmi Primeworks
Studios. Untuk perkembangan terkini, ikuti Primeworks Studios di
Facebook (@Primeworks Studios - Film), Instagram (primeworksstudios.film)
and TikTok (@Primeworks Studios Film).
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
Comments
Post a Comment