BMW MALAYSIA LANCAR KERETA SPORT HYBRID ‘BMW I8 ROADSTER’



BMW Malaysia telah memperkenalkan BMW i8 Roadster yang Pertama, iaitu sebuah Ikon Era baharu yang melambangkan kereta sport hibrid yang progresif ini. Jentera alaf baharu tersebut dirungkaikan semasa Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) 2018, yang juga disertai oleh BMW Malaysia sebagai rakan kongsi E-Mobiliti yang rasmi.

“BMW Group Malaysia melihat peranannya sebagai penggerak industri utama yang mampu meneraju dan membentuk dialog nasional mengenai Mobiliti Masa Hadapan. Kepimpinan kami dalam bidang Mobiliti Elektro dicerminkan dengan jelas melalui rangkaian kenderaan berelektrik yang inovatif dilancarkan oleh BMW Group. Komitmen kami untuk memacu e-mobiliti ke hadapan turut diperkukuhkan melalui inisiatif kami untuk memangkin inovasi, keupayaan pemasangan di peringkat domestik, kesedaran mengenai teknologi yang bersih dan baharu bagi industri automotif, serta untuk mengubah infrastruktur kenderaan premium di dalam negara,” ujar Harald Hoelzl, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia.


Semenjak subjenama BMW i diperkenalkan pada tahun 2013, BMW Group dapat meraikan kejayaan yang memberangsangkan dengan portfolio E-Mobilitinya di seluruh dunia. Pada tahun lepas sahaja, BMW Group telah menjanjikan dan berjaya menyerahkan 100,000 unit kenderaan elektrik.

Kini, lebih daripada 82,000 unit kenderaan elektrik berjaya diserahkan dalam tempoh lapan bulan yang pertama pada tahun ini – ia melakar peningkatan sebanyak 43.3% berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas. Pengeluar kenderaan premium ini berada di landasan yang tepat untuk mencatat penyerahan berjumlah 140,000 unit kenderaan elektrik untuk tahun 2018 secara keseluruhannya.

Hasrat ini juga dibidik oleh BMW Group Malaysia di peringkat tempatan melalui prestasi yang cemerlang bagi kenderaan elektriknya. Sehingga tarikh terkini untuk tahun 2018, BMW Group Malaysia telah berjaya menyerahkan lebih daripada 9,500 unit kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad, lantas mencatatkan peningkatan lebih daripada 20% berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Daripada keseluruhan unit kenderaan yang diserahkan, 56% merangkumi kenderaan elektrik BMW dan MINI, dan ia memperlihatkan perubahan sentimen dalam kalangan warga Malaysia untuk menerima Mobiliti Bervisi untuk keperluan automotif mereka.

Pada CEPSI 2018, BMW Group Malaysia akan terus menggalakkan perbincangan mengenai Mobiliti Masa Hadapan di Malaysia melalui perkongsian daripada Dr. Alexander Kotouc.

Sebagai Ketua Pengurusan Produk bagi BMW i, subjenama BMW Group ini menggalas tanggungjawab ke atas Kenderaan Bervisi, Dr. Kotouc akan mengongsikan pelan dan visi pengeluar kenderaan premium ini sebagai peneraju dalam kemampanan segmen automotif dan mobiliti progresif.

Untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai penyedia mobiliti berelektrik premium yang utama, BMW Malaysia juga telah memperkenalkan BMW i8 Roadster yang Pertama.

Sesi pengenalan tersebut dirasmikan oleh Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, sebagai tetamu undangan istimewa di persidangan yang ulung ini.

“BMW i8 Roadster yang Pertama merupakan sebuah ikon bagi Mobiliti Masa Hadapan. Kereta sport hibrid ini yang didatangkan dengan dua tempat duduk dan bumbung yang terbuka (open-top) mendefinisikan semula keterujaan pemanduan, kebebasan dan mendemonstrasikan e-Mobiliti dengan haluan yang bervisi ke arah hadapan bagi segmen kenderaan sport konvertibel,” ujar Hoelzl.

BMW i8 Roadster yang Pertama dilengkapi dengan ciri-ciri yang tercanggih lantas meletakkannya di aras yang tersendiri. Pada tahun ini, BMW i8 berjaya merangkul kemenangan yang keempat secara berturut-turut bagi Anugerah Enjin Terbaik Antarabangsa sejak tahun 2015, ia merupakan pengiktirafan yang setimpal bagi teknologi drivetrain jentera ini yang luar biasa.

Tambahan lagi, pencapaian-pencapaian yang lain termasuk Anugerah iF Design dan Anugerah Red Dot juga membuktikan taraf kualiti dan tarikan terhadap seni bina LifeDrive yang baharu bagi model-model BMW i.


Reka bentuk yang emotif, dengan karakter yang tersendiri.
BMW i8 Roadster yang Pertama mempunyai tarikan emotif dengan reka bentuknya yang mempesonakan, semuanya diterjemahkan melalui lenggok reka bentuk daripada BMW i kepada konsep kenderaan ini yang tersendiri.

Bumbung ‘soft-top’ dengan sifat visualnya yang ringan berserta berat fizikal keseluruhan kenderaan ini yang lebih rendah berfungsi sebagai elemen yang mendefinisikan siluet kenderaan ini untuk memperkukuhkan lagi keterampilannya yang serba renek dengan pusat gravitinya yang rendah.

Badan kenderaan ini yang berbentuk baji secara dinamik juga memperlihatkan keanggunannya. Tidak dilupakan, designasi “Roadster” boleh didapati tersemat pada tiang C (C-pillar) kenderaan ini.

Apabila dibuka, bumbung BMW i8 Roadster yang lebar ini akan ditarik sepenuhnya ke arah belakang. Sebuah mekanisme yang unik membolehkan bumbung ‘soft-top’ ini dilipat ke dalam bentuk yang kompak dan disimpan dalam posisi serenjang, lantas memberikan ruang simpanan tambahan yang berkeluasan sekitar 100 liter di belakang tempat duduk.

Bumbung ini yang dikuasakan oleh elektrik sepenuhnya dapat dibuka dan ditutup dengan senyap dalam masa 15 saat, ia merupakan sebuah proses yang boleh diaktifkan semasa kereta ini dipandu dalam kelajuan setinggi 50 km/j.

Dengan menurunkan bumbung tersebut, ia akan menaikkan ketinggian tingkap belakang sekitar 30 milimeter, ia juga berfungsi sebagai pemantul angin yang mengurangkan kesan gelora bagi para penumpang yang menaiki kenderaan ini. Ketinggian tingkap belakang yang boleh diturunkan sepenuhnya juga boleh dilaraskan mengikut kehendak pemandu dengan menekan butang yang disediakan di ruang kokpit.

Ikon Era Baharu ini juga menampilkan seni bina kenderaan LifeDrive terkini yang menawarkan struktur berbahagi secara melintang yang terdiri daripada casis aluminium dan sel penumpang yang diperbuat daripada polimer bertetulang gentian karbon (CFRP) untuk menawarkan darjah kebebasan rekaan yang tiada tandingannya.

Ciri-ciri kejuruteraan yang pintar ini membolehkan komponen pemanduan yang penting diletakkan di kedudukan yang optimum supaya pengendalian yang terbaik dapat dikecapi, di samping memberikan kelebihan berat melalui sel penumpang yang diperbuat daripada karbon.

Jentera sport ini yang didatangkan dengan set pintu ‘gullwing’ tidak berbingkai yang baharu juga diperbuat daripada bahan CFRP dengan kerangka luarannya yang terdiri daripada aluminium, sementara bingkai tingkap hadapan diperbuat dengan sepenuhnya menggunakan bahan CFRP.

Bahan berteknologi tinggi yang kukuh ini dirumus khas untuk memberi kekuatan yang tinggi, lantas memaksimumkan perlindungan bagi para penumpang walaupun jika kereta ini berguling ekoran kemalangan yang tidak dapat dielakkan.

CFRP juga digunakan untuk membina skirt sisi dengan seksyen melintang yang lebih luas. Panel dan sangga tambahan pada gandar hadapan dan belakang juga membantu untuk meningkatkan kekukuhan badan kenderaan ini. Secara keseluruhan, berat kenderaan ini tanpa muatan berjumlah 1,595 kilogram, angka ini merupakan antara yang paling rendah bagi kenderaan ‘open-top’ seumpamanya.


Pacuan semua roda yang spesifik secara hibrid, serta casis yang ditala dengan ketepatan.
Kuasa motor elektrik disalurkan ke roda hadapan, manakala pacuan kuasa enjin pula disalurkan ke roda belakang, lantas melahirkan sistem pacuan semua roda yang hibrid-spesifik dan dikawal oleh pengurusan tenaga yang pintar. Dalam mod hibrid, motor elektrik akan memberikan kuasa tambahan untuk membantu enjin apabila kenderaan ini dipacu dengan kelajuan yang tinggi.

Ia juga boleh mengumpul semula tenaga dan menyalurkannya ke bateri bervoltan tinggi semasa kereta tersebut bergerak tanpa tekanan pada pedal minyak dan ketika membrek. Enjin petrol yang bercirikan penjana pemula (starter-generator) bervoltan tinggi juga boleh menjana tenaga elektrik simpanan tambahan, lalu memastikan tenaga yang mencukupi tersedia pada setiap masa untuk sistem pemanduan elektrik.

Apabila fungsi panduan haluan diaktifkan pada sistem navigasi, pengurusan tenaga pintar yang melengkapi jentera ini akan memastikan motor elektrik digunakan secara ekstensif dan sebaiknya jika dinilai dari sudut keefisienan.

Sistem tersebut juga menganalisa haluan secara menyeluruh dan menggerakkan sistem pengurusan powertrain untuk berfungsi hanya dengan kuasa elektrik, terutamanya ketika dalam pemanduan berkelajuan rendah.

Sistem redaman dan suspensi dengan penalaan yang spesifik bagi model kenderaan ini, serta ciri-ciri pengendalian yang dikonfigurasikan secara khusus, stabilisasi penggulingan yang lebih kukuh dan modifikasi bersasar pada parameter DSC memastikan jentera BMW i8 Roadster yang Pertama ini dapat mengekalkan taraf pengendalian dan kualiti prestasi yang sinonim dengan kereta sport hibrid ‘plug-in’.

Pengawal Kestabilan Dinamik (Dynamic Stability Control) juga termasuk sebagai penawaran yang standard. Berkenaan dengan roda, jentera ini dilengkapi dengan set roda 20 inci beraloi ringan yang menampilkan konstruksi ringan, yang setiap satunya mempunyai pengurangan berat sekitar satu kilogram berbanding roda yang paling ringan pernah ditawarkan untuk BMW i8 sebelum ini.


Enjin dengan emisi yang optimum. 
Enjin pembakaran dalaman jentera ini juga telah melalui proses pengoptimuman yang lanjut. Unit tiga silinder tersebut dapat menjana output maksimum setinggi 170 kW/231 kk (kuasa kuda) melalui penyesaran bahan bakar yang hanya berjumlah 1.5 liter, serta puncak tork pada tahap 320 Nm.

Dalam proses tersebut, ia juga menjana bunyi sport yang lebih mempesonakan. Penapis zarahan (particulate filter) kini dipasang pada kenderaan ini untuk mengurangkan emisi dengan lebih efektif melalui penyerapan zarahan yang terkandung dalam gas ekzos.

Output sistem jentera ini yang dihasilkan oleh motor elektrik dan enjin yang berfungsi secara bersama kini berjumlah 275 kW/374 kk, membolehkan kenderaan ini untuk mencapai kelajuan dengan had keupayaan elektronik setinggi 250 km/j. BMW i8 Roadster yang Pertama ini dapat memecut daripada kelajuan 0 sehingga 100 km/j dalam masa 4.6 saat.

Penggunaan bahan bakar gabungan pula berjumlah 2.0 liter untuk setiap 100 kilometer, dan tenaga elektrik sebanyak 14.5 kWj untuk setiap 100 kilometer. Emisi CO2 petrol dibaca pada tahap 46 gram untuk setiap kilometer.


Teknologi ‘BMW eDrive’ yang teroptimum: lebih banyak kuasa, peningkatan jarak capaian – pengalaman pemanduan elektrik yang diperkayakan.
Teknologi BMW eDrive yang dibangunkan secara ekstensif serta pengurusan tenaga pintar yang optimum menjurus kepada lebih banyak situasi pemanduan yang boleh memanfaatkan motor elektrik sahaja untuk menguasakan kereta tersebut.

Ia memberi penekanan terhadap karakter luar biasa yang ditampilkan oleh BMW i8 Roadster yang Pertama ini, lalu memastikan pemandu dapat menikmati suasana pemanduan ‘open-top’ yang senyap dan bebas emisi dengan sebaik yang mungkin.

Pengalaman pemanduan elektrik aras baharu ini juga diterjemahkan melalui bateri litium-ion versi baharu yang dihasilkan untuk BMW i8. Unit bervoltan tinggi ini bertempat di kedudukan tengah pada bahagian bawah badan kenderaan tersebut.

Kapasiti selnya telah ditingkatkan kepada 33 Ah berbanding kapasiti terdahulu yang berjumlah 20 Ah, serta kapasiti tenaga kasar (gross) juga dinaikkan daripada 7.1 kWj kepada 11.6 kWj, semuanya bermakna motor elektrik tersebut kini mempunyai lebih banyak tenaga untuk digunakan.

Konfigurasi sel ini juga dapat menjana output setinggi 105 kW/143 kk, membolehkan pecutan yang lincah dilakukan dengan hanya menggunakan kuasa elektrik.

Dalam mod pemanduan standard, BMW i8 Roadster yang Pertama ini boleh dipandu secara eksklusif dengan menggunakan motor elektrik sahaja – daripada kelajuan 0 sehingga 105 km/j. Enjin pembakaran hanya akan diaktifkan dalam situasi pemanduan berkelajuan tinggi atau apabila pemandu mengaplikasikan tekanan yang tinggi pada pedal pemecut, dan enjin tersebut akan dimatikan semula dengan kerap berdasarkan gaya pemanduan yang dipraktikkan.

Dengan menekan butang eDrive, ia membolehkan kenderaan ini untuk dipandu selaju 120 km/j menggunakan kuasa elektrik sahaja. Capaian elektrik jentera BMW i8 Roadster yang Pertama ini dapat mencecah 53 kilometer.


Interior yang bercirikan kelengkapan eksklusif.
Interior BMW i8 Roadster yang Pertama ini menyinambungkan rekaan progresif bahagian eksterior dengan orientasi pemanduan BMW i8 yang klasik, sejajar dengan konsepnya yang sporty dan dinamik.

Bahagian atas konsol pusat yang bersambung pada panel instrumen, melengkung ke arah pemandu pada sudut 12 darjah. Kesemua elemen sistem pengawal dan paparan terletak dalam jarak capaian yang sempurna serta mudah untuk dilihat dan dibaca oleh pemandu.

Trim Karbon CFRP dengan penggayaan ‘open-pore’ pada konsol pusat, pemegang pintu dan inlai papan pemuka, sistem pengawal seramik dengan logo i8 yang diembos pada ‘iDrive Controller’, serta kemasan seramik pada tuil pemilih gear menambah sentuhan futuristik pada ruang interior kenderaan ini.

Suasana rekaan yang berimpak ini memberikan pemandu suatu impresi kebersamaan dengan jentera alaf baharu ini. Kokpit kenderaan ini dilengkapi dengan Paparan ‘Head-up’ BMW yang boleh bertukar kepada paparan sport dan merangkumi rev enjin (rpm), gear, serta lampu penukaran gear (shift lights) apabila gear ditukar secara manual dalam mod SPORT.

Spesifikasi standard yang lain merangkumi stereng sport kulit dengan butang multifungsi dan padel penukar gear, pelaras tempat duduk elektrik, paparan instrumen multifungsi, ‘Driving Assistant’ dengan fungsi ‘Surround View’ serta ‘Navigation System Professional’.

Menu utama dalam paparan ‘Control Display’ kini dipersembahkan dalam bentuk ‘tile’ yang disusun secara mendatar dengan mod ‘live’. ‘BMW Connected’ juga merupakan penawaran yang standard, ia menyediakan pelbagai bentuk kemudahan dan informasi yang merangkumi status pengecasan terkini, jarak dan masa bertolak, dapat membantu pemandu mencari stesen pengecas dan menghantar lokasi stesen tersebut terus ke kenderaan mereka, akses kepada rating keefisienan bagi perjalanan yang sebelumnya, tutorial bagi pemanduan yang efisien serta kalkulator CO2.

Pembantu mobiliti peribadi, BMW Connected menghubungkan kenderaan pengguna dengan titik sentuh pilihan masing-masing seperti telefon pintar atau jam tangan pintar.

BMW i8 Roadster yang Pertama didatangkan dengan rekaan interior ‘Accaro’ serta ‘Exterior E-Copper’, dan ia boleh didapati di kesemua pengedar BMW i yang bertauliah bermula dari 19 September 2018.

Program Pembiayaan Dinamik.
Dengan ‘Balloon Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW i8 Roadster yang Pertama ini boleh dimiliki dengan pelan ansuran bulanan bermula daripada RM 17,268.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

Pengalaman Pemilikan Premium yang Menyeluruh.
Pembeli BMW i8 Roadster yang Pertama juga boleh menikmati Pengalaman Pemilikan Premium yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia, dan ia merangkumi:
• Waranti Perbatuan tanpa Had selama 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma.
• Program Waranti Tayar selama 2 Tahun/24 Bulan oleh BMW untuk penawaran servis ‘Run Flat Tyre’.
• Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW.
• Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ - BMW White Card.
• Servis Dalam Talian oleh BMW.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) BMW i8 Roadster yang Pertama bermula daripada– RM 1,508,800.00

Comments

Popular posts from this blog

ANTA MALAYSIA MELANCARKAN KEMPEN SUMBANGAN KASUT SEMPENA RAMADAN

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA