DIDI & FRIENDS ANJUR ‘KARNIVAL 1 BILION DIDI & FRIENDS’



Tanggal Mei 2018 yang lalu, animasi Didi & Friends menerusi laman Youtube rasminya, ‘Didi & Friends - Lagu Kanak-Kanak’ telah mencatatkan jumlah tontonan melangkaui satu bilion, sekaligus menjadikannya animasi pra-sekolah pertama yang berjaya mencipta rekod berkenaan di laman YouTube Malaysia.

Selain itu, animasi ini turut memperlihatkan jumlah pengikut di Youtube yang sangat membanggakan iaitu sebanyak 1,206,774 pengikut. Bagi meraikan kejayaan tersebut bersama para peminat, Digital Durian dengan kerjasama Astro bakal mengadakan sebuah karnival terbesar Didi & Friends iaitu ‘Karnival 1 Bilion Didi & Friends’, bertempat di Quill City Mall, Kuala Lumpur selama empat hari berturut-turut bermula pada 14 hingga 17 September 2018.

Mengulas mengenai Karnival 1 Bilion Didi & Friends, Sinan Ismail; Ketua Pengarah Ekskutif Digital Durian berkata, “Saya sangat teruja dengan penganjuran Karnival 1 Bilion Didi & Friends kerana ini merupakan karnival terbesar yang pernah kami anjurkan.

Menariknya karnival kali ini, kami menyajikan aktiviti-aktiviti pentas yang lebih hebat dan interaktif serta pelbagai permainan baharu yang belum pernah dimainkan di mana-mana karnival Didi & Friends sebelum ini. Bukan sahaja permainan, kami turut menitikberatkan pada dekorasi karnival seperti mewujudkan rumah Didi, Nana, Jojo, Pulau Hokey Pokey dan banyak lagi supaya pengunjung yang hadir berasa seolah-olah berada di dunia Didi & Friends.”

Putri Yasmin Megat Zaharuddin; Naib Presiden Gen Next Astro berkata, “Sejak kehadiran Didi & Friends ke ruangan animasi di Malaysia pada tahun 2014 menerusi lagu ‘Kalau Rasa Gembira’, animasi ini telah mencipta kejayaan demi kejayaan sehingga meletakkan jenama Didi & Friends dalam kelasnya tersendiri. Saya percaya selepas ini lebih banyak lagi perkara yang akan diteroka oleh Digital Durian untuk terus mengangkat Didi & Friends dan tidak mustahil suatu hari nanti, ia akan menjadi satu produk animasi anak tempatan yang disegani di peringkat global pula. Semoga kejayaan Didi & Friends dapat dijadikan inspirasi kepada lebih ramai lagi anak tempatan di luar sana untuk menceburkan diri dalam bidang animasi.”

Pelbagai aktiviti serta pertandingan menarik dan menyeronokkan yang sesuai buat seisi keluarga telah diatur buat pengunjung karnival. Antaranya aktiviti ‘Karaoke Bersama Didi’, ‘Manicure Bersama Nana’, ‘Bina Bongkah Bersama Jojo’, ‘Petik Buah Di Ladang Pak Atan’, ‘Menari Dan Menyanyi Di Musikal Didi & Friends’, ‘Meet And Greet Didi & Friends’, pertandingan ‘Kostum Didi & Friends’, ‘Hias Kek Bersama Didi & Friends’ dan banyak lagi.

Berita baik buat kanak-kanak, Karnival 1 Bilion Didi & Friends turut menawarkan 100 tunggangan maskot Didi & Friends (Zoomoov) secara percuma selama empat hari karnival berlansung. Bukan itu sahaja, pengunjung karnival ini khususnya peminat barangan Didi & Friends berpeluang menikmati potongan harga bagi barangan Didi & Friends menerusi promosi ‘Happy Hour’ yang menawarkan sehingga 30% diskaun untuk barangan terpilih.

Selain itu, sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2018, terdapat ‘Online Nationwide Sales Campaign’ yang menawarkan promosi istimewa sehingga 20% diskaun untuk barangan Didi & Friends yang terpilih di platform membeli belah atas talian iaitu Shopee, Lazada, 11 Street, Go Shop dan Toyworld Marketing Online.

Sinan Ismail berkata, “Istimewa lagi, pengunjung yang hadir ke Karnival 1 Bilion Didi & Friends dapat menonton secara eksklusif beberapa potongan klip video lagu-lagu baharu Didi & Friends musim ketiga yang mempunyai sebanyak 39 buah lagu keseluruhannya dan bakal dilancarkan bermula pada 15 Oktober ini di Astro Ceria (saluran 611) serta saluran rasmi YouTube Didi & Friends. Suka juga untuk saya kongsikan dengan semua peminat Didi & Friends, kami bakal bawakan ‘Konsert Hora Horey Live 2019’ dan ‘Didi & Friends The Movie’ di pawagam pada tahun 2021. Selain itu, Didi & Friends juga telah dialih bahasa kepada tujuh bahasa iaitu Bahasa Indonesia, Bahasa Hindi, Bahasa Portugis, Bahasa Thailand dan terbaharu Bahasa Sepanyol, Bahasa Inggeris dan Bahasa Vietnam. Kami ingin sentiasa memberi kandungan baharu buat tontonan peminat dan diharap agar peminat dapat terus memberikan sokongan padu terhadap Didi & Friends.”


Jangan lupa temu janji anda bersama Didi, Nana dan Jojo di ‘Karnival 1 Bilion Didi & Friends’ pada 14 hingga 17 September ini bertempat di Quill City Mall, Kuala Lumpur. Jumpa anda di sana!

Untuk maklumat lanjut mengenai Karnival 1 Bilion Didi & Friends, sila layari: www.facebook.com/didiandfriends

Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM