SATU RASA, DUA CERITA: MALAM LUAHAN JIWA BERSAMA NADHIF BASALAMAH & FABIO ASHER DI KONSERT RUMAH HATI
Mega Star Arena Kuala Lumpur menjadi saksi satu malam yang penuh emosi menerusi pementasan konsert Rumah Hati. Membawa gagasan "Satu Rasa, Dua Cerita", pementasan ini menghimpunkan dua bakat besar serantau—Nadhif Basalamah dan Fabio Asher—dalam satu persembahan yang cukup personal, seolah-olah mengajak penonton berkongsi rasa dan meluahkan apa yang terbuku di jiwa.
Persembahan bermula padu menerusi gandingan pembuka Overture yang menampilkan kedua-dua penyanyi di atas pentas, sebelum Nadhif Basalamah mengambil alih ruang sebagai pembuka tirai malam tersebut.
Nadhif membuka ruang dengan gaya persembahan yang santai tetapi dekat dengan jiwa. Diringi petikan gitar dan susunan muzik live band yang kemas, beliau membawakan rangkuman lagu daripada pelbagai fasa penceritaannya seperti After School Sad Session, Semoga Kau Bisa, Maafkanku, Sesuatu, Wonder in Time, Something More dan Penuh. Suasana bersahaja yang dibawakan Nadhif meletakkan penonton dalam mood yang hangat dan intim sejak dari trek pertama lagi.
Suasana kemudiannya bertukar dinamik apabila Fabio Asher mengambil alih pentas. Terkenal dengan vokal mantap serta lirik yang menyayat hati, Fabio mempersembahkan rangkaian lagu hits seperti Mahir x Bisakah, Tanpa Balasmu, dan persembahan akustik menerusi Hujan Hari Ini. Beliau turut menghadiahkan Medley Galau khas lewat nyanyian Hati Lain Di Hatimu, Setia Menunggu, dan Boleh Kau Adu. Penyampaian Fabio menerusi lagu popular Bertahan Terluka nyata memberikan impak emosi yang mendalam, membuktikan keupayaan vokalnya yang padu dalam mengawal ruang arena yang besar itu.
Kemuncak pertengahan konsert menyaksikan momen yang paling dinantikan apabila kedua-dua penyanyi kembali digabungkan di atas pentas untuk persembahan duet yang mengundang sesi menyanyi beramai-ramai menerusi lagu Semusim dan Aku Berjanji. Gandingan vokal Nadhif yang lembut bersatu serasi dengan lontaran vokal Fabio yang garang, sekali gus memperkukuh tema utama konsert bahawa biarpun setiap individu merasai cinta dan kekecewaan dengan cara berbeza, muzik sentiasa menjadi tempat untuk semua perasaan itu dileraikan.
Nadhif seterusnya menyambung segmen solonya dengan rangkaian lagu popular seperti Jatuh Cinta Lagi, Jika Kau Lelah Denganku, Seperti Semula dan Bergema Sampai Selamanya. Suasana terus gamat apabila lagu Penjaga Hati mula dimainkan, menyaksikan seluruh arena bergema menyanyi bersama-sama. Fabio kemudiannya melengkapkan malam tersebut dengan set persembahan emosional yang memukau menerusi Pelangi, Nikmati Sakitnya, Berharap Kau Kembali, Tanpa Rasa Bersalah dan lagu berhantu beliau, Rumah Singgah.
Sebagai tirai penutup, Nadhif dan Fabio sekali lagi bergabung menyanyikan gandingan lagu Kota Ini Tak Sama Tanpamu dan Akhir Yang Manis. Tata cahaya yang ringkas serta penataan bunyi yang mantap membolehkan fokus penonton tertumpu sepenuhnya kepada mutu nyanyian dan penceritaan setiap lagu.
Secara keseluruhannya, Rumah Hati membuktikan bahawa pementasan yang hebat tidak memerlukan aksi pentas yang keterlaluan. Cukuplah sekadar kejujuran dua penyanyi yang faham bagaimana untuk menyentuh perasaan pendengar mereka. Bagi peminat di Kuala Lumpur, ia merupakan satu malam persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, malah memberi kesan healing di hati.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
%20(Custom).jpg)
.jpg)
.jpg)
Comments
Post a Comment