JULIA DUCLOS MELANGKAH KE HADAPAN DENGAN ‘FURTHER’



Penyanyi-penulis lagu Julia Duclos secara rasminya menempa nama dalam senario muzik Malaysia dengan single sulung beliau berjudul ‘Further’.

Bernaung di bawah label Sony Music Malaysia, gadis KL berusia 23 tahun yang cukup dikenali dalam arena ‘open mic’ tempatan ini bakal melangkah setapak lagi ke hadapan dengan pelancaran lagu balada bertempo sederhana itu.



Walaupun Julia mendefinisikan suaranya sebagai "lembut, gemalai dan tulus", beliau enggan mengklasifikasikan 'Further' terhad dalam satu genre tertentu sahaja. Sebaliknya, beliau ingin lagu dan muziknya dapat dijiwai dan dinikmati oleh semua penggemar genre muzik.

Mendengarkan ‘Further’ akan jelas menampilkan muzik Julia yang merentas genre; menggabungkan getaran R&B dengan pengaruh pop dan jazz. Ditulis berdasarkan pengalaman peribadi Julia sendiri, dan hasrat beliau “untuk hidup dalam kenyataan yang jujur, cinta tanpa keraguan, serta mencipta tanpa batasan”, ‘Further’ adalah sebuah lagu mengenai dua insan yang saling mencintai tetapi semakin terpisah kerana jarak. Namun, kerana jarak itu juga, mereka belajar mengenali diri dan memahami antara satu sama lain. Sementelah lagu ini ditulis dan diceritakan dari sudut pandangan seorang wanita, Julia berharap agar mereka dapat melihat bahawa berakhirnya satu perhubungan itu bukanlah bererti pengakhiran untuk segalanya.



 “‘Further’ sesungguhnya adalah mengenai kesedaran bahawa kita tidak perlu bergantung kepada orang lain untuk merasa lengkap. Kadang-kadang jarak adalah sesuatu yang diperlukan dalam mendekati siapa diri kita sebenar,” jelas Julia tentang lagu patah hati tersebut. “Korus untuk lagu ini diilhamkan daripada keadaan emosional stagnan saya alami dengan seseorang yang sangat bererti dalam hidup saya – dan liriknya pula lahir ketika kami merasa seperti membuang waktu satu sama lain, justeru menambah lagi kontradiksi dalam perhubungan tersebut.”



“Honest, Love, Creation (Jujur, Cinta, Cipta) adalah sesuatu yang saya rasakan dengan mendalam serta selaras dengan apa yang kami perjuangkan dalam hidup: yakni jujur tentang semua aspek kehidupan, untuk dicintai dan mencintai tanpa ragu dan keterbatasan, serta untuk menciptakan seni dan perhubungan yang bermakna dengan cara yang paling tulus. ‘Further’ diterbitkan oleh produser dan artis prolifik Singapura Charlie Lim, dan turut dirakam di Singapura.



“Bekerja dengan Charlie sangat menyenangkan kerana saya sememangnya memikirkan bagaimana hendak berkerjasama dengan beliau setelah mendengarkan muziknya beberapa bulan sebelum itu,”kata Julia. “Apabila saya diberikan peluang untuk bertemu dengan Charlie, saya dapat rasakan ini adalah sesuatu yang seharusnya terjadi.”


IKUTI JULIA DUCLOS DI MEDIA SOSIAL Instagram – www.instagram.com/juliaduclos

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

LAGU 'BEGHAOK RAYA' MEMERIAHKAN LAGI SUASANA HARI RAYA TAHUN INI