ALYAH HADIAHKAN "JUTAAN PURNAMA" UNTUK PEMINAT



Dugaan, ketaatan, ketabahan dan harapan seorang wanita. Itulah tema yang terkandung dalam single terbaru yang berjudul “Jutaan Purnama” oleh penyanyi terkenal Datin Alyah. Datin Alyah Abu Hassan atau mesra disapa Alyah, sekali lagi mempertaruhkan lagu berentak balada dalam “Jutaan Purnama”.

Lagu ini mula mendapat perhatian peminat apabila ianya diangkat sebagai runut bunyi bagi drama bersiri Red Velvet, lakonan Neelofa dan Alif Satar pada penghujung tahun lalu. Balada taruhan Alyah ini merupakan karya ciptaan bersama Hael Husaini, Omar K dan Ezra Kong.

Single ini adalah terbitan bersama oleh syarikat rakaman milik Alyah sendiri iaitu Like Music Entertainment dan Warner Music Malaysia. Single “Jutaan Purnama” merupakan sebuah lagu yang sarat dengan emosi; antara rasa cinta, rasa rindu dan rasa takut akan kehilangan orang yang tersayang.



“Saya suka dengan permainan emosi dalam lagu ini. Mesej dalam liriknya pun sangat jelas. Seumpama luahan rasa seorang wanita yg diuji dengan sangat hebat. Setianya dia menanti di sisi insan yang disayangi dalam menjalani liku-liku kehidupan”, jelas Alyah.

“Ini adalah hadiah saya untuk peminat. Alhamdulillah sejak versi penuh lagu ini dilancarkan, peminat rata-rata memberikan reaksi positif. Semoga ia memberi permulaan yang baik untuk kerjaya seni saya pada tahun ini,” kata Alyah yang berharap lagu ini dapat diterima baik oleh pendengar.

Video lirik “Jutaan Purnama” yang dimuatnaik di saluran Youtube Like Music Entertainment sejak 10 Januari 2018 sudah pun mencecah lebih 200,000 tontonan. Video lirik yang diarahkan oleh Alyah sendiri telah menjalani penggambaran sepenuhnya di New Zealand pada Disember tahun lalu.

Bagi memacu momentum single ini lagi, Alyah bakal muncul dengan video muzik rasmi “Jutaan Purnama” yang selesai penggambarannya pada April lalu.
 

Bagi video muzik rasmi ini pula telah menjalani penggambaran di salah sebuah pusat peranginan tempatan yang popular iaitu di Bala Resort Tanah Rata Cameron Higlands, Pahang Darul Makmur.

Dalam video muzik rasmi ini Alyah sekali lagi menampilkan pelakon Remy Ishak sebagai gandingannya. Video muzik rasmi “Jutaan Purnama” telah dilancarkan pada 26 Julai 2018 di Keriang Hill dan boleh ditontoni di YouTube Warner Music Malaysia.



Single “Jutaan Purnama” boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes semenjak 6 April 2018.

Comments

Popular Posts