KL RHYTHM NITEZ : KONSERT VOICES OF LADIES
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) akan mengadakan Konsert Voices Of Ladies pada 11 Ogos 2018 (Sabtu) bertempat di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam.
Bersesuaian dengan temanya iaitu Konsert Voices of Ladies, seramai 6 artis wanita yang paling unggul sekali dengan pelbagai genre, Pop, Irama Traditional, Rock, dan Balada akan mengadakan persembahan pada konsert tersebut. Konsert ini akan dihoskan oleh Maria Tunku Sabri dan Muaz Kool FM serta membariskan artis-artis wanita iaitu Ella, Nora, Aishah, Noraniza Idris, Elda Susanti dan Yuka Kharisma.
Lebih menarik lagi, persembahan semua artis ini akan diiringi oleh Orkestra Kuala Lumpur dan juga artis budaya DBKL.
Aishah: Wan Aishah Binti Wan Ariffin, Aishah bermla dengan mengikuti satu kumpulan di New Zealand, Fan Club. Berjaya menembusi pasaran antarabangsa sehingga berjaya memasuki carta Billboard Hot 100 pada tahun 1990 dengan lagu Don’t Make Me Fall Alone. Aishah meneruskan karier solo di Malaysia dari tahun 1990 lagi. Juara acara berprestij Gegar Vaganza baru baru ini, Aishah tampil dengan lagu terbaru beliau bertajuk Malar.
Ella: Nor Zila binti Aminuddin, aktif menyanyi dari tahun 1985 hingga sekarang. Bergenre Rock bermula dengan Ella and the Boys. Mempunyai lebih dari 13 buah album sepanjang kareer sebagai seorang penyanyi.
Noraniza Idris: Nor Aniza Binti Haji Idris, bergenre Irama Malaysia dan Etnik Kreatif. Berkarya sebagai penyanyi, pengubah lagu dan penulis lirik. Aktif sebagai penyanyi dari tahun 1985 lagi. Mempunyai lebih dari 15 album solo dan kompilasi dan duet. Noraniza Idris banyak memenangi pelbagai anugerah sepanjang karier sebagai penyanyi.
Nora: Wan Nora Afiza Binti Ariffin yang bergenre Balada, Etnik Kreatif, Pop dan juga R&B, aktif menyanyi dari tahun 1994 hingga sekarang. Baru saja mengeluarkan single terbaru yang berjudul Ada dalam Tiada.
Elda Susanti: Elda Susanti Bt. Abdul Majid anak kelahiran Kuala Lumpur, memulakan karier dari tahun 1998. Elda mewakili Malaysia di pertandingan berprestij, Dangdut Academy Asia 2 pada tahun 2016 hingga ke peringkat separuh akhir, Juara 2 Dangdut Star 2016 Astro Prima dan mempunyai 2 album Dangdut.
Yuka Kharisma: Baru berumur 30 tahun berasal dari Aceh, Indonesia. Berkahwin dengan saxofonist Malaysia, Jeffney Kamar dan merupakan seorang penyanyi, dan komposer. Bergenre Pop R&B Jazz Soul. Memulakan karier pada tahun 2008 dan merupakan Indonesian Idol dan memenangi artis wanita baru terbaik di Anugerah Planet Muzik ke-15. Baru sahaja menganjurkan konsert BCL, Anuar Zain & Yuka Kharisma Live In Concert pada 28 April lalu di Dewan Planari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Penganjuran konsert ini antara lain bertujuan untuk memberi hiburan santai secara percuma kepada warga kota, selain memberi ruang dan peluang kepada artis tempatan membuat persembahan.
Konsert ini diadakan secara PERCUMA dan semua wargakota dan orang ramai dijemput hadir dan dijangkakan seramai 2,000 orang akan memenuhi Panggung Anniversari bagi menyaksikan persembahan artis-artis tersebut.
Konsert percuma di bawah program KL Rhythm Nitez anjuran Jabatan Kebudayaan Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) ini bertujuan mengaktifkan kembali Panggung Anniversari sebagai pentas hiburan popular sekitar 1970-an hingga 1990-an.
Orang ramai bolehlah mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman media sosial Instagram klcatsevents dan berhubung dengan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) di talian 03-22721080 atau email: ykatceo@gmail.com
Comments
Post a Comment