KFC & PIZZA HUT KINI DENGAN PENGHANTARAN FOODPANDA


QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), pengendali rangkaian restoran terbesar di rantau ini, dengan lebih daripada 1,080 restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia, hari ini mengumumkan kerjasama bersama foodpanda, penyedia perkhidmatan pesanan dan penghantaran makanan terkemuka di negara ini.

Kerjasama berkenaan adalah sejajar dengan strategi keutamaan pelanggan QSR Brands bagi mewujudkan akses perkhidmatan yang lebih baik supaya para pelanggannya dapat menikmati hidangan KFC dan Pizza Hut dengan lebih mudah disamping memacu pertumbuhan yang menguntungkan buat kedua-dua jenama serta foodpanda.

Buat masa ini, terdapat lebih daripada 320 restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan penghantaran menerusi landasan masing-masing.

Memorandum Perjanjian (MoA) itu telah dimeterai menerusi pertukaran dokumen di antara Merrill Pereyra, Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Restoran, QSR Brands dan Sayantan Das, Pengarah Urusan, foodpanda Malaysia, sambal disaksikan Yang Berhormat Dato' Kamaruzzaman Abu Kassim, Pengerusi QSR Brands, Dato' Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan QSR Brands, dan Jakob Angele, Ketua Pegawai Eksekutif, foodpanda Asia Pasifik.

Dato' Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata inisiatif kerjasama bersama foodpanda ini bakal memperlengkap perkhidmatan penghantaran KFC dan Pizza Hut sedia ada dan dijangka akan meningkatkan jumlah cawangan penghantaran KFC dan Pizza Hut di negara ini kepada kira-kira 480 menjelang akhir tahun 2018 dan seterusnya berkembang kepada kira-kira 730 menjelang akhir tahun 2019.

"Jalinan kerjasama dengan foodpanda merupakan sebuah langkah progresif bagi memperluas jaringan kami melalui usaha mempertingkat perkhidmatan penghantaran kedua-dua jenama restoran unggul QSR Brands, iaitu KFC dan Pizza Hut. Ini bakal mewujudkan aliran pendapatan baharu kerana ianya merangkumi khidmat di cawangan penghantaran sedia ada kami selain turut menyediakan khidmat berkenaan kepada cawangan restoran biasa kami. KFC dan Pizza Hut adalah jenama kegemaran rakyat Malaysia dan kami berusaha untuk memastikan para pelanggan sentiasa merasai pengalaman yang memuaskan apabila mereka memilih untuk menikmati hidangan kami, sama ada di restoran, bawa pulang mahupun penghantaran ke pintu rumah," ujar beliau.

Sementara itu, Dato' Kamaruzzaman menyatakan bahawa kerjasama strategik adalah merupakan amalan dan usaha yang sentiasa di terima baik di dalam Kumpulan Johor Corporation yang pelbagai.

"Ini bakal mengukuhkan lagi kedudukan kepimpinan QSR Brands. Kerjasama yang sedemikian mampu memberikan kelebihan kepada syarikat ini ke atas pesaingnya, membolehkan ia memperluas kedudukan menerusi perkongsian manfaat rangkaian rakan kerjasama."

QSR Brands bakal memainkan peranan menyeluruh bagi memastikan perkhidmatan penghantaran makanan halal oleh foodpanda akan disahkan patuh halal dari titik mula pengambilan pesanan hingga ke titik akhir penghantaran di pintu rumah, dalam jangka masa terdekat ini.

"Selain itu, kami berbesar hati untuk menyumbang kepada usaha patuh halal foodpanda dengan berkongsi kepakaran dan kaedah terbaik kami supaya menyediakan pelanggan lebih banyak pilihan makanan halal untuk penghantaran. QSR Brands adalah nama yang sangat dipercayai dari aspek jaminan halal sempurna yang diberikan kepada semua pelanggan kami," tambah Dato' Seri Mohamed Azahari.

Pelanggan boleh membuat pesanan penghantaran melalui saluran pelbagai KFC, Pizza Hut serta di platform foodpanda, memberikan fleksibiliti kepada mereka untuk menikmati hidangan lazat KFC dan Pizza Hut pada bila-bila masa, di mana saja dengan hanya beberapa klik.

"Perkhidmatan penghantaran makanan telah berkembang pesat di Malaysia sejak 6 tahun yang lalu dan foodpanda telah menyumbang kepada pertumbuhan berkenaan. Kami berbangga kerana dapat menawarkan dua jenama rangkaian restoran dan makanan terbesar di Malaysia iaitu KFC dan Pizza Hut, di samping lebih daripada 1,900 restoran sedia ada dan kami berharap dapat menyumbang kepada peningkatan khidmat penghantaran KFC dan Pizza Hut," kata Sayantan Das, Pengarah Urusan, foodpanda Malaysia.

"Komitmen foodpanda terhadap perkhidmatan penghantaran halal adalah landasan kepada kejayaan kami pada hari ini. Dengan QSR Brands sebagai rakan kongsi rasmi, kami bakal maju kehadapan bagi memenuhi kehendak dan keperluan makanan halal buat menghidangkan yang terbaik kepada 5 juta pengguna berdaftar kami menerusi khidmat penghantaran daripada 1,200 penunggang," tambah Das.

Perkhidmatan foodpanda untuk KFC dan Pizza Hut akan mula dilancarkan secara berperingkat mulai September 2018 di kawasan Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Perkhidmatan ini juga akan menawarkan penghantaran 24 jam daripada restoran KFC 24-jam terpilih.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING