BMW SHORTIES KEMBALI UNTUK TAHUN YANG KE-12!



BMW Group Malaysia pada hari ini memperkenalkan BMW Shorties edisi ke-12, iaitu pertandingan filem pendek yang tersohor dan yang paling lama dijalankan saban tahun dalam industri perfileman tanahair.

“Acara berprestij BMW Shorties ini merupakan sebuah platform bagi bakat pembikin filem yang terbaik di Malaysia untuk mereka mengongsikan visi kreatif yang digubah melalui kisah-kisah yang dizahirkan di Malaysia. Dengan lebih daripada 840 penyertaan filem pendek yang diterima sejak edisi pertama pertandingan ini dianjurkan pada tahun 2006, BMW Shorties mengundang satu lagi tahun yang penting untuk meneroka bakat-bakat baharu dalam seni sinematik dan digital, yang turut ditekankan melalui kepercayaan BMW Group Malaysia terhadap penggabungan kraf artistik dan inovasi baharu untuk memberi inspirasi kepada gaya hidup dan pemikiran yang baharu,” ujar Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat, BMW Group Malaysia.

Kembali untuk tahun yang ke-12, tema bagi BMW Shorties tahun ini ialah “DRIVE”. Setiap insan memerlukan dorongan untuk mencapai matlamat mereka. Dorongan ini merupakan sifat semula jadi dan disemarakkan lagi lebih daripada rangsangan melalui semangat semata-mata. Ia memerlukan sebuah impian. 

“Dorongan merupakan kualiti yang mengangkat seorang artis sebagai ahli seni, menjadikannya sebuah sifat yang mendefinisikan penginovasi yang sebenar. Sejak BMW Group ditubuhkan, inovasi telah menjadi tulang belakang syarikat ini yang telah membawa kepada kejayaan. Kami memacu inovasi yang bertindak untuk memajukan taraf kehidupan manusia, sama seperti para pembikin filem yang telah kami dorong ke aras yang baharu sejak 11 tahun yang lepas,” tambah Ambi.

Barisan juri pada tahun ini merangkumi nama-nama besar dalam industri perfileman tempatan, antaranya ialah veteran BMW Shorties dan pembikin filem komersial, Lina Tan; pembikin filem yang mempunyai pelbagai anugerah di bawah namanya, Isazaly Mohd Isa; pembikin filem dan penulis skrip lakon layar, Nadira Ilana; pembikin filem dan penggarap anugerah, Tan Chui Mui; serta pembikin filem dan penglipur lara yang sedang menempah nama, Quek Shio Chuan.

“Kami berasa teruja untuk melihat bagaimana para peserta kali ini menginterpretasikan tema tahun ini. Industri ini memerlukan bakat-bakat baharu yang berani dan boleh mengangkat darjat penceritaan ke aras baharu,” ujar Chui Mui.

Tambah Isazaly pula, “Ia merupakan suatu perkara yang mengagumkan apabila sebuah filem pendek boleh membawa saya mendalami dunia pembuat filem itu sendiri – suatu hasil kerja yang melanjutkan erti kehidupan dan bukan hanya bermain dengan kisah kehidupan seharian semata-mata.”

“Filem pendek juga boleh menjadi jendela untuk membolehkan kita menyingkap sisi kehidupan di Malaysia, jadi ia merupakan satu fenomena yang menarik bagi kita untuk melihat bagaimana individu yang berlainan alami kehidupan mereka sebagai warga Malaysia. Filem mempunyai kepentingannya yang tersendiri apabila ia menjadikan kita lebih bersifat empatik dan ia juga memberi peluang kepada kita untuk mempelajari tentang insan yang lain,” ujar Nadira.

Atas prinsip yang sama, alumni BMW Shorties – Quek – melihat filem sebagai sebuah mesej, dan kuncinya adalah untuk memastikan mesej tersebut dapat disampaikan kepada penonton.

Walaupun pembikinan filem bukanlah suatu tugas yang mudah, Lina menyatakan bahawa, “pembelajaran seni perfileman ini memakan masa, kesabaran dan pengorbanan jika anda ingin menjadi seorang pembuat filem.”

Langkah yang pertama boleh diambil sekarang. Pada tahun ini, geran produksi telah dinaikkan ke RM 80,000 untuk pemenang hadiah utama bagi pertandingan filem pendek BMW Shorties ini. Pengiktirafan bagi bakat pembikinan filem juga akan dianugerahkan melalui pelbagai kategori sokongan yang lain, termasuk Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik, Suntingan Terbaik dan Rekaan Bunyi Terbaik serta Anugerah Pilihan Popular.

Pertandingan BMW Shorties akan dibuka untuk menerima penyertaan bermula dari 30 Ogos 2018 dan pembikin filem yang ingin merealisasikan impian mereka mempunyai masa sehingga hari Jumaat, 26 Oktober 2018 untuk menghantar penyertaan filem pendek mereka.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai BMW Shorties dan cara untuk menyertainya, sila layari laman web BMW Shorties di www.bmwshorties.com.my atau kunjungi laman Facebook BMW Shorties yang rasmi di www.facebook.com/bmwshorties serta laman Instagram di www.instagram.com/bmwshorties.

Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM