SIP CULT FEST ’26: 70 JENAMA BAKAL MERIAHKAN PESTA MINUMAN DAN GAYA HIDUP DI AMAN CENTRAL


Kopi kini bukan lagi sekadar rutin pembuka hari, malah telah berevolusi menjadi sebahagian daripada gaya hidup, minat mendalam, dan medium komuniti yang menyatukan masyarakat. Menyedari penghargaan yang kian meningkat terhadap budaya kafe di Malaysia, Aman Central dengan bangganya mempersembahkan penganjuran sulung Sip Cult Fest '26—sebuah festival empat hari yang meraikan keunikan kopi, teh, matcha, pencuci mulut serta pengalaman gaya hidup, bermula dari 23 hingga 26 Julai 2026.

Dibawakan khas sebagai salah satu festival minuman gaya hidup terbesar di Utara Malaysia, Sip Cult Fest '26 bakal mengubah suasana di Aman Central menjadi sebuah destinasi tumpuan yang meriah. Di sini, para pengunjung berpeluang menerokai kepelbagaian cita rasa baharu, beramah mesra dengan barisan pengusaha yang kreatif, dan merasai sendiri kehangatan atmosfera festival yang unik. 

Bersandarkan kejayaan Coffee Fest anjuran Aman Central pada tahun 2023 yang berjaya menarik sekitar 88,000 pengunjung dalam masa tiga hari, festival tahun ini tampil dengan skala dan pengisian yang jauh lebih besar serta hebat.

Buat julung kalinya, ruang festival kali ini diperluas melepasi kawasan Atrium Utara pusat beli-belah sehingga merangkumi Zon Festival Terbuka bagi menampung penyertaan sehingga 70 jenama tempatan dari seluruh Malaysia. Pengunjung boleh menjangkakan gabungan menarik daripada barisan pemanggang kopi premium (specialty coffee roasters), pakar teater, jenama matcha eksklusif, pencuci mulut artisan, serta reruai gaya hidup terpilih yang pastinya menjanjikan kepuasan buat setiap lapisan pengunjung.

Sepanjang empat hari keraian berlangsung, Sip Cult Fest '26 menawarkan pengisian program yang disusun rapi, jauh melangkaui aktiviti jual beli biasa. Para pengunjung berpeluang menyertai pelbagai bengkel interaktif termasuk sesi penerokaan kopi, teknik membancuh kopi penapis (filter coffee), penyediaan matcha, sesi penilaian aroma dan rasa kopi (coffee cupping), apresiasi seni teh, serta gandingan rasa kopi (coffee pairing) yang dikendalikan oleh barisan pakar kopi dan teh terkemuka tanah air.

Festival ini turut memuatkan sesi perkongsian sarat informasi menerusi slot Featured Brand Showcase, siri Meet the Founder, dan Coffee Community Talk. Menerusi slot ini, para pemilik kafe, usahawan, dan ahli profesional industri akan berkongsi kisah perjalanan perniagaan, falsafah bancuhan, serta pandangan mereka mengenai evolusi budaya kafe di Malaysia. Sesi-sesi tersebut bertujuan untuk menyuntik inspirasi kepada bakal usahawan di samping mendekatkan pengunjung dengan naratif di sebalik jenama-jenama terkemuka negara.


Aspek pertandingan kekal menjadi antara tarikan utama festival menerusi Sip Cult Fest Latte Art Throwdown dan Matcha Creation Challenge. Acara ini bakal menghimpunkan barisan barista berbakat serta peminat matcha untuk merebut gelaran juara, hadiah wang tunai, dan ganjaran eksklusif festival. Pertandingan ini dijangka menarik penyertaan peserta mahir dari seluruh rantau ini, sekali gus menjanjikan tontonan yang sengit dan mendebarkan secara langsung buat para pengunjung.

Apabila tirai malam melabuh, kemeriahan festival diteruskan lagi dengan Sip Cult Sessions yang menampilkan persembahan secara langsung oleh CA-AH (24 Julai), Amir Jahari (25 Julai) yang merupakan juara Anugerah Juara Lagu ke-38 menerusi lagu Hasrat, serta kumpulan indie popular, Budak Nakal Hujung Simpang (26 Julai). Kehadiran mereka pastinya akan menghidupkan lagi nuansa festival yang melengkapi pengalaman budaya kopi ini.


Bagi menambah lagi keriangan, pengunjung boleh menyertai Sip Cult Passport Journey, sebuah aktiviti eksklusif festival yang direka khas bagi menggalakkan pengunjung menerokai setiap sudut acara. Pasport percuma boleh didapati di Kaunter Pertanyaan bermula 23 Julai, di mana pengunjung juga akan menerima lencana rasmi festival yang pertama. Dengan mengunjungi jenama-jenama yang mengambil bahagian, membuat pembelian, dan mengumpul cap, para peserta berpeluang melayakkan diri ke sesi cabutan bertuah eksklusif di samping menerokai pelbagai keunikan sepanjang festival.

Para pengunjung juga berpeluang untuk membawa pulang cenderamata kenang-kenangan menerusi pelancaran Koleksi Rasmi Sip Cult Fest '26. Koleksi terhad yang hanya menyediakan 50 set cenderamata eksklusif ini akan mula dijual pada jam 10.00 pagi, 23 Julai dengan harga RM49.90 setiap set. Setiap pembelian akan disertakan dengan sehelai kemeja-T edisi terhad Sip Cult Fest bernilai RM59.90 secara percuma, selagi stok masih ada.

Berbekalkan pengalaman kejayaan menganjurkan acara-acara berskala besar seperti Kedah Fashion Week, ditambah pula dengan penganjuran SWITCH WORLD yang berlangsung dalam tempoh yang sama, Aman Central optimis bahawa Sip Cult Fest '26 mampu menarik antara 110,000 hingga 138,000 pengunjung sepanjang empat hari ia berlangsung. Kehadiran ini sekali gus memperkukuh kedudukan Alor Setar sebagai destinasi gaya hidup baharu yang semakin berkembang di Utara Malaysia.

"Sip Cult Fest diilhamkan daripada satu idea yang cukup ringkas—iaitu untuk menyatukan masyarakat menerusi hidangan kopi, teh, matcha yang berkualiti serta pengalaman yang bermakna. Lebih daripada sekadar sebuah festival, kami ingin menyediakan sebuah platform untuk usahawan tempatan yang bersemangat tinggi, jenama-jenama terkenal, serta komuniti kami untuk saling berhubung, belajar antara satu sama lain, dan meraikan budaya yang terus mencorak landskap kafe di Malaysia. Kami berharap setiap pengunjung dapat menemui sesuatu yang baharu, mencipta memori indah, dan pulang dengan keterujaan untuk menantikan penganjuran Sip Cult Fest yang seterusnya," kata Ken Chin, Penolong Pengurus Besar, Komunikasi Pemasaran Aman Central.


Sama ada anda seorang pencinta kopi tegar, peminat setia teh atau matcha, bakal pemilik kafe, ataupun sekadar ingin meluangkan hujung minggu yang menyeronokkan bersama keluarga dan rakan-rakan, Sip Cult Fest '26 menjanjikan sebuah keraian empat hari yang tidak akan dilupakan, di mana setiap hirupan membawa seribu satu cerita.

Butiran Sip Cult Fest '26
  • Tarikh: 23 – 26 Julai 2026
  • Tempat: Atrium Utara & Zon Festival Terbuka, Aman Central
  • Kemasukan: Percuma
Untuk maklumat terkini, pendaftaran bengkel, dan pengumuman rasmi festival, ikuti laman media sosial rasmi Aman Central.

Comments

Popular posts from this blog

MENANG BESAR DENGAN PERADUAN #PERFECTTOGETHER2020

DRAMA BAHARU AKASIA TV3: “LUKA DI HUJUNG SETIA” GANDINGKAN DATO’ ADI PUTRA & ZARA ZYA