ULASAN: EUROPE RAIDERS - LEBIH AKSI, LEBIH HEBAT



Walaupun Europe Raiders adalah filem ketiga dalam siri Raiders - Tokyo Raiders (2000) dan sekuel, Seoul Raiders (2005), anda tidak perlu menonton filem-filem sebelum ini untuk menikmati filem ini sepenuhnya.

Hanya satu elemen sahaja yang kekal dalam ketiga-tiga filem Raiders tersebut iaitu watak Tony Leung sebagai Mr. Lin Zaifeng, seorang bounty hunter yang cekap dan disanjungi oleh badan-badan perisik antarabangsa. 

Di bawah arahan Jingle Ma, seorang pengarah yang sinonim dengan filem-filem aksi komedi, Europe Raiders tidak mengecewakan jika anda inginkan hiburan yang ringan.


Sesuai dengan tajuknya, Europe Raiders, filem ini telah dirakamkan di lokasi-lokasi menarik dan penuh sejarah di Milan, Venice, Rome dan Florence.

Ia mengisahkan persaingan antara Mr. Lin Zaifeng (Tony Leung) dan Miss Wang Chaoying (Tiffany Tang) untuk menangkap seorang perempuan bernama Sophie (Du Juan) yang telah mencuri sebuah perisian rahsia, "Hand of God" yang boleh digunakan untuk memusnahkan dunia.

Untuk menjejaki Sophie, Lin mendapatkan bantuan adik Sophie, Rocky (Kris Wu) yang sedang berada di dalam penjara. Tanpa disedari mereka, Rocky juga mempunyai rahsianya sendiri.



Maka, terjadilah babak kejar-mengejar untuk mendapatkan perisian "Hand of God" bagi menyelamatkan dunia dari kemusnahan. Keadaan dirumitkan oleh sejarah Lin dan Wang yang pernah bercinta tetapi tidak berkekalan.

Dalam usia 56, Tony Leung masih boleh beraksi, bahkan beliau diberi jolokan Tom Cruise Asia kerana tampak muda dan masih melakukan stunt sendiri di dalam filem lakonannya. Beliau dilaporkan membuat persiapan selama tiga bulan sebelum penggambaran filem ini bermla.

Babak permulan filem ini dilakonkan oleh Tony sendiri di mana dia menggelunsur salji sambil memakai sut ski yang dipasang dengan lebih 7,000 biji lampu LED sebelum melanggar panel kaca.


Keseluruhannya, filem ini memang menghiburkan. Jika anda seorang peminat siri Raiders, anda pasti tidak merasa kecewa menunggu selama lebih 13 tahun untuk menyaksikan sekuel terbaru dalam siri ini.


Bagi penonton-penonton Malaysia, anda pasti akan merasa teruja apabila melihat sebuah pasport merah Malaysia dalam satu babak filem ini. Menurut Jingle Ma, beliau sebenarnya rindukan Malaysia. Beliau pernah membuat penggambaran filem Summer Holiday lakonan Sammi Cheng dan Richie Ren di Pulau Redang sekitar tahun 2000.


Diedarkan oleh TGV Pictures, Europe Raiders bakal menemui anda di pawagam mulai 23 Ogos ini!

Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI