SUPERHUMANZ HIBURKAN 250 KANAK-KANAK ASNAF



Seramai 250 kanak-kanak dari pelbagai rumah kebajikan terhibur melihat aksi dan persembahan yang mengujakan dari Superhumanz Live di Kuala Lumpur baru-baru ini. Superhumanz Live menampilkan beberapa ahli silap mata terkemuka di dunia yang pernah meraih pelbagai anugerah serta pernah muncul sebagai peserta separuh akhir di Britain’s Got Talent, America’s Got Talent dan pemegang Guinness World Record.




Gabungan mereka menjadikan persembahan yang padat dengan aksi silap mata yang mengagumkan di samping selingan aksi komedi yang menghiburkan. Sebanyak 4 persembahan telah diadakan di The Gardens Theatre and Dance Studio, Mid Valley City pada 27 Julai 2018 hingga 28 Julai 2018 dengan kesemua tiket habis dijual.

Persembahan ini diadakan bertujuan memberi satu pengalaman luar biasa kepada penonton melalui gabungan persembahan silap mata dengan aksi yang mempesonakan secara langsung di depan mata. Selain itu, ia juga bertindak mempromosikan silap mata sebagai alat kepada kanak-kanak untuk meningkatkan keyakinan dan kemahiran baru.



David Lai selaku penerbit dan penganjur menyatakan persembahan ini bertujuan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar impian mereka.

“Saya mengambil masa hampir 4 bulan untuk mengadakan persiapan persembahan dan membawa sebuah acara bertaraf antarabangsa melalui gabungan ahli silap mata terkemuka dunia supaya penonton tanah air dapat menikmatinya secara lebih dekat. Saya berharap dengan melaksanakan sesuatu yang kita minat secara bersemangat, tidak kira apa bidang sekalipun (silap mata, nyanyian atau jenaka), anda mampu menjadi yang terbaik di dunia sekiranya anda fokus untuk melakukannya”.

Sesi khas turut diadakan bersama lebih 250 kanak-kanak dari pelbagai rumah kebajikan seperti Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mary, Bodhi Homecare Centre, Padmasambhava Children Living Association Klang Selangor, House of Joy, Persatuan Kebajikan Damai Cempaka KL, Sweet Care Home, Makarios Home, PKYMS Welfare Home dan Rumah Charis.

Lebih istimewa persembahan turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa ahli silap mata dari Korea Selatan, Hu Yo Jin yang merupakan Johan Dunia pada 2012 Blackpool XXV World Championship.

Superhumanz Live menampilkan 4 ahli silap mata bertaraf dunia iaitu Aaron Crow (The Mentalist), Demian Aditya (The Illusionist), Jeffrey Tam (The Jester) dan Mark & Pinky (The Chameleons).

Ini merupakan antara gabungan terunggul ahli silap mata dunia yang pastinya menjanjikan sebuah persembahan hebat dan terkini kepada penonton secara langsung. Melihat kepada sambutan penonton, pasti menyemarakkan lagi semangat Superhumanz,



Selepas Kuala Lumpur, Superhumanz akan meneruskan penjelajahan ke Budapest, Kaherah dan paling hampir di Jakarta pada 11 Ogos 2018 di Nusa Indah Theater.

Dengan menjanjikan pelbagai aksi silap mata di luar minda, penonton pasti akan ternanti-nanti aksi seterusnya dari Superhumanz. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.superhumanz.online.

Comments

Popular posts from this blog

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!