"SEBELUM IBLIS MENJEMPUT" DI PAWAGAM 20 SEPTEMBER



Usai sukses menghadirkan igauan buruk kepada audiens di pawagam-pawagam Indonesia, filem bergenre seram, Sebelum Iblis Menjemput garapan sutradara terkenal, Timo Tjahjanto kini bakal menghantui peminat di Malaysia pada 20 September ini.

Sebelum Iblis Menjemput menjadi filem ke-9 tahun ini yang berjaya melepasi 1 juta penonton di Indonesia selepas 3 minggu ditayangkan.

Dibarisi oleh pemain utamanya, Chelsea Islan dan Pevita Pearce, filem ini diklasifikasi amat seram apatah lagi sosok hantu dimunculkan sangat mengerikan dengan keberkesanan lakonan pendukung lainnya seperti Samo Rafael, Karina Suwandi, Ruth Marini dan Ray Sahetapy.

Mengangkat simbolik; “Dia akan datang! Saat ia datang, tak ada satu pun tempat yang aman untuk berlindung.” Justeru, dua kalimat itu digambar amat bertepatan terhadap emosi penonton saat menyaksikan sendiri kengerian sang iblis melakukan kejahatan terhadap golongan manusia.

Begitupun, esensi Sebelum Iblis Menjemput tidak melulu tertumpu mengenai kepandaian iblis menguasai kotak fikiran manusia. Adegan seram yang dipertontonkan sebaliknya bakal membuai mental peminat menerusi sekuen mencengkam satu demi satu sepanjang filem tersebut ditayangkan di layar perak.
 

Sekalung pujian harus diberi buat pelakon utama, Chelsea yang nampak sangat natural dalam mengendong wataknya sebagai Alfie. Pelbagai adegan yang perlu dilakukannya termasuklah beraksi di liang lahad bersama tengkorak manusia dalam keadaan hujan.

Bahkan, kerja keras Pevita Pearce (Maya) sehingga harus beradegan mandi lumpur di hutan dalam cuaca sejuk menusuk juga wajar memperoleh segudang kebanggaan.

Menerusi Sebelum Iblis Menjemput, Chelsea mahupun Pevita ingin membuktikan bahawa filem seram ini juga memerlukan kualiti tinggi berserta komitmen total sebagai pelakon utama ataupun pendukung.

Sebelum Iblis Menjemput yang diedarkan oleh Ideate Media untuk pasaran Malaysia akan menganjurkan malam gala di Kuala Lumpur pada 13 September ini yang dihadiri oleh pengarahnya, Timo serta Chelsea dan Pevita dengan SukaSucre Creatives sebagai agensi promosi serta publisiti di negara ini.

Sertai Festival Antarabangsa Saat Sebelum Iblis Menjemput yang diumum memasuki pawagam di Malaysia, pada waktu yang sama filem ini menerima perkhabaran gembira apabila diundang sempena L’Etrange Festival Paris 2018 sekali gus menebar pengaruhnya ke seluruh Eropah.

Diberikan judul antarabangsa; May The Devil Take You, filem ini terpilih berdasarkan oleh penilaian panitia penyelenggara bersama 21 buah filem lain di serata dunia dalam kategori Feature Length Competition.

Tidak ketinggalan, ia turut bersaing dalam nominasi Public Choice Award sepanjang 5 hingga 16 September ini berlangsung festival tersebut. Lebih membanggakan, filem ini juga dipilih untuk tayangan rasmi di Austin, Texas sempena Fantastic Fest 2018 yang akan berlangsung dari 20 hingga 27 September ini dan juga di BFI London Film Festival pada Oktober 2018.


SINOPSIS
Sebelum Iblis Menjemput menceritakan seorang gadis, ALFIE (lakonan Chelsea Islan) yang mempunyai kisah silam yang tragis. Ayahnya, LESMANA (Ray Sahetapy) meninggalkan Alfie selepas ibunya, INTAN meninggal dunia secara misteri.

Lesmana berkahwin dengan seorang wanita muda, LASKMI (Karina Suwandi) yang mempunyai dua orang anak hasil dari perkahwinan sebelum ini, MIRA (Pevita Pearce) dan RUBEN (Samo Rafael).

Setelah sekian lama hidup bersendirian, Alfie menerima berita bahawa Lesmana sedang tenat di hospital daripada penyakit misteri. Situasi menyeramkan yang dialami Alfie sewaktu di hospital menyebabkan Alfie ingin ke villa lama keluarga mereka di sebuah pergunungan untuk mencari jawapan.

Laksmi dan anak-anaknya muncul di saat Alfie sedang meneliti barang-barang lamanya di tingkat atas. Sikap dingin Alfie menyebabkan berlakunya pertengkaran kecil di antara Alfie dengan Laksmi dan Maya.

Laksmi meneruskan niatnya untuk mencari jika ada barang berharga di dalam villa itu. Sementara Laksmi sedang sibuk menggeledah hampir setiap sudut villa, Alfie dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan mengancam mereka di situ.

Tanpa sedar, kewujudan mereka di villa itu telah membangkitkan sesuatu yang menakutkan apabila mereka membuka pintu yang telah dikunci untuk sekian lamanya.

Satu demi satu kejadian ngeri berlaku sehingga Alfie sedar bahawa Lesmana telah membuat perjanjian dengan iblis tanpa mempedulikan darah dagingnya sendiri sebagai pertukaran hanya untuk kekayaan dan kejayaan.

Comments

Popular posts from this blog

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

PROGRAM BAHARU ‘THE HARDEST SINGING SHOW’ CABAR VOKAL DAN KREATIVITI PENYANYI HEBAT TEMPATAN DI ASTRO