BMW 6 SERIES GT YANG PERTAMA DILANCAR DI MALAYSIA



BMW Malaysia pada hari ini, telah memperkenalkan BMW 6 Series Gran Turismo yang Pertama, tanda aras terbaharu dipahat dalam segmen kelas kenderaan mewah melalui ciri-ciri kenderaan ini yang bertemakan keluasan, keselesaan, dan kefungsian yang tiada tandingannya.

Diperkenalkan melalui pelencanaan varian BMW 630i GT, jentera baharu ini membawa portfolio model kenderaan BMW Group Malaysia yang dipasang di dalam negara ke aras yang baharu melalui sembilan model dan sebelas varian, lantas memperlihatkan komitmen pengeluar kenderaan ini untuk memperkembangkan skala operasi dan pelaburannya di Malaysia, serta kedudukan negara Malaysia sebagai hab bagi BMW Group di rantau ini.

En. Harald Hoelzl, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia berkata, “BMW 6 Series GT menambah satu lagi dimensi dan penawaran baharu dalam portfolio produk mewah moden kami. Jentera baharu ini menawarkan ciri-ciri kefungsian yang mengagumkan serta menampilkan format badan kenderaan baharu yang telah menempah nama di persada antarabangsa, dan ia juga didatangkan dengan ciri pemanduan yang menyelesakan serta keluasan berstandard tinggi, justeru mendefinisikan karakter kenderaan ini yang tersendiri.”


Ciri-ciri unik generasi kenderaan yang terdahulu kini diperhalusi dan dibawa ke tahap yang baharu dalam BMW 6 Series GT, dengan evolusi sistematik yang ketara dilihat melalui keanggunan jentera ini yang serba sporty, selain daripada kelengkapan yang canggih, sistem bantuan dan pengawalan yang inovatif, serta kemajuan dalam aspek dinamisme dan efisiensi. Designasi model kenderaan baharu ini mencerminkan kemajuan tersebut.

“Model baharu ini akan menyuntik nafas baharu kepada kelas kenderaan eksekutif mewah, sebagai satu-satunya kenderaan dalam segmen seumpamanya yang menawarkan keluasan seperti kenderaan Gran Turismo yang moden, keselesaan pemanduan seperti sedan kelas mewah, dan dinamisme serta tarikan estetika yang sepadan dengan coupé elegan yang bersaiz besar,” ujar Hoelzl.


Konsep badan kenderaan yang berjaya merangkul anugerah berprestij – BMW EfficientLightweight bercirikan praktikaliti moden. BMW 6 Series GT yang Pertama telah menerima Anugerah ‘EuroCar Body’ yang berprestij pada tahun 2017 bagi reka bentuk badan serta ruang yang lebih mantap – ia dicapai melalui inovasi seperti yang diperlihatkan oleh teknologi BMW EfficientLightweight.

Khususnya, konstruksi serba ringan yang dizahirkan melalui kepintaran kejuruteraan serta peningkatan penggunaan aluminium dan keluli berkuatan tinggi bagi struktur badan dan komponen casis kenderaan ini membantu menurunkan berat kenderaan tersebut untuk mencapai berat purata yang berjumlah lebih kurang 150 kilogram jika dibandingkan dengan model-model yang terdahulu. Interior jentera ini menawarkan ruang yang lebih lapang, di samping posisi tempat duduk yang dinaikkan memberi kelebihan pemandangan bagi setiap penumpang.

Tiga tempat duduk yang lengkap pada bahagian belakang mempunyai ruang kaki yang luas, lantas memberi penekanan terhadap kualiti kenderaan ini yang memfokuskan keselesaan pengguna, sepertimana ruang atas (headroom) yang turut diperluaskan lagi walaupun garis bumbung kenderaan ini secara keseluruhannya disingkatkan – semua ini dapat dicapai melalui sistem tempat duduk yang optimum.


Konstruksi badan kenderaan ini menawarkan ruang pembukaan belakang yang lebih besar dan lebih memudahkan, serta ia juga dapat memberikan pemandangan menyeluruh melalui tingkap belakang. Pintu but berseksyen tunggal yang melengkapi BMW 6 Series GT boleh dibuka dan ditutup dengan kuasa elektrik, serta fungsi ‘Comfort Access’ membolehkan operasi tanpa penggunaan tangan yang sebaliknya boleh diakses melalui pergerakan kaki.

Isi padu ruang kompartmen bagasi pula ditingkatkan sebanyak 100 liter kepada 610 liter berbanding model yang terdahulu: ia boleh diperbesarkan lagi untuk mencapai sukatan setinggi 1,800 liter dengan cara melipat tempat duduk menggunakan fungsi pengawal elektrikal.

Ambang muatan (loading sill) juga direndahkan sebanyak lima sentimeter yang setaraf dengan lantai kompartmen bagasi. Keseimbangan dinamik serta garisan yang beralun lagi mempesona. BMW 6 Series GT yang Pertama tampil dengan anterior yang bersifat gah dan tersendiri, dengan lensa lampu depan LED ‘Adaptive’ yang mengunjur ke gril kidney BMW yang ikonik.

Elemen keanggunan yang melambangkan jentera BMW ini dapat dilihat secara keseluruhannya melalui ciri-ciri seperti bonet yang memanjang, posisi kabin yang miring ke belakang, jarak roda berukuran 3,070 milimeter, set tingkap pintu tidak berbingkai, garis bentuk tingkap yang melandai ke belakang, serta lengkok berkembar Hofmeister yang sebati dengan BMW.


Garis bumbung jentera ini mengunjur ke bawah melalui penggayaan coupe yang bersambung dengan seksyen belakang yang juga kini lebih rendah melalui penurunan jumlah ukuran sebanyak 64 milimeter, sementara set roda 20 inci ‘M light-alloy double-spoke 648 M’ yang hadir dalam dwiwarna (dengan set tayar bercampur) memperkayakan lagi elemen sofistikasi kenderaan ini.

Bahagian belakang yang menampilkan elemen rekaan istimewa memberikan jentera ini keterampilan yang renek tanpa mengkompromikan keselesaan atau ruang bagasi. Tingkap belakang yang bercerun menggayakan keperibadian coupé dan ia bersambung dengan lampu belakang LED yang berbentuk tiga dimensi serta dengan rekaan signatur BMW yang mengenakan bentuk ‘L’ untuk menghasilkan tarikan sebuah kenderaan sport yang berkelas.

Siluet yang renek juga memberikan kelebihan kepada struktur aerodinamik kenderaan ini, digabungkan dengan pengawal flap udara aktif dan komponen yang lain termasuk ‘Air Curtains’, ‘Air Breathers’ dan spoiler belakang yang boleh mengunjur secara automatik (diaktifkan apabila kenderaan ini mencecah kelajuan 110 km/j) untuk mengurangkan kadar pekali seret (Cd) daripada model terdahulu yang berjumlah 0.29 kepada kadar yang terbaharu: 0.25. Pengendalian dinamik dan enjin generasi baharu yang amat efisien.

Dinamik pengendalian dan tahap keselesaan pemanduan yang ditawarkan oleh jentera BMW 6 Series GT ini memanfaatkan penambahbaikan yang dilakukan pada teknologi casis. BMW 6 Series GT dilengkapi dengan suspensi Adaptif dengan ‘Dynamic Damper Control’ serta suspensi udara pada gandar hadapan dan belakang. Peredam yang dikawal secara elektronik turut meningkatkan lagi tahap keselesaan pemanduan dan pengendalian kenderaan ini, serta pengawal roda spesifik dapat memberikan keseimbangan bagi muatan yang tidak seragam. Suspensi udara dwigandar membolehkan ketinggian kenderaan ini dilaraskan secara manual, ini bermakna ruang kelegaan tanah (ground clearance) boleh ditingkatkan lagi sebanyak 20 milimeter dengan hanya menekan butang untuk menyesuaikan kenderaan ini di jalan yang berliku atau jalan yang curam, atau untuk tujuan yang lain.


Kenderaan ini juga boleh direndahkan lagi sebanyak 10 milimeter – samada sekali lagi dilakukan secara manual dengan menekan butang, atau secara automatik apabila mod SPORT diaktifkan melalui suis ‘Driving Experience Control’, atau apabila kenderaan ini melebihi tahap kelajuan 120 km/j untuk mengurangkan ‘drag’. Di bawah bonet jentera ini, enjin TwinPower Turbo yang canggih digandingkan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan. Unit petrol empat silinder 2.0 liter dalam jentera BMW 6 Series GT yang Pertama menjana output maksimum yang mencecah 190 kW/258 kk (kuasa kuda) serta puncak tork setinggi 400 Nm.

Peningkatan daya kuasa dan efisiensi yang lebih mantap pada enjin tersebut, berserta penambahbaikan aerodinamik mampu membawa kereta ini mencecah kelajuan 250km/j sambil mengoptimumkan penggunaan bahan bakar. Ia boleh memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, dan mempunyai penggunaan bahan bakar gabungan sebanyak 6.6 liter bagi setiap 100 kilometer dan emisi CO2 sebanyak 152 gram bagi setiap kilometer. Interior yang versatil, mewah, dan serba boleh. BMW 6 Series GT yang Pertama direka suai untuk menghasilkan ruang kokpit yang memfokuskan pemandu.

Ia bersertakan susunan pelbagai unsur pengawal yang ergonomik, serta paparan dan sistem pengawal yang menawarkan versatiliti yang tiada tandingannya melibatkan fungsi-fungsi seperti operasi, navigasi, komunikasi dan maklumat hibur. Nadi ciri kefungsian kenderaan ini ialah sistem iDrive, lengkap dengan ‘Touch Controller’ yang terletak di konsol pusat serta ‘Control Display’, yang kini hadir dengan skrin sentuh ‘freestanding’.

Paparan resolusi tinggi pula kini mempunyai skrin berpenjuru yang bersaiz 10.25 inci, manakala susun atur menu yang menggunakan penggayaan ‘tile’ serta grafik beranimasi dalam mod ‘live’ membolehkan pengoperasian yang intuitif. BMW 6 Series GT juga menawarkan kemudahan melalui fungsi arahan suara yang diperbaik, dan ‘BMW Gesture Control’, serta Paparan ‘Head-Up’ BMW generasi baharu.


Stereng ‘M Sport’, papan pemuka ‘Sensatec Leather’ dan ‘Fineline Ridge’ yang menggunakan bahan ‘Fine Wood’ dengan kemasan krom (Pearl Gloss Chrome) menyempurnakan keterampilan jentera ini yang penuh gaya, dan tidak kurang juga pengalaman pemanduan premium yang ditawarkan oleh jentera ini.

Kompartmen penumpang yang amat luas datang dengan ciri keselesaan yang dipertingkatkan melalui penebat bunyi yang optimum serta bumbung kaca Panoramik dwibahagian.

Bumbung ini mempunyai ukuran panjang melebihi satu meter dan kelebaran 90 sentimeter, lantas membawa unsur keluasan dan pencahayaan untuk memenuhi ruangan dalaman kenderaan ini. Tambahan pula, Sistem Bunyi Keliling Harman Kardon juga memanfaatkan kelebihannya melalui penawaran sensasi pendengaran yang luar biasa.

 Sistem bantuan pemandu yang melancarkan pemanduan automasi. Sistem bantuan pemandu yang melengkapi BMW 6 Series GT memanfaatkan kamera stereo, termasuk radar dan sensor ultrasonik untuk memantau persekitaran kenderaan ini.

Kefungsian inovasi bagi pemanduan separa autonomi menambahkan lagi aspek kemudahan dan keselamatan yang dapat membantu pemandu melalui input pengendalian pembetulan atau amaran, seperti Amaran Pengeluaran Laluan (Lane Departure Warning), Amaran Penukaran Laluan (Lane Change Warning), Amaran Perlanggaran dan Pejalan Kaki (Collision and Pedestrian Warning) dengan Mitigasi Perlanggaran dalam Kawasan Bandar (City Collision Mitigation), Amaran Perentasan Trafik (Crossing Traffic Warning), dan Info Had Laju (Speed Limit Info).

BMW ConnectedDrive: Terhubung dengan dunia digital secara pintar. Pemilik BMW 6 Series GT yang Pertama dapat menikmati kelebihan BMW ConnectedDrive, iaitu pembantu mobiliti peribadi digital yang dapat menolong pemandu menuju ke destinasi mereka dengan mudah – pemilik juga boleh mengakses kenderaan mereka tanpa perlu memasuki kenderaan mereka sendiri.

Sebagai contoh, entri kalendar dari telefon pintar boleh digunakan untuk merancang perjalanan, waktu bertolak yang sesuai juga boleh dianggarkan serta destinasi navigasi boleh dihantar ke kereta pemilik dengan lancar. Alat pemegang telefon pintar yang baharu juga diintegrasikan pada konsol pusat, ia membolehkan pengecasan induktif tanpa wayar untuk telefon mudah alih serta bagi paparan yang tersedia, lantas mendemonstrasikan falsafah BMW Connected melalui penggunaan teknologi yang berpaksikan kemudahan.

Dari segi penawaran warna, BMW 6 Series GT yang Pertama menyediakan seleksi pilihan warna eksterior yang merangkumi warna Putih (Alpine White), Biru (Bluestone), Hitam (Carbon Black) dan Kelabu (Sophisto Grey) yang dipadankan dengan warna interior, iaitu dalam varian Hitam (Leather Dakota Black).

Khusus untuk pilihan padanan warna Hitam (Carbon Black) dan Kelabu (Sophisto Grey), pilihan tambahan ‘Leather Dakota Cognac’ juga ditawarkan. BMW 6 Series GT yang Pertama boleh didapati melalui kesemua pengedar BMW yang bertauliah di dalam negara bermula dari hari Sabtu, 8 September 2018. Program Pembiayaan Dinamik.

Dengan ‘Balloon Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW 6 Series GT yang Pertama kini boleh dimiliki dengan pelan ansuran bulanan bermula dari RM 5,178.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun). Pengalaman Pemilikan Premium yang Menyeluruh.

Pemilik BMW 6 Series GT juga boleh menikmati Pengalaman Pemilikan Premium yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia, dan ia merangkumi:
 • Waranti Perbatuan tanpa Had selama 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma.
• Program Waranti Tayar selama 2 Tahun/24 Bulan oleh BMW untuk penawaran servis ‘Run Flat Tyre’.
• Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW.
• Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ - BMW White Card.
• Servis Atas Talian oleh BMW. ANGGARAN* harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) bagi BMW 6 Series GT yang Pertama ialah: BMW 6 Series GT yang Pertama – RM 450,000.00*

Untuk maklumat lanjut, sila layari:
Website: www.bmwgroup.com
Facebook: http://www.facebook.com/BMWGroup
Twitter: http://twitter.com/BMWGroup
YouTube: http://www.youtube.com/BMWGroupview
Google+: http://googleplus.bmwgroup.com

Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI